1MDB: Malaysia Dakwa Roger Ng Bersubahat Tinggal Fakta dan Tipu

Staf BeritaBenar
2018.12.19
Kuala Lumpur, Malaysia
181219-MY-RogerNg1000.jpg Tan Hock Chuan, peguam bela Ng Chong Hwa, semasa bercakap kepada media selepas sesi mahkamah di Kuala Lumpur, 19 Disember 2018.
AFP

Ng Chong Hwa, bekas ahli perbankan Goldman Sachs International, yang juga rakan kepada pembiaya kewangan dalam buruan Jho Low, pada Rabu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan bersubahat dengan bank pelaburan itu untuk  meninggalkan fakta material dan membuat penyataan tidak benar berhubung penjualan Nota Terjamin 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion.

Beliau yang juga dikenali sebagai Roger Ng, 46 mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan memohon dibicarakan sebaik saja pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ng didakwa atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs yang diperbadankan di United Kingdom sebagai Pengurus dan Pengaturcara bagi penjualan Nota-Nota Terjamin anak syarikat 1Malaysian Development Berhad [1MDB] berjumlah AS$6.5 bilion dengan meninggalkan fakta-fakta material dan membuat penyataan tidak benar.

Ng juga didakwa membuat pernyataan tidak benar dalam Memorandum Penempatan Tertutup dan tiga Pekeliling Tawaran bertarikh antara Mei 2012 dan Mac 2013.

Bekas pegawai bank itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di bangunan 1MDB, Paras 8, Menara IMC, Nombor 8, Jalan Sultan Ismail, di Kuala Lumpur antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 370(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2008 dibaca bersama Seksyen 179(c) akta 671, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Agensi Berita Nasional Malaysia [Bernama] melaporkan, Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup menawarkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan manakala Ng yang diwakili Tan Hock Chuan memohon jumlah jaminan yang rendah dalam lingkungan RM600,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Ng diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan 18 Mac 2019 ditetapkan untuk sebutan semula kes.

“Saya tiada halangan untuk anak guam saya serahkan pasport kepada mahkamah,” kata Tan dan Manoj kemudiannya membalas: “ini bukan kes biasa”, seperti dilaporkan Bernama.

Individu terawal didakwa

Ng juga merupakan antara individu terawal yang didakwa di Amerika Syarikat [AS] berkait skandal 1MDB yang sebelum itu seorang lagi bekas pegawai tinggi Goldman Sachs, Tim Leissner turut didakwa.

Di New York pada November lepas, kerajaan AS telah mengemukakan tiga pertuduhan ke atas Ng dan Jho Low (juga dikenali sebagai Low Taek Jho), dan mengumumkan bahawa bekas pegawai tinggi Goldman Sach, Tim Leissner.

Leissner telah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.

Ng ditahan Polis Malaysia di ibu negara Kuala Lumpur, selepas sehari beliau didakwa oleh kerajaan AS berdasarkan waran tangkap yang dipohon oleh Jabatan Kehakiman AS [DOJ].

Polis Malaysia berkata Ng yang berada dalam tahanan pihak berkuasa negara itu akan diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) pada Januari, iaitu selepas tempoh tahanan reman selama 60 harinya tamat.

Dalam dokumen pertuduhan terhadapnya, DOJ tidak menyatakan nama Goldman Sachs tetapi mendakwa bahawa Ng dan Leissner menyembunyikan tentang hubungan mereka sebagai rakan kongsi Jho Low daripada institusi kewangan berkenaan, setelah pegawai-pegawai pematuhan dan risikan enggan memperakui hubungan perniagaan itu berikutan kebimbangan mengenai sumber kekayaannya.

Dalam pertuduhan itu, AS mendakwa bahawa Jho Low, Ng, Leissner dan lain-lain telah berkomplot untuk menyalahgunakan lebih daripada AS$2.7 bilion (RM11.28 bilion) daripada 1MBD, yang ditubuhkan pada 2009 untuk membiayai program pembangunan Malaysia.

Suspek-supek "berkomplot untuk mengubah wang itu melalui sistem kewangan AS bagi membayar rasuah kepada para pegawai asing dan untuk faedah peribadi diri sendiri dan sanak saudara mereka," kata DOJ dalam satu kenyataan media bagi mengumumkan tentang pendakwaan tersebut.

Pada Isnin lepas, Malaysia pula telah memfailkan pertuduhan jenayah terhadap bank pelaburan Goldman Sachs, yang berpejabat di Amerika Syarikat itu bersama-sama dengan Ng, Leissner dan Jho Low serta seorang peguam kerana didakwa menyelewengkan wang melalui bon-bon yang dikaitkan dengan dana negara, 1MDB, pada 2012 dan 2013, kata para pegawai.

Goldman Sachs perlu bertanggungjawab kerana ia mendapat manfaat daripada wang sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion) untuk menaja jamin dan mengatur pengeluaran siri bon itu, kata Peguam Negara Malaysia, Tommy Thomas, ketika mengumumkan tindakan terbaru dalam siasatan multinasional berhubung dakwaan rasuah besar-besaran dalam 1MDB semasa di bawah kerajaan sebelum ini.

Larangan seumur hidup

Dalam pada itu, Penguasa Kewangan Singapura [MAS] dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu mengatakan yang negara itu telah mengenakan larangan seumur hidup terhadap Leissner.

Sebelum ini, Leissner telah dikenakan perintah larangan 10 tahun oleh MAS pada Mac lepas, kerana mengemukakan kenyataan palsu bagi pihak bank tanpa pengetahuan atau kebenaran bank berkenaan.

Bekas pegawai tinggi bank pelaburan itu juga didapati memberikan surat rujukan yang tidak diluluskan bagi pihak Goldman Sachs kepada institusi kewangan yang berpangkalan di Luxembourg.

Larangan seumur hidup itu, yang turut melanjutkan bidang kuasa perintah larangan asal, akan menyekat Leissner daripada melakukan sebarang kegiatan di bawah bidang kuasa Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan. Ia juga menghalangnya daripada menguruskan sebarang syarikat khidmat modal pasaran di Singapura, kata MAS.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut membantu kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.