Malaysia: Kanak-kanak Rohingya perlu akses pendidikan di sekolah awam

Kos pembelajaran di pusat pendidikan swasta mahal, tidak mampu ditanggung komuniti pelarian di Malaysia.
Iman Muttaqin Yusof dan Ahmad Mustakim Zulkifli
2024.02.20
Kuala Lumpur
Malaysia: Kanak-kanak Rohingya perlu akses pendidikan di sekolah awam Pelajar Akademi Darul Eslah Rohingya sebuah Madrasah dan Tahfiz bagi pelarian Rohingya semasa waktu persekolahan di Tasik Tambahan Ampang, Kuala Lumpur, 6 April, 2022.
[Syahrin Abd Aziz/BenarNews]

Kanak-kanak pelarian Rohingya di Malaysia dinafikan akses pendidikan awam, menurut kumpulan aktivis, sekali gus memaksa ibu bapa mereka membayar yuran tuisyen swasta yang mahal dalam keadaan mengalami kesempitan hidup.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), satu-satunya peluang bagi kanak-kanak pelarian dan pencari suaka mendapatkan pendidikan ialah di pusat pembelajaran tidak rasmi memandangkan Malaysia tidak membenarkan golongan tersebut memasuki sekolah kerajaan.

"Ibu bapa Rohingya perlu menyimpan banyak wang untuk membolehkan mereka mampu membayar yuran tuisyen atau sekolah swasta untuk anak-anak," kata warga Rohingya yang dikenali sebagai Noor Azizah, 29, kepada media pada Selasa.

Beliau yang dalam rangka lawatan menerusi program bersama aktivis bertemu dengan pelarian berada di Malaysia selama dua minggu, juga mempunyai pengalaman tidak dibenar akses kepada sistem Pendidikan semasa menetap di Sabah secara tidak sah.

“Wang biasanya digunakan untuk membeli makanan. Jadi mereka akan makan nasi sehari sekali berbanding kelaziman tiga kali sehari. Jadi pendidikan penting bagi kami kerana kami menghargainya."

ROHINGYA_STUDENT_01.jpg

Kanak-kanak Rohingya sedang membaca buku belajar melukis di perpustakaan di Madrasah Darul Eslah di Ampang, Selangor, 23 Ogos 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]

Pendidikan dirompak

Noor Azizah merupakan salah seorang daripada ribuan warga Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan di Rakhine, Myanmar dan bersama keluarga melarikan diri ke Malaysia, sebelum mencari suaka di Australia pada 2003 semasa berusia 8 tahun.

“Pendidikan telah dirompak daripada kami. Di negeri asal, rejim tentera tidak membenarkan kami ke sekolah, mereka menyasarkan hak pendidikan bahkan membakar buku-buku kami. Kami kini mempunyai tiga generasi Rohingya yang buta huruf kerana pendidikan dirampas daripada mereka.

“Menjadi tanggungjawab negara tuan rumah untuk memastikan mereka boleh menyediakan pendidikan kepada golongan tidak berdaya yang sedang melarikan diri daripada pembunuhan beramai-ramai,” kata Noor Azizah yang juga pengasas bersama kumpulan hak asasi Maiyafuinor Collaborative Network.

Etnik Rohingya yang majoritinya penganut Islam merupakan salah satu kumpulan minoriti Myanmar bertindak melarikan diri ke Malaysia atau mencari perlindungan di kem pelarian di Bangladesh.

Sehingga penghujung Januari lalu, UNHCR melaporkan seramai 163,630 pencari suaka dari Myanmar berada di Malaysia termasuk 108,310 berketurunan Rohingya, 25,220 etnik Chin dan 30,100 individu melibatkan lain-lain etnik yang melarikan diri daripada penindasan.

Kira-kira 66 peratus daripada jumlah itu adalah adalah lelaki, dengan 34 peratus adalah wanita, manakala terdapat kira-kira 52,300 kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Malaysia, bagaimanapun tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 sekali gus bermakna tiada peraturan terperinci yang melindungi hak-hak warga Rohingya di negara itu.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, kerajaan Malaysia turut menahan pencari suaka khususnya individu etnik Rohingya termasuk kanak-kanak sejak beberapa tahun lepas.

Pelarian itu ditahan di depot-depot tahanan Imigresen bagi tempoh yang lama memandangkan mereka tidak boleh diusir.

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Parlimen pada Jun tahun lalu bahawa pihaknya sedang mendapatkan angka tepat pelarian dan pencari suaka dalam negara bagi membolehkan kerajaan mengusulkan pelan untuk komuniti tersebut termasuk kebenaran untuk bekerja, mendapatkan pendidikan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Dalam pada itu, Debbie Stothard, pengasas ‘Alternative ASEAN Network on Burma’ berkata cabaran timbul apabila kanak-kanak pelarian mahu mendapatkan pendidikan peringkat menengah di pusat pengajian yang dikendalikan pertubuhan masyarakat sivil selepas mereka tamat pendidikan rendah.

“Bagi kanak-kanak Rohingya, mereka memasuki sekolah-sekolah komuniti sehingga darjah enam, itu paling tinggi. Selepas itu, mereka ada pilihan memasuki sekolah-sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi keluarga mereka perlu membayar RM280 (AS$58) sebulan yang mana tidak semua orang mampu.

“Ia tidak praktikal dan memakan kos untuk melaksanakan sistem-sistem pendidikan yang berasingan sedangkan kita sepatutnya mempunyai satu sistem kebangsaan menerusi sekolah-sekolah awam,” kata Stohard semasa taklimat.

Menurut Stothard sekolah-sekolah tersebut dikendalikan komuniti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kebiasaannya mempunyai ruang yang terhad sehingga membawa kepada keadaaan sesak untuk kanak-kanak sekali gus menjadikan persekitaran pendidikan tidak kondusif.

"Dengan membolehkan kanak-kanak pelarian memasuki sekolah awam dan memanfaatkan guru-guru sukarela dalam sistem kebangsaan, ia akan menjadi satu penyelesaian yang lebih menjimatkan," ujarnya.

Terdapat kira-kira 150 pusat pendidikan pelarian di Semenanjung Malaysia yang diiktiraf oleh UNHCR tetapi ia tidak semestinya mendapat sokongan kewangan daripada badan dunia itu, menurut laman web UNHCR.

BenarNews cuba mendapatkan komen daripada Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek tetapi masih belum menerima maklum balas.

ROHINGYA_WOMEN_02.jpg

Aktivis wanita Rohingya, dari kiri Nur Hayat Sultan, Noor Azizah, Norhayati Ali dan Yasmin Ullah selepas sidang media 'Rohingya Maiyafuinor' di Kuala Lumpur, 20 Februari 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Menyumbang semula

Sementara itu, Nur Hayat Sultan, seorang pelarian Rohingya yang kini menetap di Amerika Syarikat berkata dia percaya akses kepada pendidikan di Malaysia membolehkan kanak-kanak Rohingya menyumbang semula kepada masyarakat negara itu pada masa depan.

“Perkara itu bukan senang tetapi saya berada di sini sekarang kerana pendidikan,” kata Nur Hayat yang pernah menetap di Malaysia ketika menceritakan tentang kejayaannya.

“Mereka sebenarnya mahu belajar, pergi ke sekolah, duduk bersama dengan komuniti dan kanak-kanak ini mempunyai impian menjadi doktor serta guru untuk menyumbang semula kepada masyarakat Malaysia sekiranya mereka mempunyai peluang untuk mendapat pendidikan."

Nur Hayat dan ahli keluarganya bernasib baik walaupun menunggu lapan tahun untuk dipindahkan ke Amerika Syarikat.

Aktivis Mahi Ramakrishnan daripada ‘Beyond Borders Malaysia’ pula percaya Malaysia mempunyai tanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyediakan masa depan lebih baik dan peluang menyara kehidupan kepada anak-anak pelarian.

“Menyediakan akses peluang belajar di sekolah-sekolah kerajaan untuk pelarian itu merupakan suatu perkara yang penting kerana ia mempromosikan inklusiviti selain membenarkan pendidikan berstruktur kepada mereka,” katanya kepada BenarNews.

“Seperti di Turkiye, lebih sejuta pelajar membabitkan komuniti pelarian diintegrasikan ke dalam sekolah kerajaan, satu inisiatif yang disokong oleh Bank Dunia.

“(Jadi) kita mempunyai infrastruktur yang sedia ada di Malaysia. Sudah tiba masanya kita memanfaatkan pendekatan campuran untuk pengajaran dan pembelajaran.”

Katanya, apa yang diperlukan di Malaysia ialah tekad politik untuk menjayakannya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.