Follow us

'Homeschool' Beri Sinar Kepada Pelarian Rohingya

Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-11-22
E-mel
Komen
Share
Sheikh Sina, 29, mengajar wanita Rohingya belajar asas Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia dalam projek ‘homeschool’ di Kuala Lumpur, 21 November, 2018.
Sheikh Sina, 29, mengajar wanita Rohingya belajar asas Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia dalam projek ‘homeschool’ di Kuala Lumpur, 21 November, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Hidup di negara asing mungkin menakutkan bagi seseorang, dan ia menjadi lebih sukar sekiranya dia langsung tidak memahami bahasa ibunda di negara berkenaan.

Itulah yang dialami Noor Haba sejak tiba di Malaysia pada 2013 selepas melarikan diri daripada penindasan dan kekacauan yang berlaku di tanah airnya di wilayah Rakhine, Myanmar.

Selain tidak tahu bertutur bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, ibu berusia 44 tahun ini juga tidak mengenali huruf-huruf roman yang digunakan di Malaysia, lantas membantutkan kefahamannya tentang persekitaran baru itu.

Noor Haba adalah antara ratusan ribu pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Malaysia.

Statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) menunjukkan terdapat 40,070 pelarian Rohingya yang berdaftar dengan suruhanjaya itu sejak 2014.

Bagaimanapun, pada Oktober lalu Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, jumlah mereka adalah melebihi 100,000 orang termasuk yang tidak berdaftar.

Noor Haba berkata, kesukaran membaca dan bertutur dalam bahasa berkenaan  menyebabkan beliau terpaksa meminta bantuan rakan-rakan untuk menemaninya jika mahu ke mana-mana.

“Untuk menaiki bas pun saya perlu dibantu sebab saya tidak boleh membaca nombor dan destinasi bas.

“Saya juga bergantung kepada rakan yang fasih berbahasa Malaysia untuk berkomunikasi dengan pemandu bas,” katanya yang dibantu oleh jurubahasa ketika ditemu bual BeritaBenar.

Berikutan itu, Noor Haba memberanikan diri untuk menyertai satu program pendidikan ‘homeschool’ baru-baru ini, yang menerapkan pembelajaran berpusat di rumah yang dianjurkan Yayasan Geutanyoe yang membantu golongan wanita dan kanak-kanak perempuan Rohingya belajar  bahasa Melayu dan bahasa Inggeris asas.

Walaupun baru menyertai kelas berkenaan, wanita itu sudah boleh membaca dan menulis dalam kedua-dua bahasa itu.

“Sikit-sikit, saya fahamlah,” katanya sambil menunjukkan buku latihan yang penuh dengan nota bahasa Inggeris.

Turut mendapat manfaat daripada program tersebut ialah Noor Bahar, 50, yang baru sahaja menyertai kelas berkenaan.  Walaupun usianya sudah mencecah lima dekad, namun itu tidak menghalangnya belajar bertutur bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

Kini, wanita itu sudah mampu menulis dan memahami beberapa perkataan asas kedua-dua bahasa berkenaan.

Kelas ‘homeschool’ itu, yang dilancarkan pada Disember 2017, membuka peluang kepada golongan wanita komuniti Rohingya di sekitar Kuala Lumpur untuk mempelajari bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris asas secara percuma.

181122-MY-Inside-Rohingya2.jpg

Noor Bahar (kiri) dan Noor Haba(kanan) menunjukkan buku latihan penuh dengan catatan pelajaran bahasa mereka, Kuala Lumpur, 22 November 2018. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Muhammad Hasson Rashid, 19, dari Yayasan Geutanyoe, berkata idea penubuhan ‘homeschool’ itu tercetus daripada pengalamannya membantu pelarian Rohingya di kem-kem pelarian untuk berkomunikasi dengan doktor yang merawat mereka.

Yayasan Geutanyoe diasaskan pada 1999 bagi membantu penduduk wilayah Aceh di Indonesia dan kini terlibat secara langsung membantu pelarian Rohingya melalui program pemerkasaan dan kebajikan.

Muhammad Hasson, yang juga pelarian Rohingya, sempat mendapat pendidikan asas bahasa Inggeris sebelum tiba di Malaysia pada 2015 dan pengetahuan itu digunakannya untuk membantu pelarian lain di kem-kem pelarian.

“Bagi tujuan perubatan, kedua-dua pihak perlu bercakap menerusi penterjemah untuk saling memahami,” kata Muhammad Hasson yang mengelolakan projek tersebut.

Menurutnya, masalah itu lebih teruk dalam kalangan wanita Rohingya kerana mereka tidak terdedah kepada masyarakat umum Malaysia dan tidak tahu bertutur bahasa Malaysia.

Sejak ditubuhkan, pusat itu telah menganjurkan kelas di enam lokasi di sekitar Kuala Lumpur dengan setiap kelas dihadiri oleh 15 hingga 20 pelajar tanpa mengira usia.

Ketika ditemui di kelas yang diadakan di Ampang, dekat Kuala Lumpur, Noor Haba duduk bersama-sama anaknya, Raihana, 14, untuk belajar bahasa Inggeris.

“Mereka semua ini seperti keluarga saya dan kami gembira dapat belajar bersama-sama,” kata Raihana.

Remaja itu juga gembira berada di Malaysia dan keupayaan bertutur bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris memudahkannya untuk menyesuaikan diri di negara ini.

Sahabatnya, Nur Khaidah Imam Hussan, 14, pula berkata beliau bersyukur kerana ibunya menggalakkannya mendapatkan pendidikan. Ibunya juga tidak mahu beliau berkahwin awal seperti anak-anak Rohingya lain yang berkahwin pada usia semuda 12 tahun.

"Saya mahu belajar sehingga betul-betul fasih. Sekarang saya belajar bahasa Inggeris, bahasa Malaysia, bahasa Myanmar dan bahasa Mandarin," katanya.

Nur Khaidah juga mahu ibunya, seorang tukang sapu, berbangga mempunyai anak perempuan yang dapat keluar daripada kepompong pemikiran kolot masyarakat Rohingya.

"Tiada siapa mahu ke negara lain selain Malaysia. Orang di sini tidak kejam. Walaupun hidup di sini tidak mewah tetapi ia jauh lebih baik," katanya.

Nur Khaidah tiba di Malaysia dengan menaiki bot bersama-sama ibu dan tiga beradiknya enam tahun lepas. Bapanya enggan mengikut mereka berhijrah kerana mahu menjaga orang tuanya.

Namun, setibanya di Malaysia, mereka diberitahu bahawa bapanya telah ditembak mati oleh tentera Myanmar.

Daripada Rohingya untuk Rohingya

Walaupun program ‘homeschool’ menerima bantuan dana, Muhammad Hasson berkata, ia diuruskan sendiri oleh komuniti Rohngya dan dipantau oleh Yayasan Geutanyoe.

Kelas pendidikan untuk wanita dan kanak-kanak yang mengandungi dua sesi pembelajaran itu memerlukan dana kira-kira RM3,000 untuk kos penggajian guru, penyediaan alat tulis dan wang saguhati untuk pemilik rumah.

“Kosnya agak tinggi dan kita sentiasa cuba mendapatkan dana supaya kelas ini dapat diteruskan.

“Tetapi. kami bangga kerana kelas-kelas ini adalah usaha komuniti Rohingya sepenuhnya. Rumah, guru, pelajar semuanya orang Rohingya,” katanya.

Sheikh Sina, 29, guru bagi kelas di Ampang berharap usahanya mendidik golongan wanita itu dapat membantu mengukuhkan lagi keyakinan mereka bergaul dengan masyarakat tempatan, sekali gus membuka peluang untuk hidup berdikari.

“Ada antara mereka yang sukar memberitahu doktor di hospital bahawa mereka sakit kepala kerana tidak tahu bahasa tempatan,” katanya.

Selain itu, Sheikh Sina berkata, ada dalam kalangan komuniti mereka yang masih berpandangan sempit tentang peranan wanita dalam masyarakat dan tidak mahu mereka ke sekolah atau bergaul dengan masyarakat tempatan.

“Bagi kebanyakan mereka, mendapat keizinan suami itu sangat penting. Jadi, saya perlu jelaskan kepada mereka bahawa ini adalah program wanita.

“Guru terdiri daripada wanita, pelajar pun wanita dan kelas pula diadakan di rumah rakan-rakan wanita,”katanya yang fasih berbahasa Inggeris itu.

Sheikh Sina berpengalaman bekerja dan dilatih di bawah International Catholic Migration Commission (ICMC) dalam bidang keganasan terhadap wanita termasuk kes yang melibatkan perkahwinan kanak-kanak.

Ketika ditanya mengenai keputusan kerajaan Malaysia pada 12 Okt lalu untuk membenarkan anak-anak tanpa kewarganegaraan mengikuti pembelajaran di sekolah kebangsaan, beliau menyambut baik keputusan itu.

“Ia satu cadangan yang baik, tapi belum jelas sama ada ia turut melibatkan anak-anak pelarian,” katanya.

Malaysia tidak menandatangani dua perjanjian antarabangsa mengenai pelindungan pelarian iaitu Kovensyen Pelarian 1951 dan Protokol Berkenaan Status Pelarian 1967 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mengikut undang-undang Malaysia, pelarian Rohingya dilihat sebagai pendatang tanpa izin dan mereka tertakluk kepada Akta Imigresen dengan risiko ditangkap, ditahan dan dihantar pulang ke negara asal.


Lihat Laman Penuh