Roger Ng Didapati Bersalah Terlibat Konspirasi Seleweng Berbilion Wang 1MDB

Sekumpulan juri di New York mensabitkan beliau dengan kesalahan terlibat dalam konspirasi mencuri AS$2.7 bilion.
Staf BenarNews & laporan agensi berita
2022.04.08
Washington & New York
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Roger Ng Didapati Bersalah Terlibat Konspirasi Seleweng Berbilion Wang 1MDB Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng dan peguamnya, Marc Agnifilo, meninggalkan Mahkamah Persekutuan di New York, 6 Mei 2019.
[Reuters]

Sekumpulan juri di Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mendapati seorang bekas pegawai bank Goldman Sachs bersalah atas semua pertuduhan berkaitan konspirasi mencuri berbilion dolar daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara, dalam skandal kewangan antarabangsa yang membawa kepada kejatuhan kerajaan yang memerintah di Malaysia.

Juri terbabit, yang memulakan perbincangan pada Selasa di sebuah Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York mencapai keputusan itu sebelum pukul 12 tengah hari pada Jumaat untuk mensabitkan warganegara Malaysia Roger Ng, yang telah diekstradisi dari negara asalnya untuk dibicarakan di Amerika Syarikat.

“Keputusan hari ini adalah satu kemenangan bukan sahaja demi kedaulatan undang-undang malah rakyat Malaysia yang sepatutnya dibantu oleh dana kekayaan negara itu, dengan mencari wang untuk projek bagi membangunkan ekonomi negara mereka,” kata peguam AS Breon Peace dalam satu kenyataan.

“Defendan dan kroninya tidak melihat 1MBD sebagai satu entiti untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia sebaliknya sebagai tabung untuk mengayakan diri mereka dengan wang yang disonglap daripada dana itu,” katanya.

Keputusan itu dibuat hampir dua bulan selepas perbicaraan Ng bermula dengan pendakwaan berhujah bahawa beliau dengan rela hati menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad manakala peguamnya mendakwa beliau dijadikan ‘kambing hitam’ oleh seorang lagi bekas eksekutif Goldman Sachs yang telah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan serupa.

Eksekutif itu, Timothy Leissner, pada 2018 telah mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan bersetuju melupuskan sejumlah A$43.7 juta (RM184 juta).

Jabatan Kehakiman AS mendakwa bahawa Ng, yang disertai oleh Leissner, ahli perniagaan dalam buruan Malaysia Jho Low (atau nama sebenarnya Low Taek Jho) dan lain-lain, bersubahat untuk mencuri lebih AS$2.7 bilion (RM11.3 bilion) daripada 1MDB.

Ng juga didakwa bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS (FCPA) dengan memberikan suapan kepada para pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi serta berkonspirasi untuk memintasi kawalan perakaunan dalaman Goldman Sachs, demikian menurut dokumen mahkamah.

220408-MY-Inside-RogerNg.jpg

Kelihatan logo 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada papan iklan di ibu pejabatnya di Tun Razak Exchange, ketika masih dalam pembinaan di Kuala Lumpur, 3 Julai 2015. [AFP]

Pada Oktober 2020, Goldman Sachs dan anak syarikatnya di Malaysia bersetuju membayar lebih AS$2.9 bilion (RM12.2 bilion) kepada kerajaan Malaysia selepas mengaku bersalah bersubahat melanggar FCPA.

Ketika memberi keterangan, Leissner berkata beliau, Ng dan Low telah menggunakan akaun luar pesisir dan shell company untuk “menyembunyikan aliran dana itu,” lapor AP. “Jika kami memaklumkan perkara sebenar kepada mana-mana bank, ia tidak akan berhasil. … Rancangan itu pasti gagal,” katanya.

Individu yang menjadi buruan antarabangsa, Low pula berdepan pertuduhan jenayah di Malaysia dan AS untuk peranan beliau dalam konspirasi untuk menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB menerusi hubungannya dengan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.

Semasa penggulungan hujah pada awal minggu ini, pendakwaan berkata Ng telah membantu Leissner menyeleweng berjuta-juta dolar daripada 1MDB. Pembelaan pula berhujah bahawa keterangan Leissner tidak boleh dipercayai kerana beliau sendiri mengaku bahawa beliau “banyak berbohong,” menurut laporan agensi berita itu.

Pihak pendakwaan di Malaysia dan AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri daripada 1MDB, yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Najib Razak pada 2009 bagi membiaya program pembangunan di Malaysia. Jabatan Kehakiman AS menyifatkan isu 1MDB sebagai “skandal kleptokrasi terburuk pada era ini.”

Najib sedang merayu terhadap hukuman penjara 12 yang dijatuhkan ke atasnya selepas disabitkan dengan kesalahan rasuah membabitkan SRC International, anak syarikat 1MDB dan masih dibicarakan bagi pertuduhan serupa yang dikaitkan dengan dana kekayaan negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.