Rosmah Mansor bebas 17 tuduhan ubah wang haram, elak cukai RM7.1 juta
2024.12.18
Kuala Lumpur
![Rosmah Mansor bebas 17 tuduhan ubah wang haram, elak cukai RM7.1 juta Rosmah Mansor bebas 17 tuduhan ubah wang haram, elak cukai RM7.1 juta](https://www.benarnews.org/malay/berita/my-rosmah-lepas-12182024225858.html/@@images/5906dee1-ad0c-4ba0-b8bb-279ac664357f.jpeg)
Mahkamah Malaysia pada Khamis membatalkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai terhadap Rosmah Mansor, isteri kepada bekas Perdana Menteri yang dipenjarakan, Najib Razak, dengan alasan pendakwaan tidak mempunyai bukti yang mencukupi.
Namun, keputusan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pakar yang mendapati terdapat trend kes-kes mahkamah berprofil tinggi digugurkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Muniandy Kannyappa menyatakan pertuduhan tersebut tidak jelas dan spesifik, hingga menjadikannya cacat.
“Untuk diringkaskan, pertuduhan bagi kesalahan pengubahan wang haram tidak mendedahkan sebarang kesalahan sedemikian… tertuduh perlu tahu dengan tepat dan secara khusus kes yang perlu dihadapinya dan bukan dibiarkan meneka undang-undang mana yang telah dilanggarnya,” kata hakim dalam keputusannya.
Pada Oktober 2018, Rosmah, 73, yang terkenal dengan koleksi beg tangan dan barang kemas mewahnya telah ditahan atas dakwaan pengubahan wang haram.
Beliau berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM7.1 juta (AS$1.7 juta) ke dalam akaun bank peribadinya antara 2013 hingga 2017, serta lima pertuduhan kerana gagal membayar cukai ke atas wang tersebut.
Rosmah yang hadir di mahkamah dengan sut seluar dan selendang merah kelihatan sebak apabila mahkamah mengumumkan keputusan melepas dan membebaskanya daripada pertuduhan tersebut.
Bercakap di luar mahkamah, dia mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam dan penyokong-penyokongnya.
“Inilah yang saya panggil keadilan dan inilah keadilan yang sepatutnya dimiliki semua orang. Jangan bermain-main dengan keadilan,” katanya.
Katanya lagi berita gembira itu akan turut dikongsi bersama Najib.
“Sudah tentu akan akan beritahu [Najib]. Ini bukan sahaja hadiah untuk harijadi saya tetapi hadiah buat Bossku (Najib),” kata Rosmah yang menyambut hari jadinya ke-73 minggu lalu ketika ditanya pemberita adakah Najib akan dimaklumkan mengenai keputusan itu.
Peguamnya Amer Hamzah Arshad menegaskan bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya itu mempunyai kecacatan sejak awal lagi.
“Kami, sejak hari pertama, setelah mengkaji pertuduhan itu, menyatakan bahawa ia tidak membentuk sebarang asas bagi tuduhan pengubahan wang haram,” katanya.
“Hakim telah menyemak semua hujah undang-undang dengan teliti dan mendapati tiada elemen aktiviti pengubahan wang haram dalam pertuduhan itu.”
Pihak pendakwaan yang diketuai Ahmad Akram Gharib, memberitahu BenarNews dalam satu kenyataan ringkas bahawa mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut pada Jumaat.
'Kemenangan jarang berlaku'
Keputusan tersebut merupakan petanda kemenangan undang-undang yang jarang berlaku bagi Rosmah, yang selama ini dikaitkan dengan tuduhan rasuah dan hidup mewah.
Bagaimanapun, beliau dalam proses rayuan terhadap sabitan pada 2022 atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.25 juta (AS$277,597) sebagai balasan membantu sebuah syarikat memperoleh kontrak kerajaan.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan didenda RM970 juta (AS$216 juta) dalam kes tersebut.
Selain itu, Rosmah turut berdepan saman daripada syarikat dana pelaburan bermasalah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak-anak syarikatnya yang mendakwa beliau menggunakan wang yang diseleweng untuk membeli barang-barang mewah bernilai AS$346 juta.
Sementara itu, suaminya, Najib yang sedang menjalani hukuman penjara kurang daripada enam tahun terpaksa membela diri terhadap 25 pertuduhan jenayah berasingan yang berkaitan dengan skandal 1MDB.
Beliau juga sedang merayu di mahkamah berkaitan permohonannya untuk mengesahkan kewujudan titah tambahan daripada Yang di-Pertuan Agong terdahulu bagi menjalani baki hukuman di bawah perintah tahanan rumah.
Penyiasat dari Amerika Syarikat mendakwa hampir AS$4.5 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB, dengan sebahagian wang itu digunakan untuk membeli hartanah, karya seni dan barang kemas.
Satu lagi pembebasan
Pembatalan pertuduhan terhadap Rosmah berlaku hanya seminggu selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadap pembebasan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berkaitan sistem visa luar negara.
Presiden UMNO itu merupakan tokoh penting dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar. Kes yang beliau hadapi itu telah mencetuskan tuduhan terdapat campur tangan politik dalam proses kehakiman.
Bagi Anwar, beliau berulang kali menafikan sebarang penglibatan dalam keputusan mahkamah atau campur tangan dalam sistem kehakiman.
Namun Ahmad Mohsein Azman, seorang penganalisis politik dari firma perundingan BowerGroupAsia berkata keputusan terhadap Zahid baru-baru ini boleh memberi kesan negatif terhadap pentadbiran Anwar.
“Isu pertuduhan yang cacat dilihat sebagai satu tema yang berulang, sama ada secara kebetulan atau tidak, apabila melibatkan kes-kes berprofil tinggi,” katanya kepada BenarNews.
“Perdana Menteri Anwar bukan sahaja kehilangan sokongan malah kredibiliti berikutan beberapa keputusan baru-baru ini yang memihak kepada individu yang pernah beliau kritik dan labelkan sebagai korup.”
James Chin, seorang saintis politik di Universiti Tasmania, Australia menyatakan bahawa persepsi awam kini mula berubah, dengan ramai yang percaya bahawa keluarga Najib sedang dipulihkan secara politik, merujuk kepada usaha untuk memperbaiki reputasi mereka.
“Ramai orang berpendapat pemulihan terhadap keluarga Najib sedang berjalan lancar,” kata Chin kepada BenarNews.
“Seperti yang kita tahu, semua ini berlaku selepas Perhimpunan Agung UMNO lalu, di mana salah satu resolusi utama yang diluluskan adalah untuk Najib menjalani tahanan di rumah. Sekali lagi, ini adalah sebahagian daripada proses pemulihan dan Zahid juga lebih giat menggesa agar Najib dibebaskan.”