Ketua Masyarakat: 90 Ribu Warga Rohingya Di Malaysia Sedia Bekerja

Muzliza Mustafa
2016.12.08
Kuala Lumpur
161208-MY-Rohingya-1000.jpg Pelarian Rohingya yang menetap di Malaysia sedang menunggu berhampiran pejabat Persuruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian di Kuala Lumpur, dengan harapan boleh menerima kad status pelarian, 11 Ogos 2015.
[AFP]

Sehari selepas kerajaan Myanmar mengumumkan bahawa ia tidak lagi akan menghantar pekerja ke Malaysia, peneraju kumpulan migrasi Malaysia berkata, terdapat kira-kira 90 ribu etnik Rohingya di negara itu yang mempunyai kesanggupan untuk bekerja.

Faisal Islam Muhammad Kassim, Presiden Persatuan Rohingya Malaysia (RSM) memberitahu BenarBenar,  membenarkan kumpulan itu bekerja dan mendapatkan pendidikan di Malaysia sekaligus dapat membantu ramai lagi yang kini berkongsi dan hidup berhimpit di rumah-rumah pangsa.

“Kami ingin bekerja dan meraih pendapatan sendiri,” kata Faisal, graduaan statistik dari sebuah universiti di Myanmar yang memperolehi pendapatan melalui kerja-kerja terjemahan  untuk media dan pelbagai kerja lain.

"Kami boleh mempunyai akses kepada insurans kesihatan, jika kami diberi peluang untuk bekerja secara sah di sini. Anak-anak kami juga boleh menerima pendidikan yang sewajarnya, "kata Faisal, yang telah berada di Malaysia selama tiga tahun dan bekerja cuma separuh masa.

Sebagai tindak balas, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan menyokong idea memberi peluang pekerjaan itu, berikutan langkah Myanmar pada hari Rabu.

"Saya secara peribadi percaya bahawa kerajaan Myanmar telah mengambil keputusan untuk memberhentikan penghantaraan pekerja Dengan itu, kerajaan Malaysia perlu membenarkan pelarian Rohingya yang berada di negara itu untuk bekerja

"Tetapi dasarnya perlu tegas. Tiada pelarian yang datang selepas tarikh tertentu harus dibenarkan untuk bekerja supaya negara tidak akan ditakluki oleh pelarian Rohingya, "Shamsuddin memberitahu BeritaBenar.

Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia Malaysia tidak menerima maklumat rasmi daripada kerajaan Myanmar mengenai larangan ke atas pekerja negara itu yang mahu ke Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, Richard Riot berkata, langkah itu tidak akan mengubah jumlah pekerja asing di Malaysia.

"Kira-kira 100,000 pekerja Myanmar bekerja di Malaysia dengan kebanyakan daripada mereka berada dalam sektor pembuatan," katanya sambil menambah negara itu mempunyai ramai pekerja dan hampir kesemuanya berasal dari Bangladesh.

Di samping itu, Malaysia baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Kemboja untuk membawa masuk pekerja, katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

UNHCR


Lebih 56 ribu warga Rohingya di Malaysia telah menerima kad status pelarian daripada Pesuruhjaya PBB Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur. Faisal berkata, seramai 35 ribu lagi tidak dikenali oleh UNHCR, yang melindungi pelarian tetapi tidak membenarkan mereka untuk bekerja secara sah.

Shamsuddin berkata jumlah pelarian adalah lebih tinggi, dengan mendakwa bahawa 150 ribu warga Rohingya yang berada di Malaysia tidak boleh bekerja secara sah.

Pada November, UNHCR memberitahu perkhidmatan berita Reuters bahawa ia sedang bekerjasama dengan pegawai-pegawai Malaysia di dalam program perintis untuk membenarkan  300 orang warga Rohingya untuk mengikuti program tersebut untuk tempoh lebih tiga tahun untuk bekerja di sektor perladangan dan perkilangan di Malaysia.

Kejatuhan Politik


Myanmar pada Rabu berkata ia telah buat sementara waktu, berhenti menghantar pekerja ke Malaysia memandangkan "keadaan semasa di Malaysia," dipercayai merujuk kepada ketegangan dua hala melibatkan tindakan keras tentera di negeri Rakhine.

Tentera Myanmar telah menjalankan operasi pembersihan keselamatan di bahagian utara negara itu yang bersempadan dengan Bangladesh, berikutan serangan maut ke atas pengawal Burma di pos-pos sempadan pada awal Oktober, dengan pihak berkuasa mempersalahkan militan Rohingya.

Dalam tindakan keras itu, pihak tentera telah dituduh melakukan pembunuhan di luar undang-undang, merogol dan melakukan perbuatan khianat terhadap masyarakat Rohingya. Pihak tentera negara itu telah menafikan melaku sebarang kekejaman dan sebaliknya menyalahkan perbuatan khianat yang telah memusnahkan beratus-ratus rumah kaum Rohingya.

Pada perhimpunan Ahad lepas, Perdana Menteri Malaysia mengkritik Myanmar dengan memetik fasal tidak campur tangan dalam piagam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), yang menghalang negara blok serantau itu dari campur tangan dalam urusan dalam negeri anggotanya.

Langkah itu mendorong Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Myanmar Kyaw Tin memanggil Duta Besar Malaysia Haniff Abd Rahman bagi menyatakan rasa kesal negara itu berhubung kenyataan Najib terhadap kerajaannya dan menolak tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik.

Peluang pendidikan


Faisal berkata kebanyakan warga Rohingya berada di Kuala Lumpur, Selangor, dan negeri utara Pulau Pinang. Anak-anak mereka menghadiri sekolah yang dikendalikan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

"Kami menjangkakan terdapat lebih banyak daripada apa yang kita telah rekodkan. UNHCR memberi kad kepada mereka yang benar-benar memerlukannya seperti yang uzur dan mereka yang telah ditahan oleh pihak berkuasa dan ditahan di depot imigresen, " kata Faisal, 34, bapa kepada seorang 5 bulan.

Lydia Amira, seorang guru di sebuah sekolah NGO di Kuala Lumpur yang menyokong memberikan hak untuk pendidikan kepada warga Rohingya berkata, "Pelajar-pelajar ini mempunyai potensi. Kami mahu mereka mempunyai bahasa dan pengetahuan supaya mereka boleh hidup di dunia luar. Mereka ini tidak ada bezanya daripada anak-anak biasa.

Di sini mereka belajar bahasa, asas Bahasa Inggeris. Malah, beberapa pelajar telah diterima untuk mengikuti program penempatan semula ke Amerika Syarikat. Mungkin dengan apa yang kita ajar di sini, satu hari nanti mereka boleh kembali ke negara mereka dan membina semula negara mereka dengan apa yang mereka pelajari, " katanya kepada BeritaBenar.



A. Ariffin dan Hadi Azmi menyumbang kepada laporan ini.





Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Osman
Sep 04, 2021 11:06 AM

Mencari perkerja rohingya yg boleh buat kerja pertukangan kayu