Etnik Rohingya Diselamatkan Daripada Bot Terdampar Di Aceh, Indonesia
2020.06.24
Jakarta & Kuala Lumpur

Sekumpulan nelayan menyelamatkan hampir 100 etnik Rohingya setelah bot yang dinaiki mereka rosak di luar Pulau Sumatera di Indonesia, tetapi malangnya bot nelayan yang mahu membantu mereka pula terdampar akibat masalah teknikal, kata polis di wilayah Aceh pada Rabu.
Nelayan Indonesia menemukan bot yang membawa 94 etnik Rohingya itu semasa ia terdampar di laut dan memindahkan kesemuanya ke bot mereka pada Isnin, menurut ketua polis Aceh Utara Tri Hadiyanto. Namun, bot nelayan itu pula rosak ketika cuba menghampiri kawasan pesisir, katanya.
"Hari ini pegawai polis, tentera dan tempatan mengunjungi lokasi bot itu, yang terletak empat batu nautika dari luar pesisir," kata Hadiyanto kepada BeritaBenar, merujuk kepada bot nelayan yang rosak itu.
Sementara itu di Malaysia, ketua agensi pengawal pantai menyatakan bahawa sejumlah etnik Rohingya telah meninggal dunia dengan mayat mereka dilemparkan ke laut dari bot yang dinaiki sebelum ia ditunda ke Pulau Langkawi awal bulan ini. Pihak berkuasa Malaysia telah menahan 269 etnik Rohingya yang berada di atas bot itu.
Di Aceh, seorang pemimpin masyarakat Muhammad Hasan berkata pegawai tempatan telah bersetuju untuk memberi penempatan kepada 94 etnik Rohingya yang diselamatkan itu apabila mereka tiba di pesisir pantai barat laut Indonesia.
"Rancangannya ialah dengan memindahkan mereka ke pasar ikan Syamtalira Bayu kerana terdapat tempat perlindungan di sana," kata Hasan kepada BeritaBenar.
Bahan visual yang dikongsi oleh agensi perlindungan sivil tempatan menunjukkan para penyelamat menghampiri bot nelayan berkenaan, yang membawa apa yang digambarkan oleh seorang lelaki di dalam video itu sebagai "orang Burma."
"Kami melihat kanak-kanak dan wanita. Kami akan memindahkan dan menyelamatkan mereka, ”kata suara dalam video itu.
Menurut polis, seramai 15 lelaki, 49 wanita dan 30 kanak-kanak dapat diselamatkan. Tujuan dan destinasi bot Rohingya masih belum diketahui.
Kesemua etnik Rohingya itu kelaparan dan dalam keadaan lemah ketika mereka ditemukan di perairan luar pesisir Indonesia, lapor Associated Press yang memetik seorang pegawai tempatan.
Lilianne Fan, jurucakap Yayasan Geutanyoe iaitu badan amal kemanusiaan yang ditubuhkan di Aceh pada 1999, memuji masyarakat wilayah itu kerana menawarkan sokongan kepada para pelarian tersebut.
"Sekali lagi, nelayan Aceh menunjukkan kepada kita erti kemanusiaan sejati, dengan menyelamatkan pelarian Rohingya yang botnya hampir karam," katanya dalam catatan Facebook, sambil menambah bahawa para penduduk kampung sedang menyiapkan makanan untuk mereka yang berada di atas bot itu. “Untuk membantu insan lain, tanpa mengira latar belakang, agama, kewarganegaraan, adalah kewajiban dan tradisi yang harus dihormati.
"Pasukan Aceh kami sedang melakukan penyelarasan dengan para nelayan dan kerajaan daerah yang berani memberi respons sebegini dan bersiap sedia memberikan bantuan," katanya.
Kira-kira 1 juta etnik Rohingya yang melarikan diri dari negeri Rakhine di Myanmar sedang diberi perlindungan di kem-kem pelarian di dan sekitar daerah Cox's Bazar di Bangladesh. Penyiasat PBB menuduh tentera Myanmar melakukan pembunuhan dan kekejaman lain terhadap etnik Rohingya tanpa kewarganegaraan semasa serangan 2017, hingga memaksa lebih daripada 730,000 etnik itu menyeberangi sempadan ke Bangladesh untuk menyertai ribuan orang lagi yang telah melarikan diri ke sana.
Beberapa kumpulan etnik Rohingya lagi menaiki bot dan berlayar ke Malaysia dan lokasi lain untuk mencari suaka, tetapi sering ditolak.
Di Jakarta, Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi berkata situasi hak asasi manusia di Rakhine telah dibangkitkan pada pertemuan menteri-menteri luar ASEAN pada Rabu.
Retno berkata beliau telah menggesa para pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara supaya menyediakan pelan penghantaran pulang secara sukarela, selamat dan terhormat untruk pelarian etnik Rohingya.
"Penghantaran pulang masih menjadi keutamaan bagi Indonesia. Kita mesti terus berusaha membawa mereka pulang ke tempat asal mereka, negeri Rakhine,” kata Retno pada sidang media dalam talian itu.
Akhir tahun lalu, para pemimpin ASEAN bersetuju untuk membentuk pasukan petugas sementara untuk membantu menghantar pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar.
Pada Rabu, pengarah pejabat Amnesty International Indonesia, Usman Hamid, menggesa kerajaan supaya membenarkan pelarian Rohingya itu mendarat di Aceh.
"Ini sangat membimbangkan. Terdapat ramai kanak-kanak dan wanita dalam kumpulan itu,”kata Usman kepada BeritaBenar. "Mereka harus diberi keperluan asas seperti makanan, pakaian, air bersih dan tempat tinggal yang mencukupi."
Ketua pengawal pantai Malaysia: 'Ada yang mati di laut'
Pada 8 Jun, pihak berkuasa Malaysia menjunda sebuah bot rosak ke darat dan menahan 269 etnik Rohingya setelah puluhan daripada terjun ke laut dan mula berenang ke pantai Langkawi, sebuah pulau di luar pesisir barat laut semenanjung Malaysia. Pendaratan itu adalah yang pertama bagi etnik Rohingya di Malaysia selepas lebih dua bulan.
Dua hari kemudian, Mohd Zubil Mat Som iaitu Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), agensi pengawal pantai negara itu, memberitahu BeritaBenar bahawa satu lagi bot yang membawa 300 etnik Rohingya sedang berlindung di utara Langkawi di luar pulau Koh Adang, Thailand. Pegawai Thailand pada masa itu menyatakan bahawa tentera laut mereka tidak dapat mengesan bot berkenaan.
Pada Rabu, Mohd Zubil berkata bahawa bot yang membawa 269 orang itu telah membawa lebih daripada 300 etnik Rohingya. Beliau merujuk bot itu sebagai bot nombor 2 – dengan memberitahu bahawa etnik Rohingya telah meninggalkan bot nombor 1 yang telah membawa lebih daripada 800 orang sebelum berlaku pemindahan. Pegawai belum menemukan kapal yang dikatakan membawa 500 pelarian itu.
"Kami diberitahu bahawa lebih 300 individu dipindahkan ke Mother Boat 2, tetapi beberapa orang dari mereka mati di laut dan mayat mereka dilemparkan ke laut. Ini kita peroleh daripada temu bual dengan kesemua 269 orang itu,” katanya kepada wartawan di Putrajaya.
Ketika ditanya mengenai jumlah kematian, Mohd Zubil berkata: "Saya tidak pasti, mereka menyatakan lebih 300 orang manakala 269 lagi tiba di sini. Anda boleh kira sendiri. "
Sementara itu di seluruh rantau ini, negara-negara menutup sempadan masing-masing kepada orang asing dalam beberapa bulan lalu kerana bimbang dengan penularan pandemik COVID-19. Kumpulan hak asasi manusia telah membangkitkan kekhuatiran mengenai kesan dasar itu terhadap bot-bot yang sarat etnik Rohingya dan telah mendesak negara-negara di rantau ini supaya membenarkan bot-bot berkenaan mendarat.
Pada April lalu, ratusan lelaki, wanita dan kanak-kanak etnik Rohingya dikatakan kelaparan ketika dibawa ke darat Bangladesh setelah perjalanan hampir dua bulan gagal memasuki Malaysia yang menyaksikan puluhan daripada mereka mati, kata pegawai dan mangsa yang selamat.
Chris Lewa, penyelaras Projek Arakan iaitu sebuah NGO yang memperjuangkan hak-hak etnik Rohingya, memberitahu BeritaBenar pada minggu lalu bahawa ia menyedari adanya bot Rohingya yang masih berada di laut dengan ratusan orang di dalamnya.
"Apa yang kami tahu, hanya ada satu bot yang masih berada di laut dengan membawa kira-kira 500 orang. Dilaporkan bahawa sebuah bot pukat tunda teah membawa kira-kira 800 orang dari Teluk Bengal pada awal April dan para penumpang bot ini kemudian dibahagikan kepada dua bot di laut pada Mei lalu,” kata Lewa.
"Satu daripada dua bot ini adalah yang dipintas semasa mengalami kerosakan enjin di Malaysia pada 7 Jun. Kami tidak tahu tentang satu lagi bot itu kecuali bot pukat tunda besar itu memutuskan untuk membahagikan lagi penumpang ke bot-bot yang lebih kecil, ”kata Lewa kepada BeritaBenar.
Pimuk Rakkanam di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.