NGO: Penurunan Ketara dalam Penyeludupan Manusia di Laut Andaman

Pimuk Rakkanam
2016.05.02
Bangkok
160429-th-trafficking-620 Pekerja-pekerja penyelamat mengeluarkan mayat manusia daripada kubur-kubur berhampiran tapak lereng bukit di mana kubur cetek mengandungi 26 mayat ditemui di Padang Besar, sebuah daerah di wilayah Songkhla di selatan Thailand, 13 Mei, 2015.
AFP

Perjalanan bot-bot haram dari Myanmar dan Bangladesh telah menurun dengan ketara sejak Thailand melancarkan tindakan keras untuk membanteras  pemerdagangan manusia, namun,  punca masalah itu masih membarah, kata seorang aktivis yang memperjuangkan hak Rohingya Muslim kepada BeritaBenar dalam satu wawancara.

Pada Ahad setahun yang lalu, penemuan kubur-kubur di kawasan hutan di selatan Thailand, yang mengandungi mayat-mayat orang yang diperdagangkan dari kedua-dua negara, telah mencetuskan tindakan keras oleh kerajaan Thai terhadap para penyeludup manusia.

Susulan itu, satu sekatan maritim Thailand terhadap bot-bot penyeludupan manusia dilakukan, yang seterusnya mencetuskan krisis kemanusiaan apabila beribu-ribu Rohingya Islam dan pendatang Bangladesh mendarat di negara jiran, Indonesia dan Malaysia.

Di Thailand, sekurang-kurangnya 90 orang termasuk seorang jeneral Thailand, kini dibicarakan atas tuduhan pemerdagangan manusia.

Dalam satu temu bual dengan BeritaBenar, Matthhew Smith, seorang pakar dalam penghijrahan haram di Asia Tenggara, berkata keadaan telah ‘bertambah baik dengan ketaranya’ dalam beberapa perkara sepanjang tahun lalu.

Tetapi Smith, Pengarah NGO Fortify Rights, berkata pegawai-pegawai di Malaysia boleh melakukan lebih banyak lagi untuk melindungi mangsa - dan kerajaan Myanmar yang baru dipilih boleh berusaha untuk menegakkan hak-hak Rohingya dan menyelesaikan punca mereka keluar beramai-ramai dari negara itu.

BeritaBenar (BB): 1 Mei menandakan ulang tahun penemuan kubur-kubur migran di Thailand. Beri komen anda tentang itu?

Smith: Kami masih bimbang bahawa tidak semua kubur itu ditemui, didedah, dan disiasat dengan sewajarnya.

Saya sendiri telah melawat kubur yang tidak termasuk dalam penemuan tahun lepas. Kami mempunyai sebab untuk percaya bahawa masih ada mayat berselerakan di beberapa kawasan di Songkhla dan kawasan-kawasan lain di selatan. Adalah lebih bijak sekiranya pihak berkuasa Thailand meneruskan siasatan itu, yang pada masa ini telah pun ditutup.

Kami juga bimbang dengan peranan pihak berkuasa Malaysia. Thailand telah menerima banyak perhatian negatif mengenai pemerdagangan manusia, dan untuk sebab yang baik, tetapi peranan Malaysia, sebahagian besarnya, nampak seperti diabaikan.

Kami lega apabila pihak berkuasa Malaysia menemukan sejumlah besar kubur, tetapi pihak berkuasa itu masih gagal melindungi mangsa-mangsa pemerdagangan manusia. Rohingya secara sistematiknya ditahan di Malaysia. Kebanyakannya ditahan dalam tempat yang kotor,  dan dinafikan kebebasan.

Dan pihak berkuasa Malaysia secara kategorinya gagal mendakwa mana-mana penyeludup yang terlibat dalam pemerdagangan Rohingya. Malaysia hanya mendakwa tiga penyeludup tahun lepas. Ramai penyeludup masih berkeliaran bebas tanpa rasa takut kepada keadilan. Itulah masalahnya.

BB: Bagaimana dengan penghijrahan tidak teratur di rantau ini tahun ini berbanding dengan tahun lepas?

Smith: Bilangan mereka yang keluar dari Myanmar dan Bangladesh menurun dengan ketara tahun ini.

Kami menganggap ini berikutan  tindakan keras terhadap pemerdagangan manusia di Thailand, kerana sindiket itu bekerjasama rapat dengan ramai pegawai-pegawai Thailand,  selain adanya perubahan politik di Myanmar. Ramai Rohingya berharap kerajaan baru negara itu akan memperbaiki keadaan mereka. Kami pun mengharapkan yang sama.

BB: Adakah keadaan bertambah baik sejak Thailand melancarkan tindakan keras terhadap penyeludupan manusia setahun lalu?

Smith: Dalam beberapa cara, keadaan telah bertambah baik dengan ketaranya. Pada masa ini tahun lepas, terdapat beberapa ribu Rohingya yang ditahan di kem-kem penyeksaan di Thailand.

Hari ini, kem-kem itu tidak lagi wujud. Itu sememangnya sesuatu yang positif. Tetapi dalam tempoh ini  tahun lepas, terdapat juga beribu-ribu Rohingya dan Bangladesh yang terkandas di laut, berdepan dengan kematian akibat pelaksanaan tindakan keras itu.

Itu semestinya bukanlah perkembangan yang positif. Perbicaraan yang masih berjalan terhadap 92 defendan adalah positif, tetapi ia juga dilanda dengan masalah. Saksi telah diancam dan menyembunyikan diri, dan banyak penjenayah masih berkeliaran bebas.

Kami sangat kagum dengan Resolusi Kabinet yang baru, yang jika dilaksanakan, akan memberi perlindungan khas kepada mangsa pemerdagangan manusia. Ia akan membolehkan mangsa untuk kekal berada secara sah di Thailand, ia akan membolehkan mereka bekerja, dan ia akan memberi perlindungan saksi secara automatik.

Dari segi kesannya, ia akan membebaskan pelarian dan mangsa daripada tahanan. Ini akan menjadi langkah positif ke arah hala tuju yang betul, tetapi resolusi itu perlu dilaksanakan. Kami berharap ia bukan sekadar catatan pada  kertas sahaja.

Selain itu, punca krisis, termasuk penindasan sistematik di Myanmar, belum ditangani. Sehingga penindasan itu ditangani, Thailand akan terus melihat pelarian tiba di pantainya. Selagi penindasan itu tidak ditangani, kita tidak boleh menyatakan dengan yakin bahawa keadaan telah bertambah baik.

BB: Adakah keadaan untuk Rohingya Islam dapat diperbaiki di bawah kerajaan baru di Myanmar?

Smith: Kami mempunyai harapan untuk NLD [Liga Kebangsaan bagi Demokrasi] kerajaan. NLD mewarisi tanggungjawab yang besar untuk menghentikan penindasan hak asasi manusia semasa pimpinan rejim tentera lalu.

Itu bukanlah tugas yang mudah

Bagaimanapun, NLD  mendakwa  Rohingya tidak akan menjadi keutamaan kerajaannya, dan kami fikir ia adalah satu kesilapan. Sebarang kegagalan untuk menangani penindasan terhadap Rohingya dengan secukupnya akan memakan diri dan akhirnya memusnahkan NLD dan Myanmar secara keseluruhannya. Penindasan ini tidak baik untuk seluruh negara, dan seluruh rantau ini.

Ini adalah isu antarabangsa. Dalam senario kes terburuk, kegagalan untuk menamatkan penindasan terhadap Rohingya boleh menjejaskan usaha murni lain NLD bagi langkah pembaharuan negara itu.

BB: Adakah Aung San Suu Kyi melakukan apa-apa untuk membantu memperbaiki keadaan itu?

Smith: Satu daripada arahan pertama Suu Kyi ialah memastikan tahanan politik dibebaskan. Pada hari kedua beliau di pejabat, hampir 200 orang tahanan itu telah dibebaskan. Ini sememangnya penting dan membantu menyuntik harapan seluruh penduduk, termasuklah Rohingya.

Tetapi, beliau belum lagi mengambil pendirian yang kukuh dalam mempertahankan hak-hak Rohingya, dan itulah yang membimbangkan. Sebarang kegagalan untuk menangani penindasan adalah berisiko sebagai terlibat dalam penindasan.

NLD akan dinasihatkan untuk menyokong siasatan antarabangsa yang bebas berhubung keadaan hak asasi manusia di  Rakhine. Penyiasatan sedemikian akan memberi cadangan kepada NLD tentang langkah bagi memperbaiki keadaan, dan membantu menjelaskan fakta-fakta tentang apa yang berlaku di Rakhine. Fakta itu pasti hangat diperkatakan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.