Bekas Pengarah Perisikan Malaysia Direman, Tidak Dibenarkan Jumpa Peguam

Hadi Azmi
2018.08.29
Kuala Lumpur, Malaysia
180829-MY-Remand1000.jpg Bekas Pengarah Jabatan Perisikan Negara Hasanah Abdul Halim dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan salahguna kuasa membabitkan dana pilihanraya, Putrajaya, Malaysia, 29 Ogos, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mantan pengarah jabatan perisikan negara telah ditahan reman selama lima hari bermula Rabu bagi membantu siasatan berkaitan salahguna kuasa dana pilihanraya umum ke-14 berjumlah RM49 juta pada Mei lalu dan wanita itu tidak dibenarkan bertemu peguamnya semasa tempoh tahanan reman.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] telah memohon perintah mahkamah menghadkan hak Hasanah Abdul Halim, 61 daripada bertemu peguamnya semasa berada dalam tempoh tahan reman di bawah Seksyen 28A [8] Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu itu, bekas pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (MEIO) dibawa ke mahkamah majistret Putrajaya pada jam 9 pagi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk permohonan reman berkaitan kes tersebut.

Beliau yang hadir berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan berhijab ungu dengan tangan bergari itu menutup muka semasa dibawa masuk ke dalam kamar.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan SPRM untuk menahan bekas pengarah tersebut selama lima hari sehingga 2 September setelah mendengar hujan dari suruhanjaya itu dan pihak pembelaan selama lebih 2 jam.

Hasanah ditahan SPRM pada petang Selasa di ibu pejabat suruhanjaya tersebut di Putrajaya selepas beliau hadir untuk diambil keterangan pada 4.15 petang.

Penahanan beliau dilakukan di bawah peruntukan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 sehari selepas  suruhanjaya tersebut menahan dan mereman tujuh pegawai dari MEIO termasuk timbalan ketua pengarahnya atas kes yang sama.

Turut dirampas dalam serbuan awal melibatkan pegawai-pegawai tersebut adalah komputer riba dan jam berjenama mewah dengan pembekuan beberapa akaun bank milik suspek untuk membantu siasatan.

Terdahulu pada 8 Ogos, SPRM juga telah menahan 17 orang pengawal keselamatan di Jabatan Perdana Menteri dan menyita wang tunai sejumlah hampir RM1.5 juta dan beberapa buah kenderaan model Volkswagen, Toyota, Subaru, dan Honda yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Penangkapan Hasanah menjadikan jumlah kesemua yang ditahan sehingga kini adalah seramai 25 orang.

Tidakpuas hati

Sementara itu, peguam Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung keputusan mahkamah membenarkan permohonan SPRM untuk menghalang beliau daripada berjumpa dengan anak guamnya sepanjang tempoh reman.

“Lazimnya peguam boleh dirundingi oleh anak guam seperti mana-mana kes. Tapi dengan adanya surat ini, saya dihalang untuk bertemu dengan anak guam saya,” kata Shaharudin kepada media pada Rabu.

Permohonan SPRM itu tertakluk di bawah Seksyen 28A(8) Kanun Prosedur Jenayah yang menghadkan hak seseorang individu yang ditahan pihak berkuasa.

Beliau turut membidas alasan yang diberikan SPRM dalam permohonan mereka seperti kehadiran peguam akan mengakibatkan saksi dan barangan kes hilang.

“Alasan dalam undang-undang itu tak masuk akal dan tak munasabah dan melanggar perlembagaan negara,” tegas Shahrudin lagi.

Peguam itu akan memfailkan rayuan berhubung keputusan majistret berkenaan pada Khamis.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya SPRM Azam Baki semasa dihubungi BeritaBenar pada Rabu berkata, “Peguam tertuduh boleh mencabar keputusan itu dan biar mahkamah yang tentukan.”
Dipercayai sebahagian dana RM49 juta yang berjumlah RM3.5 juta, dipercayai dicuri dari Jabatan Perdana Menteri telah dituntut oleh bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwa wang berkenaan adalah merupakan dana pilihanraya parti Barisan Nasional yang disimpannya di pejabatnya.

Dalam satu laporan portal Malaysiakini, beliau yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional kesal dengan tindakan pegawai-pegawai yang diamanahkan untuk menjaga wang itu sambil menyifatkan “tidak dapat mempercayai bahawa suspek terbabit tergamak mengambil wang berkenaan selepas mereka diamanahkan menjaganya.”

Hasanah yang ditamatkan perkhidmatan pada 30 Jun ekoran peralihan kuasa setelah pilihanraya umum ke-14 sebelum ini dikecam apabila menghantar sepucuk surat yang ditandatanganinya yang dialamatkan kepada Pengarah Agensi Risikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) yang tular di media sosial.

Antara lain, kandungan surat tersebut merayu sokongan Pengarah CIA Gina Haspel kepada kepimpinan Najib Razak, yang disifatkan oleh Haniff Khatri, seorang pakar perundangan sebagai tindakan mengkianati negara dan sistem demokrasi berparlimen.

Ekoran itu, pada 31 Julai Hasanah bersama peguamnya telah membuat laporan polis berkenaan pengeluaran surat itu yang dikatakan membongkar rahsia negara dan memporak-perandakan keselamatan pegawai -pegawai perisikan negara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.