Follow us

Malaysia Rancang Usir Etnik Rohingya Baru Tiba Di Langkawi

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-06-09
E-mel
Komen
Share
Sebuah bot kayu, yang membawa pelarian etnik Rohingya yang ditahan di perairan wilayah Malaysia, tiba di sebuah jeti di Kuala Kedah, Malaysia, 3 April 2018.
Sebuah bot kayu, yang membawa pelarian etnik Rohingya yang ditahan di perairan wilayah Malaysia, tiba di sebuah jeti di Kuala Kedah, Malaysia, 3 April 2018.
[AFP]

Malaysia merancang untuk mengusir 269 pelarian etnik Rohingya yang ditahan oleh pihak berkuasa tempatan selepas bot rosak, mereka ditunda dan dibenarkan mendarat untuk dibaiki di Pulau Langkawi, kata Menteri Pertahanan negara itu pada Selasa.

Kerajaan berhasrat untuk menghubungi pegawai Bangladesh bagi menentukan sama ada bot yang tiba pada Isnin itu telah berlayar dari Cox's Bazar, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaacob, yang merujuk kepada daerah di tenggara Bangladesh di mana pelarian etnik Rohingya dari Myanmar diberi perlindungan di kem-kem yang bertaburan di situ.

Jika ia benar, katanya, Malaysia akan menghantar etnik Rohingya itu kembali ke Bangladesh.

"Kami telah membuat keputusan bahawa kami tidak boleh membiarkan mereka berada di negara ini," kata Ismail Sabri kepada wartawan.

"Kami akan meminta Kementerian Luar untuk berbincang dengan Bangladesh jika mereka yang tiba pada Isnin adalah dari Cox’s Bazar, maka, kami akan menghantar mereka kembali ke situ. Mungkin, kami akan meminta mereka ditempatkan di penempatan yang disediakan kerajaan Bangladesh untuk etnik Rohingya,” katanya pada taklimat media harian mengenai pengurusan kerajaan Malaysia berhubung pandemik koronavirus.

Menteri pertahanan itu memberitahu bahawa Kementerian Luar juga akan diminta menghubungi UNHCR, iaitu agensi bagi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,"supaya kami boleh menghanar mereka ke negara ketiga."

Tetapi, pada lewat Selasa, Menteri Luar Bangladesh menolak cadangan Malaysia untuk menghantar pelarian berkenaan menaiki bot itu kembali ke negaranya.

“Etnik Rohingya adalah warganegara Myanmar dan Malaysia harus menghantar etnik Rohingya itu ke Myanmar dan bukannya ke Bangladesh. Jika tidak, mereka (Malaysia) boleh membiar etnik Rohingya itu berada di negara mereka sendiri,” kata Menteri Luar Negeri A.K. Abdul Momen kepada BeritaBenar.

"Kami tidak akan menerima etnik Rohingya lagi," katanya, sambil menegaskan bahawa pelarian itu bukanlah tanggungjawab Bangladesh dan pihak berkuasa Malaysia belum menghubungi kerajaannya mengenai bot yang tiba di Langkawi sehari sebelumnya.

Pada Isnin, pengawal pantai Malaysia cuba memintas bot itu dan mendorongnya kembali ke perairan antarabangsa di luar Langkawi, tetapi seramai 53 orang yang berada atas bot itu telah bertindak terjun ke laut dan berenang ke pulau itu, kata Pasukan Petugas Kebangsaan kerajaan dalam satu kenyataan.

Pengawal pantai telah menunda bot itu ke sebuah jeti tempatan untuk dibaiki setelah mendapati adanya kerosakan pada enjin selain terdapat beberapa lubang di dalam bot itu. Pihak berkuasa juga menahan kesemua 269 penumpang bot itu termasuk mereka yang berenang ke pantai, kata pasukan petugas berkenaan dalam kenyataan itu. Etnik Rohingya tersebut ditahan di sebuah pusat tahanan di Langkawi, menurut pasukan petugas itu.

Pendaratan bot itu menandakan buat pertama kalinya Malaysia membenarkan sebuah bot membawa pelarian etnik Rohingya memasuki wilayahnya setelah negara itu menutup semua sempadannya lebih dari dua bulan lalu bagi mengekang penularan koronavirus.

"Setelah pemeriksaan dilakukan dalam bot itu, seramai 216 pendatang tanpa izin etnik Rohingya bersama-sama satu jenazah wanita pendatang tanpa izin ditemukan," kata pasukan petugas itu dalam kenyataannya.

Bagaimanapun, pada Selasa, pegawai kerajaan Malaysia tidak segera melayani permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan penjelasan mengenai sama ada terdapat ratusan lagi etnik Rohingya yang berada di dalam bot itu semasa ia mula berlayar. Kenyataan pasukan petugas itu hanya menyatakan seramai 269 etnik Rohingya dan ia tidak memaklumkan sama ada kapal itu berlayar dari Cox's Bazar.

Pada Isnin, seorang pegawai kanan keselamatan Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa mereka yang menaiki bot itu dipercayai berlayar dari daerah Bangladesh itu pada Februari.

"Bot itu dipercayai membawa 500 etnik Rohingya ketika berlayar dari Bangladesh tetapi hanya 269 orang sahaja yang ditemukan," kata sumber itu, yang meminta namanya tidak dinyatakan kerana beliau tidak dibenarkan bercakap kepada media mengenai perkara itu.

Pada Isnin juga, akhbar harian Malaysia, Harian Metro, memetik sumber yang menyatakan bahawa bot itu telah berlayar dari Cox's Bazar.  Bot itu dipercayai membawa lebih daripada 500 etnik Rohingya dan "seramai 200 daripadanya dilaporkan mati semasa pelayaran itu, tetapi pihak berkuasa masih menyiasat perkara tersebut," lapor Harian Metro yang memetik maklumat dari sumber tanpa nama.

Maklum balas badan bukan kerajaan

Pada Selasa, pegawai di dua pertubuhan NGO tempatan yang terlibat dalam urusan pelarian memberitahu BeritaBenar bahawa bot yang tiba di Langkawi adalah satu daripada dua bot yang telah meninggalkan Bangladesh pada Februari lalu. Bot-bot itu membawa antara 700 hingga 800 pelarian, menurut seorang pegawai sebuah daripada NGO itu.

"Masih ada satu lagi bot di laut. Mereka terpisah,” kata pegawai itu yang tidak mahu namanya disebutkan atas alasan untuk keselamatan diri.

Ketua sementara Amnesty International cawangan Malaysia pula mengulas mengenai penemuan mayat wanita Rohingya dalam bot yang dibenarkan mendarat di Langkawi itu.

“Amat menyedihkan untuk menemui satu mayat wanita dalam bot itu - jelas sekali bahawa bot ini telah terdampar di laut dan gagal menemui pantai yang selamat untuk mendarat ketika itu. Malang sekali mereka lambat diselamatkan,” kata Preethi Bhardwaj.

Beliau memuji pihak berkuasa Malaysia kerana membenarkan bot itu mendarat pada Isnin, dan menganggapnya sebagai langkah  berperikemanusiaan.

"Bot yang membawa orang dalam kesusahan perlu sentiasa dibenarkan mendarat dengan selamat. Mereka tidak boleh diusir, diancam atau ditakut-takutkan,” katanya.


Jesmin Papri di Dhaka dan Ray Sherman di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh