Follow us

AS Tawar Pakej Bantuan Baharu Untuk Pelarian Rohingya; PM Bangladesh, Malaysia Gesa Penghantaran Pulang

Staf BeritaBenar
Dhaka, Kuala Lumpur & Washington
2019-09-25
E-mel
Komen
Share
Pelarian Rohingya menghulurkan tangan mereka untuk menerima bantuan yang diagihkan oleh organisasi tempatan di kem pelarian sementara Balukhali di Cox's Bazar, Bangladesh, 14 Sept 2017.
Pelarian Rohingya menghulurkan tangan mereka untuk menerima bantuan yang diagihkan oleh organisasi tempatan di kem pelarian sementara Balukhali di Cox's Bazar, Bangladesh, 14 Sept 2017.
[Reuters]

Amerika Syarikat telah mengumumkan bantuan kemanusiaan lebih $127 juta kepada pelarian Rohingya manakala pemimpin Bangladesh dan Malaysia menggesa Myanmar agar mewujudkan keadaan yang membolehkan penduduk tidak bernegara itu dihantar pulang.

Lebih 740,000 Rohingya melarikan diri dari negeri Rakhine di Myanmar ke negara jiran Bangladesh susulan serangan balas kejam yang dilancarkan pihak tentera sebagai respons kepada serangan pemberontak Rohingya ke atas pondok pengawal polis dan tentera di sempadan pada Ogos 2017.

“Dana ini akan membantu menangani keperluan kecemasan lebih 900,000 pelarian di Bangladesh, kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak Rohingya dari negeri Rakhine,” menurut jurucakap Jabatan Negara AS Morgan Ortagus dalam satu kenyataan.

Ortagus berkaata Amerika Syarikat kekal sebagai penyumbang utama kepada usaha meringankan krisis kemanusiaan Rohingya dan menyalurkan lebih $669 juta sejak keganasan meletus di Rakhine dua tahun lepas.

“Bagaimanapun, Amerika Syarikat tidak berupaya membiayai dana besar yang diperlukan dalam krisis itu seorang diri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa sambil menggesa  Myanmar “mewujudkan keadaan yang membolehkan penghantaran pulang pelarian secara sukarela, bermaruah dan lestari, berdasarkan persetujuan yang dimaklumkan oleh mereka yang telah disingkir secara paksa.”

Menurut Agensi Pelarian PBB iaitu UNHCR, lebih sejuta pelarian Rohingya kini berlindung di kebanyakan daerah Cox’s Bazar di Bangladesh, termasuk mereka yang sebelum ini melarikan diri susulan keganasan terdahulu yang meletus di Myanmar.

Pembiayaan AS itu telah diumumkan di New York, di mana pemimpin Malaysia Mahathir Mohamad, semasa acara peringkat tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata Myanmar “harus menunjukkan bahawa ia serius dalam meringankan krisis itu.”

“Dua percubaan telah dibuat untuk menghantar sebahagian daripada pelarian itu. Kedua-duanya gagal,” kata Mahathir dalam satu ucapan pada Selasa. “Sebabnya bagi kegagalan ini adalah jelas. Tiada siapa yang akan pulang jika mereka tidak merasakan bahawa keselamatan mereka adalah terjamin.”

Satu percubaan baharu untuk menghantar pulang beribu-ribu pelarian ke Myanmar gagal bulan lepas, dengan pegawai UNHCR dan Bangladesh berkata bahawa tiada seorangpun dalam kalangan sejumlah 3,450 orang yang ditemu bual untuk penghantaran pulang ingin berbuat demikian.

“Kita perlu menghentikan krisis ini dan kita perlu berbuat demikian sekarang,” kata Mahathir.

Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang berada dalam mesyuarat itu bersama-sama Mahathir, berkata Myanmar perlu menjamin keselamatan pelarian Rohingya dan mengambil langkah untuk membina keyakinan dengan membenarkan pemimpin mereka berkunjung ke Rakhine.

“Saya ulangi bahawa punca masalah Rohingya terletak di Myanmar dan penyelesaiannya harus dicari di Myanmar,” lapor agensi berita rasmi Bangladesh BSS memetik kenyataan Hasina kepada pemberita. “Mereka perlu boleh kembali ke kampung halaman tempat mereka tinggal selama berabad-abad.”

Pelarian telah menceritakan kisah ngeri mengenai insiden rogol, bunuh dan rumah dibakar yang merela alami kepada para penyiasat PBB semasa melarikan diri dari Rakhine. Pegawai tentera Myanmar telah menyangkal dakwaan mengenai kekejaman itu dan berkata pihak mereka ketika itu melancarkan serangan balas terhadap militan di negara tersebut.

Pelarian Rohingya di kem-kem pelarian di selatan Bangladesh telah menggesa kerajaan Myanmar untuk memberikan hak-hak kerakyatan penuh kepada mereka dan memastikan kepulangan selamat mereka ke negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha sebelum mereka memutuskan untuk kembali di bawah satu perjanjian penghantaran pulang, yang ditandatangani Myanmar dan Bangladesh pada November 2017.

Mahathir, dalam ucapannya di PBB, berkata Rohingya “telah berdepan kekejaman yang tidak dapat diungkapkan dan risiko menyaksikan keseluruhan generasi etnik itu dihapuskan.”

“Satu perkara adalah jelas,” kata beliau, “lebih lama pelarian tinggal di kem-kem, keadaan mereka akan menjadi lebih teruk.”

Lihat Laman Penuh