Selangor Kini Jadi Lokasi Baharu Pendaratan Rohingya Dari Negara Jiran, APMM

Sindiket menyeludup masuk warga Rohingya yang terkandas di kem perlindungan di Aceh menggunakan Selangor sebagai lokasi pendaratan kerana jarak darat ke darat antara kedua-dua negara yang lebih dekat.
Muzliza Mustafa, Nisha David & Dizhwar Bukhari
2021.01.12
Kapar, Selangor, Malaysia
Selangor Kini Jadi Lokasi Baharu Pendaratan Rohingya Dari Negara Jiran, APMM Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menggunakan bot pemintas untuk membuat rondaan di perairan Selat Melaka, berhampiran Sungai Serdang di Kapar, Selangor, yang kini menjadi lokasi terbaharu sindiket penyeludupan Rohingya dari Indonesia, 7 Januari, 2021.
[Dizwar Bukhari/BeritaBenar]

Selangor, negeri yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia, kini menjadi lokasi sasaran pendaratan terbaharu sindiket pemerdagangan pelarian Rohingya merentasi Selat Melaka dari Medan, Indonesia, kata pegawai maritim kepada BeritaBenar, dengan jurucakap pemerintah Aceh Utara mengesahkan hampir 400 warga itu yang tiba tahun lepas mempunyai ahli keluarga di Malaysia, dan sukar bagi mereka menetap di Indonesia.

Kebanyakkan pelarian Rohingya yang tinggal di kem perlindungan di Lhokseumawe, Aceh itu terpaksa mendarat di wilayah tersebut, selepas sindiket yang membawa mereka dengan bot dari kem pelarian di Bangladesh, gagal menyelinap masuk dan mendarat ke destinasi terakhir, iaitu Malaysia, sama ada diusir keluar atau penguatkuasaan perairan sempadan yang ketat, demikian kata para pegawai dan badan bukan kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Selangor Norihan Ngah mengesahkan kepada BeritaBenar yang kawasan pantai Selangor menjadi lokasi pendaratan haram terbaharu warga Rohingya, selepas Pulau Langkawi, Kedah yang terletak kira-kira 490 kilometer daripada Selangor.

"Selangor menjadi lokasi sasaran pendaratan terkini Rohingya secara haram… Ini berikutan kawasan jarak darat yang dekat antara Selangor melintasi Selat Melaka dengan Sumatera, Indonesia, berbanding Langkawi.

“Sindiket membawa masuk Rohingya dari Indonesia dipercayai didalangi oleh rakyat negara itu, dengan Rohingya ini dari Aceh yang kemudiannya bergerak ke Bandar Medan untuk mendapatkan khidmat sindiket sebelum melakukan perjalanan ke lokasi pelepasan di Tanjung Balai.

"Jarak dari Tanjung Balai ke Selangor hanyalah kira-kira 75 batu nautika berbanding Langkawi, 102.1 batu nautika, antara sebab jarak inilah, kenapa pantai di Selangor menjadi sasaran sindiket penyeludupan manusia,” kata Norihan selepas wartawan dan jurugambar BeritaBenar membuat liputan eksklusif bersama APMM, minggu lepas.

Tambah beliau, faktor ekonomi dengan adanya peluang pekerjaan di Selangor adalah antara kenapa negeri itu menjadi sasaran Rohingya.

Beliau berkata, kemasukan warga Rohingya ke Selangor mula dikesan selepas pihak berkuasa menahan empat individu termasuk dua kanak-kanak di Pantai Morib, Selangor, pada 30 Disember lepas.

Susulan daripada itu, seramai 35 lagi warga Rohingya, bersama lima rakyat Indonesia telah cuba diseludup masuk melalui pantai Kampong Sungai Serdang, di Kapar dan berjaya ditahan pihak polis pada awal pagi 6 Januari lepas, dengan kesemua dipercayai baharu tiba dengan bot dari Indonesia.

210112-MY-Norehan.jpg
Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasan Maritim Selangor, Norihan Ngah memberi taklimat kepada BeritaBenar mengenai lokasi panas di sekitar perairan Selat Melaka terutamanya di Selangor berhubung pendaratan warga Rohingya dari Indonesia, 7 Januari, 2021. [Dizhwar Bukhari/BeritaBenar]

Kad UNHCR

Norihan berkata siasatan awal mendapati Rohingya yang ditahan di dua lokasi di Selangor itu mempunyai kaitan dengan pendaratan lebih 400 Rohingya di Acheh, Sumatera Utara pada tahun lalu berdasarkan kepada penemuan kad Persuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan di Indonesia daripada mereka.

“Kita temui kad UNHCR yang dikeluarkan di Indonesia daripada warga Rohingya yang ditahan ini dan mereka mengambil kesempatan, salah guna kad dan mahu menggunakannya di Malaysia. Pengiktirafan kad hanya di Indonesia bukan di Malaysia,” tambah Norehan.

Katanya, berdasarkan siasatan APMM, modus operandi yang sama digunakan sindiket yang melibatkan tekong laut dan darat bagi kedua-duanya tangkapan warga Rohingya di negeri itu baru-baru ini.

"Mereka [Rohingya] ini dari kem di Acheh, dibawa ke Medan atau Belangkis menggunakan jalan darat dan kemudiannya ke Tanjung Balai, sebelum menyeberangi Selat Melaka dengan bot ke Selangor, sindiket guna modus operandi sama menyeludup Rohingya seperti ditahan baru-baru ini.

“Kawasan Sungai Serdang juga adalah kawasan panas dengan kebarangkalian yang tinggi akan berlaku lagi kemasukan lebih ramai Rohingya ke Selangor, oleh sindiket yang sama," kata Norihan dengan menambah kawasan Sungai Besar, Sabak Bernam dan Pantai Morib juga dikenal pasti antara kawasan panas pendaratan pendatang asing dari Indonesia.

210112-MY-MalaysiaIndonesia620.jpg

Tinggal 100 orang

Dalam pada itu, jurucakap kerajaan Lhokseumawe di wilayah Aceh Utara yang hanya dikenali sebagai Marzuki mengesahkan bahawa kebanyakkan daripada 400 warga Rohingya yang tiba di Aceh tahun lepas mempunyai ahli keluarga di Malaysia, jadi amat sukar bagi mereka untuk terus menetap di Indonesia.

Katanya, berdasarkan daripada maklumat yang diperolehi pihak berkuasa berkenaan, daripada 352 warga Rohingya yang ditempatkan di kem perlindungan di Aceh, kini hanya tinggal lebih 100 orang sahaja di kem tersebut.

Beliau berkata ada di antara warga Rohingya dari kem berkenaan ditahan bersama rakyat tempatan yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia oleh pihak berkuasa Indonesia.

“Menurut maklumat yang kami terima pada 8 Januari, hanya tinggal 103 warga Rohingya daripada 352 yang ditempatkan di kem perlindungan di Aceh tahun lalu, ini bermakna 200 sudah melarikan diri. Ada dikalangan mereka ditahan bersama rakyat Indonesia yang terlibat dalam permerdagangan manusia oleh pihak berkuasa,” kata Marzuki kepada BeritaBenar pada Selasa.

Menurutnya lagi kerajaan tempatan telah menyerahkan pengendalian pelarian Rohingya kepada UNHCR berpangkalan di Indonesia pada 4 Disember lepas, di mana tanggungjawab sepenuhnya kini dibawah agensi itu.

“Tanggungjawab sepenuhnya mengenai pelarian Rohingya kini di bawah UNHCR,” kata Marzuki sambil menambah semasa kem pelarian dibawah selian kerajaan tempatan, pengawasan dikawasan itu adalah dibawa kawalan pihak tentera dan polis, dan sejak bertukar tangan, pengawasan menggunakan khidmat warga tempatan.

BeritaBenar cuba menghubungi jurucakap UNHCR di Indonesia Mitra Suryono tetapi tidak berjaya.

Geutanyoe Foundation, badan amal kemanusian yang ditubuhkan di Aceh, pada 1999, melalui Pengarah Operasinya Rima Shah Putra memberitahu BeritaBenar baru-baru ini, bahawa ramai warga Rohingya yang mendapatkan perlindungan di kem perlindungan di Aceh itu telah meninggalkan kem tanpa kebenaran pasukan petugas dengan dipercayai bergerak ke Medan sebelum diseludup masuk ke Malaysia.

“Pelarian Rohingya yang tinggal di kem sementara di Aceh wajib tinggal di dalam kem manakala di Medan mereka mempunyai kebebasan dan pilihan dalam menentukan tempat tinggal masing-masing. Selain itu, Medan mempunyai akses untuk memasuki Malaysia secara haram, daripada Tanjung Balai,” dakwanya.

Rima menambah, destinasi utama perlarian Rohingya adalah Malaysia dan bukannya Indonesia, kerana mereka mahu bersatu dengan ahli keluarga yang telahpun berada di Malaysia.

“Dengan berada di Medan, mereka mempunyai peluang tinggi untuk menyeberangi Selat Melaka untuk ke Malaysia, dan walaupun etnik Rohingya diberikan layanan baik seperti pendidikan dan akses kesihatan yang disediakan oleh organisasi antarabangsa seperti agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu - UNHCR, mereka masih mahu ke Malaysia," tambah beliau.

210112-MY-SungaiSerdang.jpg
Gambar sebahagian perairan dan pantai di kawasan Sungai Serdang, Selangor yang diambil menggunakan dron, kini menjadi lokasi sasaran pendaratan haram warga Rohingya dari Indonesia kerana jarak menyeberangi Selat Melaka yang tidak jauh daripada Tanjung Balai di Sumatera, 7 Januari, 2021. [Dizhwar Bukhari/BeritaBenar]

Tetap pendatang tanpa izin

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Khairul Dzaimee Daud memberitahu BeritaBenar bahawa pelarian Rohingya akan tetap dikategorikan oleh jabatan itu sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin dan kesemua yang ditahan akan ditempatkan di depoh tahanan sementara sama seperti semua pendatang haram lain.

“Rohingya secara dasarnya kita anggap Rohingya sebagai PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) dan sekiranya ditahan mereka akan ditempatkan di depoh tahanan seperti PATI lain,” katanya sambil menambah kumpulan Rohingya yang sebelum ini ditahan di Langkawi masih lagi berada di penempatan sementara Imigresen di Kem Wawasan di Langkawi.

Pada 22 Jun lalu, Malaysia mengusir sebuah bot yang membawa sekitar 300 pelarian Rohingya yang cuba memasuki perairan di Pulau Langkawi, Kedah sehingga mencetuskan kemarahan antarabangsa terhadap Putrajaya.

Terdahulu itu, pada 9 Jun, Malaysia menahan 269 pelarian Rohingya berhampiran perairan yang sama selepas membenarkan bot berkenaan mendarat berikutan kerosakan yang dialami bot tersebut.

Khairul Dzaimee berkata jabatan itu akan terus bersama agensi penguatkuasaan lain dalam Ops Benteng yang diperkenalkan pentadbiran Putrajaya, pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memantau dan mengekang jenayah rentas sempadan dalam usaha menyekat penularan pandemik COVID-19, selepas mengambil keputusan menutup pintu sempadannya sejak Mac tahun lepas.

“Jabatan Imigresen akan sama-sama memantau perkembangan kemasukan pendatang asing ke dalam negara termasuk etnik Rohingya,” tambah Ketua Pengarah itu lagi.

Bayaran berganda

Menurut APMM, siasatan awal agensi itu juga mendapati warga Rohingya yang memasuki Malaysia dari Indonesia terpaksa membayar harga berganda atas khidmat sindiket untuk menyeludup mereka masuk serta ‘diikat’ dan diawasi agen sindiket sehingga pembayaran selesai.

"Bayaran yang dikenakan sindiket keatas warga Rohingya ini berganda kerana mereka menyediakan pengangkutan darat dan laut serta tempat penginapan termasuk pekerjaan di Malaysia. Maklumat yang diperolehi, untuk bawa masuk ke perairan Malaysia dari kapal besar, akan dikenakan RM2,000 (AS$493) bagi setiap seorang tanpa dikenakan bayaran-bayaran lain.

"Kebiasaannya warga Rohingya ini akan membuat pembayaran secara bulanan kepada ejen sindiket yang mengawal mereka di Malaysia sebaik mendapat pekerjaan sehingga hutang selesai,” tambah Norihan.

Malaysia sebelum ini berkata negara itu tidak mengikhtiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin yang memegang kad Persuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Kementerian Dalam Negeri turut menegaskan bahawa Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekaligus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Riza Chadijah di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.