Follow us

1MDB: Roger Ng Hantar Representasi Mohon Peguam Negara Malaysia Semak Pertuduhan

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-09-10
E-mel
Komen
Share
Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Roger Ng dalam kes 1MDB semasa bercakap kepada media selepas sesi sidang mahkamah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 10 September 2020.
Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Roger Ng dalam kes 1MDB semasa bercakap kepada media selepas sesi sidang mahkamah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 10 September 2020.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, yang sedang dibicarakan di Amerika Syarikat atas pertuduhan jenayah berkaitan skandal 1MDB, mengemukakan representasi kepada Peguam Negara Malaysia bagi menyemak semula kesemua pertuduhan terhadapnya selepas bank itu dan Putrajaya mencapai persetujuan dalam penyelesaian pada Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu pada Khamis.

Pada Disember 2018, Ng, atau nama sebenarnya Ng Chong Hwa, 48, seorang rakyat Malaysia telah disabitkan dengan empat pertuduhan melibatkan penerbitan bon bernilai AS$6.5 bilion berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan bersubahat bersama Goldman Sachs International untuk menghilangkan dan membuat pernyataan tidak benar mengenai fakta material termasuk menghapus nama ahli perniagaan dalam buruan Malaysia Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dalam laporan itu.

Bercakap kepada media sebelum prosiding perbicaraan, peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Ng berkata beliau telah diarahkan oleh anak guamnya untuk menghantar satu representasi kepada Peguam Negara Malaysia pada Rabu memohon agar pertuduhan terhadap bekas pegawai bank itu disemak semula.

"Mengikuti arahan anak guam saya…, saya mengajukan surat representasi kepada Peguam Negara untuk menyemak semula pertuduhan terhadapnya. Pada masa ini, pertuduhan terhadap anak guam saya tetap ada,” kata Tan dalam temu bual yang jarang dilakukannya kepada media.

Ng tidak hadir ke mahkamah kerana masih berada di New York, Amerika Syarikat setelah diekstradisi untuk dibicarakan di negara itu.

Representasi adalah permohonan kepada pihak pendakwaan untuk menggugur atau mengurangkan pertuduhan terhadap tertuduh. Namun tidak ada sesiapa daripada pihak pendakwaan atau pembelaan yang bersedia untuk berkongsi butiran dokumen itu dengan BeritaBenar.

Ekstradisi

Sebelum itu dalam prosiding mahkamah, pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Roz Mawar Rozain memaklumkan kepada Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa tarikh perbicaraan bagi kes Ng belum dapat ditetapkan kerana tertuduh, yang telah diekstradisi ke Amerika Syarikat pada Mei tahun lalu, dan masih berada di negara itu.

Menurut perjanjian antara kedua-dua negara, Malaysia telah mengizinkan Ng diterbangkan ke Amerika Syarikat bagi menghadapi pertuduhan berasingan berkonspirasi melanggar peruntukan antirasuah Akta Amalan Rasuah Asing, peruntukan kawalan perakaunan dalaman akta sama dan melakukan pengubahan wang haram di negara tersebut sebelum kembali untuk berdepan pertuduhan di Malaysia selepas itu.

“Tertuduh masih belum berada di negara ini. Perjanjian ekstradisi itu akan berakhir pada 1 Nov dan Pejabat Peguam Negara belum lagi mendapat sebarang maklum balas daripada rakan-rakan kami di Amerika Syarikat,” kata Roz Mawar.

Beliau kemudian memaklumkan mahkamah bahawa perbicaraan Ng di New York hanya akan bermula pada Februari tahun depan selama enam minggu berturut-turut.

"Pengaturan ekstradisi menentukan beliau akan kembali ke sini (Malaysia) setelah perbicaraan di sana berakhir tetapi sebelum sebarang hukuman dijatuhkan ke atasnya di sana," katanya pada Khamis.

Hakim Mohamed Zaini kemudian berkata berdasarkan penjelasan Roz Mawar itu, kes tersebut terpaksa ditangguhkan untuk suatu jangka masa yang lama sementara menunggu kepulangan Ng.

"Saya rasa kita mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk bertemu dengan beliau," kata hakim itu.

Mahkamah menetapkan 20 Nov depan sebagai prosiding praperbicaraan berikutnya.

Pada 4 Sept lepas, Hakim Mohamed Zaini membebaskan bekas majikan Ng iaitu Goldman Sachs International bersama dua entiti di Asia yang merupakan sebahagian daripada persetujuan dalam penyelesaian melibatkan sejumlah AS$4 bilion berkaitan peranan firma itu dalam menyeleweng berbilion dolar daripada dana pelaburan negara 1MDB.

Firma pelaburan perbankan Wall Street itu mencapai persetujuan dengan Putrajaya selepas rundingan lima hari dengan Malaysia bersetuju untuk mengugurkan kesemua pertuduhan terhadap firma tersebut dan sebagai balasan, menerima AS$2.5 bilion wang tunai serta AS$1.4 bilion dalam bentuk pemulangan aset yang dibeli menggunakan wang diseleweng daripada dana 1MDB yang kini dirampas oleh pelbagai pihak berkuasa di seluruh dunia.

Selain menggugurkan pertuduhan jenayah itu, pihak pendakwaan menghentikan pendakwaan ke atas 17 eksekutif firma tersebut termasuk Richard Gnodde yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs International.

Pada Disember 2018, Malaysia memfailkan empat pertuduhan terhadap Goldman Sachs, dua bekas eksekutifnya, pembiaya kewangan Jho Low serta seorang peguam yang didakwa melakukan penyelewengan melalui tindakan menaja jamin dan mengatur pengeluaran siri bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS. Limited (Aabar Limited).

Menteri Kewangan Malaysia Tengku Zafrul Aziz pada Julai lalu semasa mengulas mengenai penyelesaian itu berkata “Penyelesaian oleh Goldman Sachs memperlihatkan pengakuan tentang salah laku dua bekas pegawainya dalam skim rasuah dan penipuan 1MDB dalam skala yang lebih luas. Penyelesaian ini tidak menjejaskan pendakwaan Malaysia terhadap Jho Low dan individu lain yang dikaitkan dengan 1MDB.”

Bagaimanapun, pertuduhan jenayah terhadap Ng bukan sebahagian daripada persetujuan penyelesaian pada Julai lepas.

Empat hari selepas persetujuan tersebut iaitu pada 28 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas perdana menteri Najib Razak setelah mensabitkan beliau dengan tujuh pertuduhan - termasuk penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram – yang menyaksikan berbilion dolar telah diseleweng daripada 1MDB, dana pelaburan negara yang ditubuhkan beliau.

Najib telah diikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Abdullah Ahmad Badawi yang bertujuan mempromosi pembangunan ekonomi di Malaysia menerusi perkongsian global dan pelaburan langsung asing. Dana itu adalah bertujuan digunakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Sebaliknya, 1MDB telah menanggung kerugian berbilion dolar pada 2016 dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menuduh “Pegawai Nombor 1 Malaysia” –  yang kemudian dikenal pasti sebagai Najib – dan sekutunya menyeleweng serta mengubah lebih AS$4.5 bilion daripada wang yang dikaitkan dengan 1MDB antara 2009 dan 2014.

Lihat Laman Penuh