Follow us

Sindiket Pemerdagangan Manusia, Lima Etnik Rohingya Ditahan

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-07-10
E-mel
Komen
Share
Etnik Rohingya Muslim berada diatas sebuah trak selepas ditahan pihak berkuasa Myanmar di perbandaran Kyauktan, kira-kira 100 kilometer dari Yangon, Myanmar, 16 Nov, 2018.
Etnik Rohingya Muslim berada diatas sebuah trak selepas ditahan pihak berkuasa Myanmar di perbandaran Kyauktan, kira-kira 100 kilometer dari Yangon, Myanmar, 16 Nov, 2018.
[AP]

Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran dengan penahanan lima etnik Rohingya termasuk seorang ejen pemalsuan kad pengenalan agensi pelarian UNHCR Malaysia dalam satu operasi di Pulau Pinang bulan lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang T. Narenasagaran berkata, dua daripada lima yang ditahan itu dikenalpasti sebagai ejen menguruskan penyeludupan manusia, seorang ejen pemalsuan kad, manakala dua lagi merupakan mangsa.

“Hasil tangkapan yang dibuat mendedahkan sindiket itu turut menjalankan aktiviti pemalsuan kad UNHCR di kalangan komuniti Rohingya. Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa orang lagi anggota sindiket itu yang kini sedang giat dijejaki,” kata Narenasagaran.

Menurut agensi berita nasional Bernama, kesemua mereka yang ditahan itu berumur antara 30 dan 50 tahun, termasuk pasangan suami isteri.

“Kesemua mereka ditahan di tiga lokasi berasingan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada 14 Jun lepas hasil risikan dan intipan polis selama lebih dua minggu,” tambah Ketua Polis Negeri itu.

Menurut Narenasagaran, ketiga-tiga ejen tersebut kini ditahan dan disiasat dibawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai SOSMA.

“Dua mangsa etnik Rohingya ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya lagi.

Kad UNCHR

Menurut UNCHR, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] kad identiti pelarian hanya dikeluarkan kepada pelarian yang berusia 12 tahun ke atas dan mengandungi data biometrik termasuk cap jari dan imbasan retina untuk memastikan setiap kad identiti itu unik.

Pesuruhjaya Tinggi UNHCR Filippo Grandi dalam satu kenyataan di laman web pertubuhan itu berkata proses pengeluaran kad identiti tersebut merupakan satu usaha UNCHR untuk menegakkan hak asasi manusia bagi pelarian.

“Perlu diingat, ramai di antara mereka, sepanjang hidup, tidak pernah memegang sebarang dokumen pengenalan rasmi. Jadi bagi mereka, ini satu langkah ke arah hidup yang lebih bermaruah,” kata Grandi dalam kenyataannya pada Mei lalu.

Walaubagaimanapun, menurut bekas Pengarah Imigresen Perlis, Mohd Amir Othman, kewujudan kad UNCHR ini merupakan satu tarikan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke Malaysia dengan harapan dapat menjadi pemegang kad dan boleh bebas bergerak di negara ini.

Bercakap sebagai saksi ke 30 di prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian pada Mei lalu, Mohd Amir berkata terdapat pendatang tanpa izin yang seolah-olah mahu ditahan pihak berkuasa supaya kemudiannya dilepaskan apabila diproses dan mendapat kad tersebut.

“Mereka boleh bergerak bebas. Mereka yang memegang kad UNHCR tidak boleh bekerja, tetapi bila bekerja tak boleh tangkap. Pada pendapat saya, kad ini salah satu tarikan yang kuat untuk mereka datang,” jelas beliau.

Antara bukti yang dinyatakan oleh Mohd Amin dalam prosiding itu ialah statistik tahanan yang menunjukkan penahanan etnik Rohingya yang meningkat secara mendadak daripada 500 orang pada 2012 kepada lebih 2,500 orang pada 2013.

Suruhanjaya yang menyiasat penemuan sejumlah besar kubur mengandungi mayat etnik Rohingya dan rakyat Bangladesh di kem-kem pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia dan Thailand pada 2015 itu telah mengakhiri pendengaran awamnya pada 18 Jun lalu selepas 48 saksi memberi keterangan dalam 17 hari sejak prosiding dimulakan pada April.

Negara-negara Islam telah dilihat sebagai tempat selamat di Asia Tenggara bagi etnik Rohingya melarikan diri dari penganiayaan oleh Myanmar yang mempunyai majoriti penduduk beragama Buddha dan keganasan di negeri Rakhine.  Malaysia merupakan salah sebuah negara tersebut.

Sehingga Mei 2019, terdapat seramai 173,730 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia di mana 93,190 orang daripadanya ialah etnik Rohingya.

Lihat Laman Penuh