Follow us

Suhakam Mahu Kerajaan Beri Kelonggaran Serta Bantu Warga Rohingya

A. Ariffin
Kuala Lumpur
2017-01-26
E-mel
Komen
Share
Pelarian dari etnik Rohingya Muslim menangis mengenangkan nasib keluarga beliau di Myanmar yang ditindas, semasa satu perhimpunan di Kuala Lumpur, 4 Dis 2016.
Pelarian dari etnik Rohingya Muslim menangis mengenangkan nasib keluarga beliau di Myanmar yang ditindas, semasa satu perhimpunan di Kuala Lumpur, 4 Dis 2016.
AFP

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mahu kerajaan Malaysia  membenarkan pelarian Rohingya yang berada di negara itu bekerja serta memberikan peluang pendidikan kepada anak-anak pelarian,  kata Pengerusinya pada Khamis.

Pengerusi suruhanjaya Razali Ismail berkata, seramai 56 ribu pelarian Rohingya di Malaysia dinafikan beberapa hak, dan kerajaan perlu bertindak untuk membantu golongan berkenaan.

“Pemberian hak yang sah melalui proses undang-undang, boleh memberi peluang kepada masyarakat Rohingya menjadi lebih berdikari dan mengurangkan mereka daripada bergantung kepada bantuan kemanusiaan dan kerajaan,” tambah Razali yang juga seorang diplomat veteran dan duta khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar yang memainkan peranan penting dalam membebaskan pemenang Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi daripada tahanan rumah.

Beliau berkata, kad UNHCR hanya memberi perlindungan kepada pelarian tetapi tidak membenarkan mereka untuk bekerja atau mendapat pendidikan secara sah di negara itu.

“SUHAKAM merasakan kini memang tepat masanya untuk kerajaan meneruskan usaha kearah konvensyen itu, menjelaskan dan memberi kepastian dari segi undang-undang, serta memberi perlindungan kepada pelarian,” katanya.

Pada November lepas, UNHCR memberitahu perkhidmatan berita Reuters bahawa ia sedang bekerjasama dengan pegawai-pegawai Malaysia di dalam program perintis untuk membenarkan  300 orang warga Rohingya mengikuti program bekerja untuk tempoh lebih tiga tahun di sektor perladangan dan perkilangan di Malaysia.

Kerajaan Malaysia pula sedang merancang satu pelan tindakan untuk menyediakan latihan separa-mahir serta permit kerja sementara kepada 56, 000 pelarian Rohingya di negara itu, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu laporan dipetik Bernama pada Khamis lepas.

"Perincian ini sedang dilakukan dan akan saya umumkan dalam masa terdekat," katanya seperti dilaporkan.

Kurang beban

Sementara itu, Faisal Islam Muhammad Kassim, Presiden Persatuan Rohingya Malaysia (RSM) memberitahu BeritaBenar dalam satu wawancara baru-baru ini bahawa kira-kira 35 ribu lagi warga Rohingya dipercayai berada di Malaysia.

Beliau berkata, gesaan SUHAKAM adalah wajar kerana warga Rohingya di Malaysia amat memerlukan hak tersebut bagi membolehkan mereka mengurangkan beban sekaligus membantu dalam kehidupan mereka di negara itu.

“Kebanyakan orang Rohingya amat mengharapkan kedua-dua perkara dapat dilaksanakan segera oleh kerajaan Malaysia,” katanya semasa dihubungi BeritaBenar pada Khamis.

Suruhanjaya itu, kata Razali, juga merasakan kerajaan Malaysia hanya menggunakan sebahagian peruntukan Konvensyen Pelarian 1951 dalam krisis Rohingya di Malaysia.

Malaysia bagaimanapun bukan penandatangan konvensyen tersebut.

Myanmar dilihat sebagai punca kepada masalah pelarian itu kerana negara berkenaan tidak mengiktiraf umat Islam Rohingya, yang kebanyakannya dari negeri barat Rakhine, sebagai warganegaranya.

Beberapa siri keganasan antara penganut Buddha dan umat Islam tempatan telah terjadi sejak beberapa tahun lalu dengan ramai minoriti beragama Islam Rohingya dibunuh dan menyebabkan kebanyakan kaum tersebut mengambil keputusan untuk melarikan diri daripada negara itu, kerana tidak sanggup tinggal di Myanmar, kata kumpulan hak asasi manusia.

Dalam kejadiaan keganasan terbaru, hampir 90 orang terbunuh dalam keganasan di Rakhine, dan seramai 65,000 warga Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh, demikian menurut perangkaan PBB. Di Bangladesh, pelarian baru telah menyertai sekurang-kurangnya 300,000 kaum Rohingya lain yang telah cuba mendapatkan  perlindungan bagi tahun-tahun sebelumnya di tenggara daerah Cox Bazar.

Bangladesh enggan memberi status pelarian kepada Rohingya kerana menganggap mereka sebagai warga Myanmar. Myanmar pula, menganggap mereka yang kembali ke negara itu sebagai pendatang haram dari Bangladesh, dan menafikan hak untuk mendapat perkhidmatan asas sebagai rakyat tempatan sejak beberapa dekad lalu.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Khamis lalu menjemput negara anggota pertubuhan itu untuk berkongsi kos yang ditanggung oleh Bangladesh, Malaysia dan negara-negara lain yang memberi perlindungan kepada Rohingya "mengikut prinsip beban perkongsian serta tanggungjawab bersama, dan atas semangat perpaduan sesama Islam."


Lihat Laman Penuh