Follow us

Bot Bawa Etnik Rohingya Dibenarkan Mendarat di Pulau Langkawi

Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-06-08
E-mel
Komen
Share
Sebahagian daripada 269 etnik Rohingya yang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia di Kem Wawasan Negara di Langkawi, Malaysia, selepas bot dinaiki mereka ditunda ke sebuah jeti tempatan untuk dibaiki, 8 Jun 2020.
Sebahagian daripada 269 etnik Rohingya yang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia di Kem Wawasan Negara di Langkawi, Malaysia, selepas bot dinaiki mereka ditunda ke sebuah jeti tempatan untuk dibaiki, 8 Jun 2020.
(Foto ihsan Jabatan Imigresen Kedah)

Pihak berkuasa Malaysia menunda sebuah bot yang rosak ke darat dan menahan 269 etnik Rohingya pada Isnin, setelah puluhan daripada mereka terjun ke laut dan berenang ke sebuah pulau di luar pesisir barat laut Semenanjung Malaysia itu, kata para pegawai.

Bot itu membawa ratusan orang lagi ketika ia meninggalkan Bangladesh pada Februari, kata seorang pegawai keselamatan kanan  kepada BeritaBenar, dengan syarat namanya tidak dinyatakan kerana beliau tidak dibenarkan mengulas perkara itu. Pihak berkuasa maritim pada mulanya berusaha menolak bot itu supaya kembali ke perairan antarabangsa pada pagi Isnin dari luar Langkawi, sebuah pulau di utara negeri Kedah.

"Mereka dipercayai melarikan diri dari Cox's Bazar pada Februari," kata sumber itu, yang merujuk kepada daerah di tenggara Bangladesh di mana hampir 1 juta pelarian etnik Rohingya dari Myanmar diberi perlindungan di kem-kem di situ.

"Sembilan [anak kapal] melarikan diri setelah bot itu memasuki Malaysia," kata sumber keselamatan kanan Malaysia itu. "Bot itu dipercayai membawa 500 etnik Rohingya ketika ia berlayar dari Bangladesh tetapi hanya 269 orang sahaja yang ditemukan."

Pendaratan secara paksa itu adalah yang pertama kali dibenarkan Malaysia untuk etnik Rohingya setelah lebih dua bulan sempadan negara itu ditutup berikutan pandemik COVID-19.

Lewat Isnin, Pasukan Petugas Kebangsaan Malaysia mengeluarkan kenyataan mengenai pendaratan bot Rohingya itu, tetapi ia tidak menyatakan tentang beratus-ratus penumpang yang dipercayai berada di dalam bot tersebut ketika ia mula berlayar dari Cox's Bazar, atau menyatakan tentang bot itu yang berlayar dari Bangladesh.

Sebuah kapal pengawal pantai, KM Kimanis, mengesan bot itu pada awal Isnin dan diatur gerak ke kawasan terlibat untuk melaksanakan operasi pemantauan dan pengusiran bot terbabit ke perairan antarabangsa, kata kenyataan pasukan petugas itu.

“Ketika KM Kimanis menghampiri bot itu di perairan Langkawi, seramai 53 etnik Rohingya telah terjun ke laut dan berenang menuju ke pantai. Bagaimanapun, kesemua mereka ditahan oleh anggota APMM yang telah bersedia menunggu di daratan,” menurut kenyataan itu yang merujuk kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Kerosakan enjin dan beberapa lubang yang terdapat dalam bot itu "menghalang pihak berkuasa untuk melakukan tindakan selanjutnya. KM Kimanis telah memberikan bantuan makanan dan air bersih kepada kesemua pendatang tanpa izin itu,” kata kenyataan berkenaan. "Atas dasar kemanusiaan, Majlis Keselamatan Nasional membenarkan bot itu ditunda ke Langkawi."

Menurut pasukan petugas itu, seramai 216 etnik Rohingya ditemukan di dalam bot itu bersama-sama mayat seorang wanita etnik Rohingya, yang kemudian diserahkan kepada polis. Kesemua 269 pelarian itu – yang terdiri daripada mereka yang berada dalam bot dan mereka yang berenang ke pantai – telah ditahan dan dibawa ke Kem Wawasn Negara iaitu sebuah pusat latihan di Langkawi.

Pasukan petugas berkenaan diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia dan anggota lainnya terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia dan APMM. Ia dilancarkan pada Mei untuk menyelaraskan operasi kawalan sempadan di kalangan agensi keselamatan.

Pada 26 Mei, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Affendi Buang menyatakan Pasukan Petugas Kebangsaan itu ditubuhkan untuk memperketat kawalan keselamatan sempadan negara melalui usaha bersama bagi mencegah pendatang tanpa izin memasuki negara ini, menghentikan jenayah rentas sempadan dan membendung penularan koronavirus di Malaysia.

Kumpulan hak asasi berulang kali membangkitkan kebimbangan mereka mengenai kesan daripada dasar kerajaan Malaysia menolak kemasukan bot-bot yang membawa pelarian etnik Rohingya dan pendatang lain ke Malaysia serta hab bagi pekerja migran semasa tempoh berkenaan.

Sejak 1 Mei, pihak berkuasa telah menghalang 22 bot memasuki negara itu secara haram, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

"Pihak berkuasa telah menahan sejumlah 396 pendatang tanpa izin dan 108  tekong kerana cuba memasuki sempadan negara melalui laluan haram," katanya kepada wartawan di Putrajaya pada Isnin. "Turut ditahan ialah 11 individu yang dipercayai penyeludup manusia manakala 13 bot pula disita."

Bot Rohingya

Bot berkenaan merupakan bot pertama membawa etnik Rohingya yang mendarat di Malaysia sejak 5 April selepas sebuah bot yang membawa 202 etnik Rohingya, yang kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen, turut mendarat di Langkawi.

Pada 16 April, Tentera Udara Diraja Malaysia mengumumkan telah menangkis cubaan sebuah bot pukat tunda yang membawa kira-kira 200 etnik Rohingya daripada memasuki negara ini.

Ia menyatakan bahawa pasukan pengesan tentera udara memaklumkan perkara itu kepada tentera laut, yang kemudian mengerah kapal-kapalnya untuk mengiringi bot pukat tunda itu beredar dari perairan Malaysia dan diberi bantuan makanan atas dasar "kemanusiaan."

Kejadian itu menyebabkan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa dan yang lain mengkritik kerajaan Malaysia kerana mempertaruhkan nyawa etnik Rohingya dengan menghalang bot mereka daripada mendarat.

Sehari sebelum itu, pihak berkuasa di Bangladesh menyelamatkan hampir 400 etnik Rohingya. Ada yang menceritakan kisah menakutkan semasa berada di laut dengan menaiki bot pukat nelayan selama hampir dua bulan dan kemudian tidak dibenarkan memasuki Malaysia.

Reaksi kumpulan hak asasi


Inisiatif Utara-Selatan, sebuah pertubuhan kemanusiaan Malaysia, sementara itu menggesa kerajaan mengiktiraf  etnik Rohingya sebagai pencari suaka.

Pengarah eksekutif kumpulan itu, Adrian Pereira, menyatakan bahawa kerajaan mesti menghormati prinsip tidak menghantar pulang kerana tindakan mengusir pencari suaka boleh menyebabkan mereka berada dalam bahaya.

"Kerajaan Malaysia mesti sedar bahawa etnik Rohingya adalah satu daripada minoriti yang paling tertindas di bumi ini. Kita mesti mengiktiraf mereka sebagai pencari suaka dan memastikan mereka diberi layanan sewajarnya,” katanya kepada BeritaBenar. "Marilah kita tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah negara yang baik hati dan dapat melaksanakan tugas dan kewajiban antarabangsa kita."

Malaysia menempatkan kira-kira 180,000 pelarian yang didaftarkan menerusi agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, UNHCR, sehingga Februari lalu. Etnik Rohingya mencatatkan lebih daripada separuh jumlah pelarian di negara itu, menurut Fortify Rights, sebuah kumpulan pejuang hak asasi manusia.

Lihat Laman Penuh