Rosmah Mansor Mengaku Tidak Bersalah Terhadap Tuduhan Terbaru Rasuah

Hadi Azmi, Lex Radz & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-11-15
Share
181115-MY-Corruption1000.jpg Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri, Najib Razak bersama barisan peguamnya ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 15 November 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Isteri bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah, berjumlah 189 juta ringgit (AS$45 juta), dalam mempengaruhi kelulusan projek hybrid solar untuk sekolah-sekolah di kawasan pendalaman Sarawak bernilai 1.25 bilion ringgit (AS$ 300 juta).

Rosmah Mansor dituduh menerima 187.5 juta ringgit (AS$ 44.76 juta) daripada sebuah syarikat bagi projek penyelenggaraan dan operasi penjana diesel bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak, antara Mac dan April 2016.

Beliau dituduh menerima 1.5 juta ringgit (AS $358,000) pada 7 Sept, 2017 dari syarikat yang sama untuk projek yang sama.

Isteri bekas perdana menteri itu dituduh melakukan kesalahan tersebut bersama bekas pegawai khas suaminya Najib Razak, Rizal Mansor.

Sekiranya didapati bersalah, Rosmah boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah habuan bagi setiap pertuduhan.

Rosmah yang berdepan dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram sebelum ini, ditemani suaminya Najib Razak, yang turut menghadiri 38 pertuduhan kes rasuah, hadir di mahkamah petang Khamis

Hakim Azman Ahmad menetapkan jaminan 1 juta ringgit dengan dua penjamin dan membenarkan jumlah itu dibayar secara berperingkat dengan separuh pada Khamis, sementara selebihnya akan diselesaikan pada 22 Nov.

"Berdasarkan rayuan pertahanan, mahkamah membenarkan jaminan itu dibayar secara berperingkat. RM500,000 hari ini (Khamis) manakala selebihnya akan dibayar dalam tempoh tujuh hari, " kata Hakim berkenaan, sambil menetapkan 10 Dis depan sebagai untuk sebutan kes.

Di mahkamah yang berasingan, Rizal, bekas pembantu Rosmah dan tidak mempunyai kaitan saudara, menghadapi empat pertuduhan rasuah bagi kes yang sama melibatkan projek tenaga solar hibrid itu.

Selain meminta rasuah sebanyak 189 juta ringgit bagi pihak Rosmah, beliau turut dituduh menerima sebanyak 25.5 juta ringgit untuk dirinya sendiri daripada syarikat yang sama.

Beliau juga berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah yang diterima jika sabit kesalahan.

Pendakwa raya Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Bahrin Omar memberitahu mahkamah bahawa pasukan pendakwa raya akan memfailkan usul untuk kedua-duanya dibicarakan bersama.

Hakim Rozina kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak 1 juta ringgit bagi Rizal dan turut memberitahu peguam bela supaya menasihati anakguamnya supaya mengganggu saksi.

Rizal turut diarahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa dan mana-mana pasport diplomatik.

Pertuduhan untuk rosakkan Najib dan Rosmah

Bekas pegawai khas kepada Najib Razak, Isham Jalil mengkritik kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan [PH] yang didakwa cuba memusnahkan pasangan Najib dan Rosmah dengan mengenakan wang jaminan berjuta ringgit.

"Kedua-dua mereka telah membayar 13.6 juta ringgit sebagai wang jaminan terhadap kesemua pertuduhan yang dikenakan kepada pasangan suami isteri berkenaan," kata Isham, yang berpendapat bahawa mahkamah harus mengeluarkan jumlah jaminan wang kecil.

Dalam satu lagi kes, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendengar pendakwaan terhadap mantan menteri wilayah persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor kerana menerima rasuah berjumlah 3 juta ringgit berkaitan dengan tawaran tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur [DBKL].

Tengku Adnan dituduh menerima 1 juta ringgit dan 2 juta ringgit daripada dua ahli perniagaan kerana meningkatkan nisbah plot tanah dalam dua projek pembangunan di bawah kapasiti beliau ketika itu sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Tengku Adnan bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan Hakim Azman Ahmad kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak 1 juta ringgit dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan semua pasportnya.

Hakim itu juga menetapkan 12 Disember sebagai sebutan kes berkenaan.

Tengku Adnan ditahan pada Rabu di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Juga didakwa ialah hartawan hartanah Tan Eng Boon yang mempunyai kaitan dengan tawaran tanah itu yang juga merupakan pemberi rasuah.

Hartawan itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan 700,000 ringgit dan diarahkan oleh mahkamah untuk melaporkan kepada SPRM setiap bulan.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh