Saman: Rosmah Mansor dituntut pulangkan AS$346 juta milik 1MDB
2024.05.10
Kuala Lumpur
Syarikat dana pelaburan yang terpalit skandal kewangan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan sejumlah entiti lain yang berkaitan pada Khamis, memfailkan tindakan undang-undang terbaru terhadap isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor serta seorang pereka fesyen warga Singapura bagi mendapatkan semula wang berjumlah AS$346 juta (RM1.63 bilion) yang dikatakan milik firma tersebut.
Menurut dokumen mahkamah yang difailkan pada 9 Mei dan telah dilihat BenarNews, 1MDB mendakwa isteri Najib Razak itu telah menggunakan dana syarikat berkenaan untuk membeli barangan mewah seperti barang kemas, jam tangan dan beg tangan melalui warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani @ Nastasha Mirpuri.
"Sebanyak 320 bayaran sedemikian berjumlah AS$346,010,489 telah dibuat," kata syarikat-syarikat berkenaan dalam saman yang difailkan melalui firma guaman Lim Chee Wee.
Dalam saman itu, sebanyak 11 syarikat diketuai 1MDB menyatakan bahawa mereka mempunyai hak ke atas dana tersebut berdasarkan keadilan dan kepercayaan serta mendakwa kedua-dua defendan (Rosmah dan Nastasha) dengan sengaja menerima atau membantu dalam menggunakan dana itu secara salah.
Kesemua dana berkenaan kemudiannya dikatakan telah dihantar melalui pelbagai syarikat antarabangsa sebelum digunakan bagi membeli barangan mewah daripada 48 penjual di 14 negara berlainan.
Selain 1MDB, entiti lain yang terbabit dalam tindakan itu ialah anak syarikatnya termasuk 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited.
Enam syarikat lain adalah bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan syarikat antarabangsa Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited serta Brightstone Jewellery Limited.
Kesemua syarikat antarabangsa tersebut kini sedang dalam proses pembubaran atau hampir ditutup.
Selain itu, syarikat terbabit meminta supaya kes berkenaan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Atan Mustaffa Yussof yang kini sedang menghakimi satu lagi kes sivil berkaitan 1MDB terhadap Najib.
Ganti rugi
Berkenaan Nastasha pula, syarikat-syarikat tersebut memohon supaya Mahkamah Tinggi mengarahkan wanita itu membayar satu jumlah yang ditetapkan mahkamah atas alasan bantuan tidak jujur.
Mereka juga memohon supaya mahkamah mengarahkan Rosmah dan Nastasha membayar ganti rugi, mendedahkan keuntungan yang telah diperoleh dan ditetapkan dengan penalti tambahan yang bersesuaian.
Ini termasuk faedah serta jumlah untuk menanggung semua kos perundangan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam notis dikeluarkan pada Jumaat menetapkan pengurusan kes membabitkan Rosmah dan Natasha secara dalam talian (e-Review) adalah pada 24 Mei depan.
Menurut laporan media tempatan, beberapa syarikat tersebut mempunyai kaitan dengan individu bernama Eric Tan yang dikatakan sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan Jho Low.
Peguam yang mewakili Rosmah, Rajivan Nambiar ketika dihubungi BenarNews mengesahkan bahawa mereka hanya menerima satu salinan surat saman itu dan enggan mengulas lanjut.
"Oleh kerana setakat ini kami hanya telah diberikan satu salinan writ tersebut [tanpa pernyataan tuntutan] oleh peguam para plaintif, maka kami menggesa supaya semua pihak tidak membuat spekulasi berkenaan perkara ini dan tidak membuat atau menerbitkan sebarang komen terhadap perkara sama.
"Kami akan mengeluarkan kenyataan media mengenai kedudukan anak guam kami apabila tiba masa sesuai, selepas menerima pernyataan tuntutan para plaintif," kata beliau kepada BenarNews.
Saman berkenaan merupakan tindakan sivil yang kedua dibuat terhadap Rosmah berkaitan dengan pembelian barang kemas.
Pada April tahun lepas, syarikat permata dari Lebanon, Global Royalty Trading SAL menuntut Rosmah memulangkan 44 barangan kemas bernilai AS$14.57 juta (RM68.9 juta) yang dikatakan telah dihantar kepada beliau pada Februari 2018.
Bekas wanita pertama itu sebelum ini mendakwa bahawa barangan yang dituntut syarikat itu telah dirampas pihak polis dan tidak lagi berada di dalam simpanannya.
Pada November 2022, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan kerajaan untuk mengambil alih sejumlah barangan mewah yang dianggarkan bernilai AS$17.4 juta (RM82.3 juta) yang dirampas daripada kondominium Rosmah termasuk beg tangan, barangan kemas, jam tangan serta wang tunai dalam pelbagai mata wang.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati tiada bukti mencukupi untuk mengaitkan barangan mewah berkenaan dengan aktiviti jenayah. Pihak pendakwaan tidak membuat sebarang rayuan.
Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda RM970 juta (AS$205 juta) ke atas Rosmah, 73, setelah beliau didapati bersalah atas tiga dakwaan jenayah berkaitan projek membekalkan sistem solar hibrid kepada 369 buah sekolah luar bandar di negeri Sarawak.
Tiga pertuduhan yang dihadapi Rosmah ialah kesalahan meminta rasuah RM187.5 juta (AS$39.6 juta) dan dua lagi menerima suapan RM6.5 juta (AS$1.37 juta) berkaitan dengan usaha Jepak Holdings bagi memenangi kontrak bernilai RM1.25 bilion (AS$264.2 juta) itu.
Rosmah telah memfailkan rayuan terhadap keputusan bersalah dan hukuman terhadapnya.