Polis Malaysia Tahan Dua Etnik Rohingya Terlibat Sindiket Pemerdagangan Manusia

Nisha David
2020.06.22
Kuala Lumpur, Malaysia
200622-MY-Rohingya1000.jpg Foto tidak bertarikh ini dikeluarkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang menunjukkan anggota agensi berkenaan menahan sebuah bot yang membawa pelarian Rohingya di perairan Pulau Langkawi, pulau di utara Malaysia yang bersempadanan dengan selatan Thailand, 3 April 2018.
[Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia/AFP]

Pihak berkuasa Malaysia menahan dua lelaki etnik Rohingya yang dipercayai menjadi dalang sindiket pemerdagangan manusia dengan membawa masuk pendatang tanpa izin melalui lorong tikus di sempadan utara negara yang berjiran dengan Thailand itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kedah, Sapii Ahmad memberitahu BeritaBenar kedua-dua lelaki berusia 30an yang juga pemegang kad agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, UNHCR dipercayai membawa masuk pendatang secara haram ke negeri itu melalui jalan laut dan darat.

“Mereka dipercayai menempatkan pendatang tanpa izin di rumah transit di sekitar Kedah selepas membawa mereka masuk melalui lorong tikus menggunakan jalan laut dan darat di utara Malaysia.

“Turut ditahan dalam serbuan pada Ahad itu ialah 12 pendatang asing lagi yang ditempatkan di beberapa rumah di Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar,” kata Sapii semasa dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata seramai 11 warga asing yang dipercayai baru dibawa masuk ke negara itu terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita Rohingya, seorang lelaki Bangladesh dan seorang lagi wanita Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen kemasukan sah.

“Kedua lelaki yang menjadi dalang itu disiasat dan ditahan mengikut Seksyen 26 (A) Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), manakala 12 warga asing pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Kami sedang menyiasat bilangan warga asing yang sudah dibawa masuk dua lelaki ini dan juga sama ada mereka mempunyai kaitan dengan pendaratan ratusan etnik Rohingya di Pulau Langkawi baru-baru ini," katanya.

Kesemua tangkapan dilakukan dibawah Ops Benteng iaitu operasi yang dijalankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) sejak 1 Mei lalu bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

Tiga anggota polis ditahan

Sementara itu pada hari yang sama, Polis Perak mengumumkan penahanan tiga anggotanya yang dipercayai menjadi ejen sindiket penyeludupan manusia di Hutan Melintang, Bagan Datuk dan merupakan antara 14 individu yang ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Perak, Razarudin Husain berkata ketiga-tiga anggota yang bertugas di Balai Polis Hutan Melintang itu ditahan susulan dari tangkapan 11 ahli sindiket penyeludupan manusia sejak 4 April lalu.

"Tiga anggota polis yang berusia 30-an itu disyaki membantu sindiket penyeludupan manusia dengan 11 lagi suspek lain ditahan dalam beberapa siri operasi membabitkan enam lelaki tempatan, tiga lelaki warga Indonesia dan dua wanita Indonesia berusia antara 33 hingga 66 tahun," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.

Razarudin walaubagaimanapun tidak menyatakan bila ketiga mereka itu ditahan pihak berkuasa dan usaha BeritaBenar untuk mendapatkan penjelasan lanjut tidak berjaya.

Hasil siasatan polis negeri itu juga mendapati sindiket tersebut menggunakan laluan haram dan tidak diwartakan di kawasan Hutan Melintang untuk menyeludup manusia.

"Rangkaian sindiket terdiri daripada ejen yang menerima tempahan warga asing untuk pulang ke negara jiran, pengangkutan dengan menggunakan kereta persendirian serta teksi dan turut mengupah ejen rumah tumpangan, hotel bajet dan khemah di kawasan paya, pengawal atau jaga air dan pemilik bot serta ketua penyeludup di negara jiran," katanya.

Sindiket penyeludupan guna media sosial


Dalam pada itu, Polis Bukit Aman sedang mengesan ejen dan sindiket penyeludupan manusia yang mensasarkan warga Indonesia melalui laman media sosial Facebook, demikian menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed.

Huzir berkata sindiket itu dipercayai mengubah modus operandi mereka dan menggunakan Facebook untuk menjalankan kegiatan haram itu selepas kerajaan melancarkan kawalan ketat sempadan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP).

“Mereka menyasarkan warga Indonesia yang ingin pulang ke negara asal atau memasuki Malaysia secara haram melalui jalan laut dengan setiap orang dikenakan bayaran antara RM1,600 (AS$374) hingga RM3,000 (AS$701) jika mahu menggunakan perkhidmatan sindiket berkenaan,

“Maklumat di media sosial juga akan diperhalusi bagi membolehkan pasukan kami mengesan lokasi, masa dan laluan digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan penyeludupan keluar dan masuk," katanya semasa dihubungi BeritaBenar pada Isnin.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.