Gagal kembali ke negara asal, etnik Rohingya ambil risiko tinggalkan kem pelarian
2022.12.14
Dhaka, Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta dan Washington
Pejuang hak asasi manusia kini menyaksikan peningkatan perjalanan menggunakan bot yang berpotensi membawa maut oleh pelarian Rohingya apabila mereka cuba berhijrah ke beberapa negara di Asia Tenggara di mana mereka boleh mendapat akses kepada sekolah, makanan dan pekerjaan.
Kebanyakan orang tidak bernegara itu kini berada dalam keadaan terdesak kerana melihat tiada harapan untuk mereka dihantar pulang ke Myanmar, yang terjerumus dalam kancah keganasan susulan kudeta tentera pada Februari 2021, menurut pejuang hak asasi dan NGO di rantau ini. Mereka juga tidak boleh bekerja atau memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak mereka di kem pelarian di negara jiran Bangladesh, di mana mereka dilarang meninggalkan kawasan kem.
Ketika ini, pelarian Rohingya terkandas di lautan dan mereka merayu bantuan, kata seorang penasihat pembangkang dalam Kerajaan Perpaduan Negara Myanmar, yang menciap apa yang beliau kenal pasti sebagai rakaman perbualan telefon seorang pelarian Rohingya yang berada di atas sebuah bot. Panggilan kecemasan itu rupa-rupanya telah dibuat dalam tempoh 24 jam lepas.
“Anak-anak kami tidak makan selama empat hingga lima hari. Kami sedang menderita akibat kelaparan. Jadi, tolonglah bantu kami untuk sampai ke pantai,” kata pemanggil itu yang diterjemah oleh seorang etnik Rohingya di sebuah kem pelarian di Bangladesh. “Seorang kanak-kanak berusia 3 tahun yang berada di atas bot telah meninggal dunia akibat kebuluran. Yang lain masih hidup namun kami sudah kehabisan makanan.
“Tolong hantar maklumat ini kepada semua penduduk dunia, UNHCR serta kerajaan Indonesia dan Malaysia.”
Pemanggil yang tidak dikenali itu juga memaklumkan bahawa bot tersebut rosak dan kini berada di perairan yang dikenal pasti olehnya sebagai Laut Indonesia.
“Kita sedang menyaksikan peningkatan mendadak tindakan etnik Rohingya melakukan perjalanan berbahaya dengan bot tahun ini. Pada akhir bulan November, sekurang-kurangnya empat bot yang membawa pelarian Rohingya telah meninggalkan Bangladesh dalam percubaan mereka untuk tiba ke pantai di negara-negara Asia Tenggara,” kata Lilianne Fan, pengasas bersama Yayasan Geutanyoë, sebuah pertubuhan kemanusiaan serantua yang berpangkalan di Kuala Lumpur, kepada BenarNews.
“Tindakan ini didorong oleh kemerosotan keselamatan di Myanmar dan juga kem-kem pelarian Rohingya di Bangladesh.”
Mahi Ramakrishnan, pengasas sebuah lagi NGO iaitu Beyond Borders Malaysia pula berkata sebuah bot yang membawa 200 pelarian Rohingya telah meninggalkan Bangladesh untuk belayar ke Malaysia pada akhir bulan November.
“Kami juga memiliki beberapa laporan yang tidak disahkan mengenai lebih banyak bot yang terkandas di lautan selama lebih dua minggu ketika ini. Perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh Malaysia ialah menghantar anggota agensi maritim ke kawasan perairan itu untuk mengesan kesemua bot ini, membawa mereka ke pantai dan memastikan bahawa mereka mendarat dengan selamat,” katanya.
“Penganiayaan yang dilakukan oleh junta tentera telah menyebabkan ramai penduduk Myanmar melarikan diri dari negara itu selama beberapa dekad sehingga sekarang. Kekurangan makanan dan air air bersih serta ketidakupayaan untuk melaksanakan hak asasi mereka adalah antara punca etnik Rohingya melarikan diri dari Bangladesh,” kata Ramakrishnan kepada BenarNews.
Sebuah bot yang membawa pelarian Rohingya kelihatan di sini dalam foto dron yang diambil berhampiran Lhoksukon, Aceh Utara, Indonesia, 24 Jun 2020. [Zik Maulana/AP]
Pada awal Disember, sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu UNHCR telah melaporkan bahawa hampir y 2,000 pelarian Rohingya telah belayar dari Bangladesh dan Myanmar dalam tempoh 11 bulan pertama bagi tahun 2022 berbanding 287 orang pada 2021. Agensi PBB itu menganggarkan kira-kira 120 daripada mereka meninggal dunia atau hilang di lautan.
“UNHCR … dan rakan kongsi kemanusiaan sedang memantau peningkatan mendadak dalam jumlah mereka yang melakukan percubaan berbahaya belayar merentasi Laut Andaman tahun ini,” menurut UNHCR dalam satu kenyataan.
“UNHCR memberi amaran bahawa percubaan melakukan perjalanan seperti ini mendedah mereka kepada risiko berbahaya dan akibatnya boleh membawa maut.”
Terdapat laporan berita pada awal bulan ini bahawa sejumlah 154 pelarian Rohingya telah diselamatkan dari sebuah bot yang karam di Laut Andaman dan dipindahkan ke kapal Tentera Laut Myanmar. Reuters melaporkan bahawa sebuah bot Vietnam telah menyelamatkan kumpulan itu manakala perkhidmatan berita lain melaporkan bahawa dua bot dari Oil and Natural Gas Corp milik Myanmar telah terlebih dahulu menyelamatkan mereka.
Kira-kira sejuta pelarian Rohingya, termasuk kira-kira 740,000 yang telah melarikan diri dari Myanmar semasa serangan kejam pihak tentera ke atas negeri asal mereka iaitu Rakhine pada 2017, kebanyakannya tinggal di kem-kem yang sesak dan berselerak di Cox’s Bazar, sebuah daerah di Bangladesh yang terletak di tenggara sempadan Myanmar.
Pada November 2017, kedua-dua negara mencapai kata sepakat berhubung pelan penghantaran pulang pelarian terbabit namun usaha itu menemui jalan buntu.
“Terdapat ramai orang dalam kem-kem itu yang hidup dalam keadaan yang begitu serba kekurangan. Oleh kerana mereka tidak melihat sebarang kemungkinan mengenai penghantaran pulang yang selamat ke tanah air kami dengan segera, mereka cuba melarikan diri untuk kehidupan yang lebih baik,” kata Muhammed Jubair, pemangku pengerusi Arakan Rohingya Society for Peace and Human Rights, sebuah kumpulan yang berpangkalan di kem-kem pelarian di Cox’s Bazar kepada d BenarNews.
Mizanur Rahman, pesuruhajaya bagi bantuan dan penghantaran pulang pelarian Bangladesh, menyalahkan prospek penghantaran pulang yang malap sehingga mengakibatkan etnik Rohingya melarikan diri daripada kem-kem itu untuk mencari tempat tinggal baharu di luar negara.
“Kerajaan Myanmar dan komuniti antarabangsa memikul tanggungjawab yang besar dalam isu ini bagi memastikan penghantaran pulang etnik Rohingya secara bermaruah,” kata Rahman kepada BenarNews.
Nur Khan Liton, pengarah eksekutif pertubuhan hak asasi manusia Ain-O-Salish Kendra di Bangladesh pula berkata terdapat beberapa sebab pelarian Rohingya meminta untuk meninggalkan kem-kem itu termasuk kekurangan peluang pendidikan dan rekreasi.
Beliau berkata kira-kira 40 remaja etnik Rohingya telah diberkas dan didenda pada awal bulan ini kerana bermain bola di sebuah kawasan permainan di luar sebuah kem di daerah kecil Ukhia di Cox’s Bazar.
Pelarian Rohingya kini mencari masa depan yang lebih selamat dan mampan, menurut Khan.
“Terdapat kebimbangan yang serius mengenai tahap keselamatan di kem-kem pelarian Rohingya. Keadaan hidup mereka amat teruk dan serba kekurangan,” katanya kepada BenarNews.
Sejak September 2021, situasi keselamatan di dalam kem-kem itu telah merosot secara ketara, dengan kehadiran kumpulan bersenjata dan disyaki militan Rohingya yang menyasarkan pelarian serta pemimpin etnik itu dalam pembunuhan beramai-ramai.
Pelarian Rohingya wanita dibantu ke daratan di Aceh Utara, Indonesia, 25 Jun 2020. [Muzakkir Nurdin untuk BenarNews]
Pada November, lebih 100 pelarian Rohingya mendarat di sebuah perkampungan pesisir di wilayah Aceh, Indonesia selepas hampir sebulan terkandas di lautan.
Atika Yuanita Paraswaty, yang mengetuai Indonesian Civil Society Association for Refugee Rights Protection (SUAKA), menyalahkan junta Myanmar kerana menyebabkan ramai orang melarikan diri.
“Memang benar keadaan di kem-kem pelarian di Rakhine dan Bangladesh agak tidak wajar, tiada apa lagi yang boleh mereka lakukan – itulah yang menyebabkan mereka melarikan diri,” kata Yuanita. “Kerajaan Myanmar perlu memikul tanggungjawab bagi keadaan di negara itu.
“Kami, sebagai rakyat Indonesia,perlu membantu mereka sebagaimana mandat dalam peraturan kerajaan nombor 125 from 2016, yang menyebut Indonesia hendaklah menerima kedatangan pelarian ke negara ini meskipun Indonesia tidak meratifikasi konvensyen mengenai pelarian,” katanya.
Tidak semua pelarian Rohingya yang cuba melarikan diri dari Myanmar berjaya berbuat demikian.
Pihak berkuasa telah melancarkan siasatan selepas sekumpulan wanita Burma menemukan 13 mayat yang dipercayai adlaah pelarian Rohingya berhampiran tempat pembuangan sampah di wilayah Yangon, Myanmar.
Radio Free Asia, sebuah perkhidmatan berita yang bersekutu dengan BenarNews, berkata penduduk percaya mangsa mungkin dibunuh oleh pihak berkuasa tempatan atau broker yang diupah membantu mereka melarikan diri daripada keadaan yang amat teruk di kem bagi orang yang tersingkir atau pelarian di negeri Rakhine.
Sejak tindakan keras tentera pada 2017 di sana, dianggarkan sejumlah 125,000 pelarian Rohingya telah dikurung di kem-kem di negeri itu. Data RFA yang dikumpul antara Disember 2021 dan September lepas mendapati hampir 800 pelarian Rohingya yang cuba meninggalkan Rakhine melalui jalan darat akan diberkas di beberapa bahagian di Myanmar.
‘Merisikokan nyawa mereka’
Di Thailand, yang berkongsi sempadan dengan Myanmar, seorang pejuang hak asasi manusia memberitahu BenarNews bahawa penyeludup boleh mengeksplotasi pelarian Rohingya ketika mereka cuba melarikan diri dari kem-kem itu.
“Agak sukar untuk menyatakan jika jumlah pelarian Rohingya yang cuba melarikan diri ke negara ini semakin meningkat kerana kita telah menyaksikan mereka cuba masuk melalui semua cara.
Mereka datang melalui jalan darat dan laut,” kata Puttanee Kangkun, pengarah The Fort, sebuah projek yang bersekutu dengan Fortify Rights, kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Asia Tenggara.
“Mereka merisikokan nyawa mereka dengan melarikan diri daripada situasi yang begitu mendesak di negeri Rakhine, Myanmar, atau sebagai pelarian di kem-kem di Cox’s Bazar,” katanya.
Puttanee menggesa kerajaan Thailand agar “segera berkoordinasi dengan kerajaan serantau bagi melaksanakan misis mencari dan menyelamat bagi bot-bot pelarian Rohingya yang terkandas dan terapung di lautan.”
Anggota keselamatan Bangladesh berkawal di sebelah seorang pelarian Rohingya yang telah diselamatkan dari laut selepas sekurang-kurangnya tiga orang lemas apabila bot dinaiki mereka yang menghala ke Malaysia karam di perairan Teknaf, Bangladesh, 4 Okt 2022. [AFP]
Ramakrishnan, daripada Beyond Borders Malaysia, berkata Perdana Menteri baharu negara itu sepatutnya meningkatkan campur tangan dalam hal itu. Malaysia yang memiliki penduduk majoriti beragama Islam adalah destinasi utama di Asia Tenggara bagi pelarian Rohingya beragama Islam yang melarikan diri dari Myanmar atau kem-kem pelarian di Bangladesh.
“Perdana Menteri Anwar Ibrahim sepatutnya mengambil peranan sebagai peneraju dalam dan menggesa usaha bersepadu dilakukan dari negara anggota ASEAN lain seperti Thailand untuk menyelamatkan semua bot ini. Undang-undang laut meletakkan kewajipan bagi membantu golongan wanita, kanak-kanak dan lelaki yang terkandas serta terapung dilautan ke atas setiap kerajaan,” katanya.
Malaysia terikat dengan prinsip tiada penghantaran pulang secara paksa, yang jelas menyatakan bahawa kita tidak boleh menghantar pulang pencari suaka ke tempat di mana mereka akan berdepan penganiayaan, keganasan atau kematian, kata Ramakrishnan.
Usaha-usaha penempatan semula
Sementara itu, Amerika Syarikat minggu lepas menerima ketibaan 24 pelarian Rohingya daripada sekumpulan 64 orang yang dikenal pasti sebagai calon bagi penempatan semula dari Cox’s Bazar, menurut para pegawai Bangladesh.
Pada Selasa, Jabatan Negara AS mengumumkan kolaborasi baharunya dengan UNHCR dan kerajaan Bangladesh dalam membenarkan pelarian Rohingya ditempatkan di Amerika Syarikat.
“Program ini, yang akan menjadi sebahagian daripada Program Kemasukan Pelarian AS, adalah satu elemen respons menyeluruh yang lebih luas terhadap krisis pelarian Rohingya dengan fokus utama adalah mempersiapkan mereka bagi penghantaran pulang secara sukarela, selamat, bermaruah dan lestari. Amerika Syarikat akan mempertimbang rujukan penempatan semula yang dikemukakan oleh UNHCR,” menurut kenyataan jabatan itu.
“Penempatan semula kebanyakan pelarian Rohingya dari Bangladesh mencerminkan pendirian sekian lama kepimpinan Amerika Syarikat terhadap isu penempatan semula pelarian susulan krisis penyingkiran beramai-ramai yang belum pernah berlaku memandangkan peningkatan jumlah mereka yang terpaksa melarikan diri akibat peperangan, penganiayaan dan ketidakstabilan.”
Kerajaan Jepun turut mempertimbang langkah membenarkan sesetengah pelarian Rohingya ditempatkan semula di negara itu, menurut agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS).
“Jepun telah menerima permintaan mengenai penempatan semula negara ketiga (pelarian Rohingya) daripada kerajaan anda. UNHCR di sini turut menasihati kami untuk menimbangkan kemungkinan itu,” kata Ito Naoki, Duta Jepun di Dhaka kepada agensi berita itu semasa beliau melakukan persiapan untuk menamatkan perkhidmatannya. Beliau berkata kira-kira 300 pelarian Rohingya tinggal di sebuah bandar yang terletak kira-kira 100 kilometer (62 batu) di utara Tokyo.
Ahammad Foyez di Dhaka, Pizaro Gozali Idrusin di Jakarta, Nisha David di Kuala Lumpur, Wilawan Watcharasakwet in Bangkok dan Radio Free Asia menyumbang kepada laporan ini.