Perbicaraan Rasuah: Isteri Bekas PM Malaysia Guna Pengaruh, kata Pendakwaan

Hadi Azmi
2020.02.05
Kuala Lumpur, Malaysia
200205-MY-Rosmah-corruption900.jpg Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak meninggalkan komplek Mahkamah Kuala Lumpur selepas menghadiri perbicaraan pertamanya, 5 Feb, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri, Najib Razak, bermula pada Rabu dengan pasukan pendakwaan mengatakan wanita itu mempunyai pengaruh besar dalam kerajaan suaminya, sementara peguamnya cuba menangkis dengan berkata ada cubaan untuk “pembunuhan watak’.

Bekas wanita pertama yang sememangnya terkenal dengan memiliki citarasa mewah terhadap pakaian, kasut, beg tangan dan perhiasan semasa Najib masih berkuasa, masuk ke ruang mahkamah berjalan dengan sendirinya, walaupun peguamnya pada Isnin telah memberitahu mahkamah keadaan kesihatan wanita itu yang ‘mengancam nyawa’ sehingga memaksa perbicaraan ditangguh dua hari.

"Tertuduh adalah isteri bekas Perdana Menteri. Bagi dirinya sendiri, beliau tidak mempunyai jawatan rasmi. Walaubagaimanapun, dia mempunyai pengaruh yang besar kerana sifatnya yang suka menguasai orang lain," kata Gopal Sri Ram semasa membaca pernyataan pembukaan pendakwaannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

Gopal mempotratkan Rosmah sebagai seorang yang sombong dan meletakkan dirinya di kedudukan di mana beliau dapat mempengaruhi keputusan dalam sektor awam walaupun tidak mempunyai kedudukan rasmi.

Sebaliknya peguam bela Jagjit Singh menangkis kenyataan itu dan menuduh pasukan pendakwaan sengaja mengeluarkan pernyataan sensasi sehingga "berbau publisiti."

"Ini adalah kenyataan bahawa mereka sendiri memilih untuk memfitnah tertuduh dan memberi kenyataan kepada media," kata Jagjit. "Ini adalah pembunuhan watak."

Perbicaraan Rosmah - yang pertama baginya – dijadualkan bermula pada Isnin tetapi ditangguhkan selepas peguamnya memberitahu mahkamah beliau mendapat cuti sakit dan dimasukkan ke hospital selepas mengalami sakit di bahagian leher dan lutut serta kekurangan fungsi buah pinggang yang boleh membawa kepada ‘krisis Addisonian’ dan boleh mengancam nyawa sesiapa yang menghidapinya.

Najib kehilangan kuasa apabila gabungan parti yang memerintah dan berkuasa sejak 60 tahun lalu telah mengalami kekalahan teruk semasa pilihan raya umum pada Mei 2018.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Malaysia sebelum itu mendedahkan mengenai skandal rasuah berjuta-juta dolar melibatkan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mana Najib pernah berkhidmat sebagai pengerusi lembaga pengarahnya.

Rosmah, 68, dan Najib, 66, berada di tengah-tengah perbicaraan meluas kes rasuah melibatkan 1MDB selepas Perdana Menteri Mahathir Mohamad kembali berkuasa pada Mei 2018.

Mahathir melarang pasangan itu daripada meninggalkan negara dan pihak berkuasa merampas harta mereka yang berjumlah kira-kira AS$273 juta dalam bentuk wang tunai, perhiasan dan beg tangan mewah yang dikatakan oleh para pengkritik ianya melambangkan gaya hidup pasangan itu.

Najib merupakan bekas perdana menteri pertama dalam sejarah negara yang berdepan perbicaraan atas pertuduhan jenayah selepas mengaku tidak bersalah terhadap 42 pertuduhan berhubung pemindahan wang sebanyak $4.5 bilion daripada IMDB yang ditubuhnya pada 2009.

Jika didapati bersalah, bekas perdana menteri itu boleh menghabiskan sisa hidupnya di dalam penjara.

Pihak pendakwaan memfailkan tiga pertuduhan rasuah terhadap Rosmah pada November 2018 kerana didakwa meminta RM187.5 juta (AS$45.58 juta) daripada seorang eksekutif Jepak Holidings pada 2016, sebagai imbuhan untuk memenangi “Project Bersepadu Sistem Solar Photo­voltaic (PV) Hibrid” bernilai RM1.25 billion (AS$303.8 juta) melalui Kementerian Pendidikan bagi 369 buah sekolah di Sarawak.

Menurut pertuduhan kes oleh pihak pendakwaan, Rosmah juga menerima suapan RM1.5 juta (AS$364,564) daripada pegawai syarikat yang sama pada 2017.

Rosmah dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta dengan tidak kurang dari lima kali suapan atau RM10,000 tertakluk mana lebih tinggi.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu pada tahun lepas.

Pihak pendakwaan juga memfailkan lima pertuduhan berkaitan penipuan cukai dan 12 pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya pada Oktober 2018.

Rosmah tiba di mahkamah dengan memakai baju kurung berbunga-bunga, berselendang warna hijau cerah dan merah berjalan dari keretanya ke tingkat lima bangunan komplek mahkamah. Sebuah ambulan dilihat mengekori kereta Proton Perdana berwarna hitam yang dinaikinya.

Media tempatan memetiknya sebagai berkata, "Adakah saya mempunyai pilihan?" Apabila beliau ditanya oleh media keadaan diri dan kesihatannya.

Suaminya, yang juga menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi, berada bersama dan duduk di sebelahnya semasa perbicaraan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.