Permohonan Daftar Dua Parti Politik Baharu Ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan

Pengasas kedua-dua parti politik baharu itu melahirkan rasa kesal dengan keputusan tersebut, yang ditunggu selama empat bulan.
Nisha David & Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-01-07
Share
Permohonan Daftar Dua Parti Politik Baharu Ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad semasa bercakap pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, 7 Januari 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Dua parti politik yang baharu ditubuhkan, pada Khamis berkata permohonan mendaftar parti-parti mereka ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), dengan bekas perdana menteri Mahathir Mohamad yang merupakan pengasas salah sebuah parti mendakwa kerajaan telah campur tangan dalam proses tersebut.

Penolakan RoS sekaligus membuatkan kedua-dua parti berkenaan, parti Pejuang Tanah Air (Perjuang) yang diasaskan oleh Mahathir, dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan bekas menteri kabinet Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak dapat bertanding dalam pilihan raya umum akan datang sebagai sebuah parti politik berdaftar.

Mahathir yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diasaskannya bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendakwa keputusan kerajaan menolak pendaftaran parti Perjuang yang diterima oleh Setiausaha Agungnya melalui sepucuk surat pada Rabu mempunyai kaitan dan pengaruh politik.

“Kita dapat maklumat daripada RoS bahawa permohonan Pejuang untuk didaftarkan sudah ditolak,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Penolakan RoS itu menurut Perjuang adalah dengan alasan tidak teratur mengikut Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 dan ditolak berdasarkan Seksyen 7(3)(e) akta sama.

Mahathir, bekas perdana menteri berusia 94 tahun juga mendakwa yang sebelum ini Perjuang telah dimaklumkan secara lisan oleh RoS mengenai status pendaftaran mereka, dengan semuanya berada dalam keadaan baik, tetapi permohonan tersebut perlu dirujuk kepada menteri yang bertanggungjawab terlebih dahulu

“Mengikut undang-undang, RoS berhak untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak sebarang permohonan pendaftaran sesebuah pertubuhan, namun dalam kes Pejuang perlu dibawa kepada menteri pula.

“Ini bermakna proses pendaftaran sudah menjadi perkara politik, melebihi peruntukan dan peraturan undang-undang. Kenapa rujuk menteri? Ini tidak diwajibkan mengikut undang-undang," persoal Mahathir.

Dalam pada itu, peguam Perjuang Mior Nor Haidir Suhaimi semasa dihubungi BeritaBenar turut mengesahkan penolakan pendaftaran tersebut dengan berkata, “RoS menolak pendaftaran Pejuang menerusi satu surat yang dikeluarkan pada Rabu, dan hanya diserahkan kepada kami pada malam sebelum kes mahkamah pada Khamis,"

Sehubungan itu kata Mior, Perjuang menarik balik permohonan kehakiman pada hari pendengaran semakan di mahkamah seperti yang telah dijadualkan yang sepatutnya didengar di hadapan Hakim Mariana Yahya.

Beliau berkata, penarikan balik semakan kehakiman terhadap RoS dibuat selepas Perjuang menerima surat yang memaklumkan mengenai permohonan pendaftaran telah ditolak.

Pada 10 Disember, Pejuang telah membuat memohon semakan kehakiman meminta RoS membuat keputusan berhubung status pendaftaran parti itu, selepas empat bulan menghantar pemohonan tersebut.

Semakan itu dibuat bagi memohon perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meluluskan atau sebaliknya pendaftaran parti berkenaan secara rasmi sebagai parti politik menurut Akta Pertubuhan 1966.

Selain itu juga bertujuan mendapatkan deklarasi mahkamah terhadap kegagalan ketua pengarah dan RoS untuk menjawab permohonan atau komunikasi bertulis dengan mempunyai niat mala fide untuk melengah-lengahkan pendaftaran parti Pejuang.

Mahathir pada sidang media yang sama juga memberitahu Perjuang akan mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berhubung penolakan pendaftaran oleh RoS pada Jumaat.

Sementara itu, Syed Saddiq dalam muat naik status di laman media sosial Facebook rasminya memberitahu bahawa permohonan perdaftaran MUDA telah ditolak RoS melalui satu emel yang dihantar dan diterima beliau kira-kira pukul 6 petang.

“Semalam (Rabu) dalam pukul 6 petang, saya menerima emel dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang memaklumkan bahawa permohonan MUDA sebagai sebuah parti politik yang sah telah DITOLAK,” tulis Syed Saddiq.

Buruknya kebebasan berpersatuan

Parti MUDA turut mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut dan berkata “dalam emel yang dihantar kepada MUDA semalam, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia menyatakan bahawa permohonan telah ditolak, tiada sebab diberi. Penolakan ini berlaku selepas hampir 4 bulan menghantar permohonan.”

Sementara itu, Penolong Profesor Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tunku Mohar Mokhtar berkata, penolakan pendaftaran kedua-dua parti politik baharu itu memperlihatkan bertapa buruknya kebebasan untuk berpersatuan, seperti jaminan yang diberikan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Ia nampak buruk dari segi kebebasan berpersatuan yang diberi jaminan menurut Perlembagaan Persekutuan dan penolakan ini juga berkemungkinan adalah antara bentuk pembalasan terhadap pemimpin yang tidak menyokong pembentukan kerajaan sekarang.

"Tiada sebarang penjelasan diberikan untuk penolakan permohonan dua parti itu, namun agak selamat untuk menyatakan penolakan ini berunsurkan politik meskipun kekuatan kedua-dua parti itu belum dapat ditentukan," katanya kepada BeritaBenar.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh