Follow us

Sindiket Penyeludupan Rentas Sempadan, Malaysia Tahan 11 Lagi Rakyat Myanmar

Pemegang kad pelarian UNHCR antara mereka yang ditahan kerana dipercayai menjadi ejen transporter kepada sindiket tersebut.
Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-10-03
E-mel
Komen
Share
Sekumpulan etnik Rohingya yang mendarat di pantai terpencil di negeri utara Malaysia, Perlis yang bersempadanan dengan Thailand ditahan pihak berkuasa di Kangar, Malaysia, 1 Mac, 2019.
Sekumpulan etnik Rohingya yang mendarat di pantai terpencil di negeri utara Malaysia, Perlis yang bersempadanan dengan Thailand ditahan pihak berkuasa di Kangar, Malaysia, 1 Mac, 2019.
(AFP)

Pihak berkuasa Malaysia menahan 11 orang yang dipercayai warga Rohingya kerana didapati terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia rentas sempadan menjadikan kesemua yang ditangkap seramai 94 orang, penangkapan tersebut adalah susulan daripada beberapa serbuan yang dibuat sebelum ini, demikian kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pada Khamis.

Ketua Polis Negara itu berkata, seorang daripada kesemua mereka yang ditahan adalah pemegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi pelarian [UNHCR] yang bertindak sebagai ejen transporter bersama tiga lagi rakan senegaranya.

"Pada 30 September di mana seorang warga Myanmar yang mempunyai kad pelarian UNHCR ditangkap di Perhentian Bas Puchong dan susulan daripada itu tiga lagi rakan senegaranya telah ditahan," kata Abdul Hamid dalam satu kenyataan media dikeluarkan Bukit Aman pada Khamis.

Beliau menambah sejurus itu juga pihak polis menggeledah sebuah rumah di Bandar Puchong dimana tujuh lagi rakyat Myanmar telah ditangkap.

"Kesemua migran tersebut dipercayai masuk ke Malaysia secara haram untuk bekerja di pelbagai sektor di Semenanjung Malaysia. Tangkapan terbaru itu juga mempunyai kaitan dengan operasi yang dijalankan pada 22 hingga 25 September lalu di sekitar Lembah Klang, Kelantan dan Pulau Pinang," kata Abdul Hamid.

Sementara itu, sumber polis yang rapat dengan siasatan berkenaan memberitahu BeritaBenar warga Myanmar yang ditahan itu adalah dari kalangan etnik Rohingya.

“Kesemua yang ditahan dalam operasi susulan juga warga Rohingya sama seperti tangkapan sebelum ini,” kata sumber tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara berkata, sindiket penyeludupan berkenaan telah menggunakan warga asing dan rakyat tempatan sebagai ejen mereka dengan menyeludup masuk migran dari Myanmar melalui jalan darat daripada Thailand menyeberangi Sungai Golok ke Rantau Panjang, Kelantan.

"Selepas berjaya memasuki negara secara haram, migran ini akan dihantar melalui ejen atau transporter ke negeri yang dikehendaki bekerja di pelbagai sektor di Semenanjung Malaysia," tambah Abdul Hamid.

Pecahan tangkapan dalam siri operasi itu adalah seramai tujuh rakyat tempatan iaitu enam lelaki dan seorang wanita manakala seorang lagi telah ditembak mati oleh pihak polis pada 25 September lalu.

Tangkapan terbaru itu menjadikan seramai 94 orang telah ditahan dalam siri operasi yang diadakan berkaitan sindiket rangkaian penyeludupan migran tersebut.

Dari jumlah itu, seramai 88 adalah warga Myanmar yang terdiri dari 74 lelaki dan 14 wanita dan mereka terdiri daripada ejen atau penghantar dan juga mangsa penyeludupan.

Kesemua anggota sindiket itu disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala mangsa penyeludupan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Pada 26 September lalu, polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dengan tertangkapnya ketua sindiket berkenaan bersama beberapa individu termasuk agen penghantar dan ahli sindiket.

“Tiga daripada mereka turut memiliki kad pelarian UNHCR,” kata Cheong Koon Kock, Timbalan Pengarah II Cawangan Khas dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Polis unit Cawangan Khas yang mengetuai operasi itu turut menahan puluhan etnik Rohingya yang diseludup masuk ke Malaysia menerusi Sungai Golok di sempadan Rantau Panjang, Kelantan dan Thailand, serta menempatkan mereka di 12 lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang untuk bekerja dalam sektor pertanian.

Cheong berkata polis telah mengekori sindiket itu sejak April tahun ini, dan menjalankan operasi menangkap ahli kumpulan tersebut dalam operasi selama empat hari bermula 22 Sept.

Kelantan merupakan negeri paling utara di Malaysia dan bersempadan dengan Thailand. Sempadannya yang luas dengan hutan yang agak tebal telah menjadikan ianya laluan bagi sindiket penyeludupan manusia untuk menjalankan aktiviti haram mereka itu, sekaligus menyukarkan usaha kerajaan Malaysia walaupun tahap pemantauan dan keselamatan dipertingkat.

Lihat Laman Penuh