Riza Aziz Sedia Beri Keterangan Kes Perbicaraan 1MDB Bapa Tirinya, Pendakwa Raya

Hadi Azmi
2020.05.19
Kuala Lumpur, Malaysia
200519-MY-Riza-Najib620.jpg Bekas Perdana Menteri Najib Razak telah diambil suhu badan sebelum memasuki Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad, 19 Mei 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Riza Aziz, anak tiri kepada Najib Razak berkemungkinan menjadi saksi pendakwaraya di dalam kes 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri itu, mahkamah Malaysia dimaklumkan pada Selasa, hari pertama perbicaraan bersambung sejak November.

Kenyataan itu hadir beberapa hari selepas pihak pendakwaraya Malaysia mengugurkan semua pendakwaan berhubung kes pengubahan wang haram melibatkan Riza, yang bersetuju dengan penyelesaian mengembalikan lebih AS$100 juta yang digelapkan dalam skandal dana negara 1MDB kepada Putrajaya.

Pemakluman berhubung kesediaan Riza untuk menjadi saksi itu dibuat oleh Ketua Pendakwaraya Gopal Sri Ram dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, sebelum sesi perbicaraan yang telah tertangguh sekian lamanya akibat wabak COVID-19  yang bermula pada 2 petang Selasa.

“Kami telah dimaklumkan bahawa Riza Aziz mungkin akan dimasukkan dalam senarai saksi kerana beliau telah menyatakan kesediaan untuk memberikan keterangan bagi pihak pendakwaraya dalam kes ini jadi kami mungkin perlu mengubah senarai nama saksi,” menurut Sri Ram.

Pihak pendakwaraya walaubagaimanapun enggan mengesahkan jika keputusan Riza untuk memberikan keterangan terhadap bapa tirinya itu ada kaitan dengan persetujuan yang dicapai pada Khamis lalu.

“Maaf. Saya tidak boleh beritahu,” menurut Timbalan Pendakwaraya Ahmad Akram Gharib apabila dihubungi BeritaBenar.

Riza, 33 yang merupakan anak lelaki kepada Rosmah Mansor, isteri Najib daripada perkahwinan terdahulu beliau, merupakan pengasas Red Granite Productions yang menerbitkan beberapa buah filem Hollywood termasuk ‘The Wolf of Wall Street’ pada 2013 yang turut mendapat pencalonan Oscar, dengan menggunakan dana yang diseleweng dari 1MDB.

Beliau didakwa pada Julai tahun lepas dengan lima pendakwaan pengubahan wang haram sebelum dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM1 juta (AS$241,809).

Riza pada Khamis lepas telah dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan tersebut setelah mencapai persetujuan yang akan melihat kerajaan Malaysia mendapat semula AS$107.3 juta dari aset luar negara yang dikaitkan dalam kes terhadap beliau.

Perbicaraan 1MDB


Perbicaraan pada Selasa merupakan pertama kali kes 1MDB disambung sejak 13 November 2019 selepas perbicaraan yang dijadualkan pada 12 Mac ditangguhkan berikutan status ketua peguam pembela Shafee Abdullah yang terpaksa menjalani kuarantin selepas disyaki terdedah kepada COVID-19 pada satu majlis yang dihadirinya.

Ia kemudiannya ditangguh lagi selepas kerajaan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac untuk mengekang wabak COVID-19. PKP yang berlangsung selama lebih dua bulan itu akhirnya dilonggarkan pada 4 Mei seterusnya membenarkan mahkamah kembali beroperasi dengan peraturan yang lebih ketat.

Berikutan dari itu hanya dua orang individu mewakili pihak pendakwaan dan pembelaan dibenarkan berada dalam bilik mahkamah dengan jumlah keseluruhan tidak melebih 20 orang.

Shafee yang sudah terbiasa dibantu oleh pasukan peguam seramai 10 orang meminta Hakim Sequerah untuk membenarkan lebih ramai anggota pasukan beliaunya di dalam mahkamah dengan berkata menghadkan jumlah peguam kepada dua boleh menghalang hak anak guamnya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

“Mungkin kita boleh mengubah kedudukan media ke mahkamah lain untuk memantau perbicaraan secara ‘live’ tanpa perlu berada di dalam mahkamah itu sendiri,” kata Shafee yang seterusnya meminta anggota media untuk mengangkat tangan mereka untuk dikira.

Beliau turut meminta Hakim Sequerah untuk mempertimbangkan beliau dan isteri Tania Scivetti sebagai satu individu kerana secara faktanya mereka tinggal dalam satu rumah yang sama.

Hakim walaubagaimanapun memberitahu pada masa ini untuk meneruskan kerja perlu berada dalam limitasi yang telah ditetapkan bagi setiap perbicaraan yang berlangsung sehingga Khamis.

“Saya cuma boleh membenarkan seorang sahaja lagi bagi setiap pasukan pada masa sekarang tetapi saya akan menimbangkan cadangan-cadangan yang diberikan,” kata Hakim Sequerah.

Perbicaraan kali ini adalah sambungan pemeriksaan balas oleh Shafee Abdullah terhadap saksi pendakwaaan, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azhar Ibrahim Halmi.

1MDB ditubuhkan oleh Najib pada 2009 untuk mempromosikan pembangunan ekonomi di Malaysia menerusi kerjasama global dan pelaburan langsung asing. Dana itu sepatutnya digunakan untuk menambahbaik kehidupan rakyat Malaysia.

Walaubagaimanapun 1MDB terjebak dalam hutang berbilion dolar dan pada 2016 Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa ‘Pegawai Malaysia 1”- yang kemudiannya dikenalpasti sebagai Najib dan rakan sekutu beliau telah menyeleweng dan mengubah lebih dari AS$4.5 bilion (RM19.5 bilion) wang berkaitan 1MDB di antara 2009 dan 2014.

Najib yang berdepan dengan 42 pertuduhan jenayah sedang dibicarakan di mahkamah berkaitan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB dan anak syarikatnya SRC International.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.