Mahkamah: Rosmah Mansor Gagal Hadir Hari Pertama Perbicaraan Kes Rasuah

Hadi Azmi & Noah Lee
2020.02.03
Kuala Lumpur, Malaysia
200203-MY-Rosmah-corruption1000.jpg Isteri bekas Perdana Menteri Rosmah Mansor meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, selepas didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan baharu menerima rasuah RM5 juta, 10 April 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak tidak hadir ke mahkamah pada hari pertama perbicaraan kesnya yang dituduh meminta RM187.5 juta dan menerima suapan RM1.5 juta bagi satu projek hibrid solar di Sarawak bernilai RM1.25 billion (AS$303.8 juta) atas alasan masalah kesihatan yang boleh “mengancam nyawa”.

Peguambela bekas wanita pertama itu, Jagjit Singh pada Isnin menyerahkan satu laporan doktor kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Zaini Mazlan yang antara lain tertulis yang tertuduh menghidapi sakit di bahagian leher dan lutut serta kekurangan fungsi buah pinggang yang boleh membawa kepada ‘krisis Addisonian’ dan boleh mengancam nyawa sesiapa yang menghidapinya.

Surat doktor itu yang dikeluarkan oleh sebuah hospital swasta di timur ibunegara Kuala Lumpur turut menyarankan Rosmah dibenarkan berehat selama satu ke dua minggu bermula Isnin.

“Berdasarkan carian di Google, komplikasi yang dihadapi anak guam saya disifatkan sebagai mampu mengancam nyawa,” kata Jagjit yang kemudian menyerahkan sekeping lagi kertas bercetak dengan tangkap layar carian ‘krisis Addisonian’ dari laman web Google tersebut.

Mempersoalkan bukti daripada ‘Doktor Google’ yang dibawa peguam itu, Hakim Zaini berkata tarikh yang telah ditetapkan untuk perbicaraan kes ini adalah ‘sangat bernilai’ bagi beliau dan enggan untuk membatalkannya.

“Tarikh-tarikh ini sangat bernilai bagi saya. Jika saya tahu hal ini akan terjadi saya boleh menetapkan untuk mendengar kes lain pada hari ini, namun…Saya amat bersimpati dengan anak guam tuan, tetapi saya juga terikat dan tidak boleh menangguhkannya lagi,” kata Hakim Zaini kepada Jagjit.

Sambil berkata bahawa beliau percaya kepada ketelusan peguam pembelaan dan mengambil kira keadaan tertuduh, Hakim Zaini mengeluarkan arahan membenarkan Rosmah berehat di rumah sehingga Selasa sebelum perbicaraan disambung pada pagi Rabu.

“Memandangkan beliau [Rosmah] akan duduk di bangku kayu di dalam kandang tertuduh, saya membenarkan tertuduh duduk di atas kerusi roda dan apabila tertuduh berasa penat, saya akan membenarkan mahkamah berehat,” tambah hakim itu lagi.

Tarik balik jaminan

Jagjit memohon maaf dan bersetuju dengan pertimbangan yang diambil oleh Hakim tersebut.

Sebelum itu pihak pendakwaan yang diketuai pendakwa khas Gopal Sri Ram mencadangkan kepada mahkamah untuk menarik balik ikat jamin terhadap Rosmah dan menuduh pihak pembelaan sebagai sengaja menimbulkan hal ini sebagai satu usaha saat akhir untuk menangguhkan perbicaraan.

Dalam sistem perundangan Malaysia, tertuduh kes jenayah perlu hadir bagi setiap hari perbicaraan dan kelonggaran hanya diberikan bagi kes-kes sivil.

“Kami berpendapat ini cuma satu ragam. Masalah sebenar yang dihadapi tertuduh ialah beliau terlebih ‘dos publisiti dan terlalu kaya’,” kata Sri Ram yang turut berjenaka dengan berkata bahawa beliau juga ada menghidapi kesemua penyakit yang disebut dalam laporan kesihatan Rosmah itu.

“Saya juga ada (penyakit itu),” kata beliau sambil memegang tongkat yang digunakannya untuk berjalan.

Jagjit membidas semula tohmahan ketua pasukan pendakwaan itu dengan berkata mustahil bagi mana-mana manusia untuk tahu bila mereka akan sakit.

“Mana mungkin ada orang boleh berkata ‘minggu depan saya akan sakit’. Penyakit ini sudah lama ada dan ada ketikanya ia menjadi serius,” kata Jagjit lagi.

Rosmah mengaku tidak bersalah pada 15 November 2018, keatas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta (AS$45.58 juta) dan menerima RM1.5 juta (AS$364,564) daripada syarikat Jepak Holdings sebagai imbuhan untuk memenangi “Project Bersepadu Sistem Solar Photo­voltaic (PV) Hibrid” bernilai RM1.25 billion (AS$303.8 juta) melalui Kementerian Pendidikan bagi 369 buah sekolah di Sarawak.

Rosmah dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta dengan tidak kurang dari lima kali suapan atau RM10,000 tertakluk mana lebih tinggi.

Pada 10 April 2019, Rosmah dituduh sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima suapan RM5 juta dari Pengarah Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin melalui Rizal Masor, pembantu peribadi Rosmah, untuk membantu syarikat tersebut mendapatkan projek yang sama.

Rizal, walau bagaimanapun dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan tersebut pada 8 Jan lalu dan dipercayai akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan dan akan berdepan bekas majikannya itu.

Pertuduhan buat Rosmah ini adalah antara 20 pertuduhan yang beliau hadapi sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018 lalu.

Najib yang menjadi Perdana Menteri sejak Mac 2009 telah hilang kuasa, selepas Barisan Nasional, gabungan parti-parti yang memerintah Malaysia sejak negara itu merdeka, 60 tahun lepas, tewas dalam pilihan raya berkenaan.

Antara pertuduhan lain yang dihadapi Rosmah adalah lima pertuduhan atas kegagalan mengisytiharkan pendapatan kepada penguatkuasa cukai negara dan 12 pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram.

Rosmah akan dibicarakan di kompleks kehakiman yang sama di mana suami beliau, Najib Razak yang sekarang ini sedang dalam perbicaraan kes berkaitan SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (IMDB) turut berlangsung.

Kes SRC adalah antara 40 pertuduhan yang dihadapi oleh Najib yang semuanya ada kaitan dengan skandal kewangan 1MDB. Selain dari Najib dan Rosmah, Riza Aziz, anak kepada Rosmah turut berhadapan dengan pertuduhan jenayah melibat pengubahan wang haram.

Riza merupakan pemilik bersama Red Granite, syarikat yang menerbitkan filem The Wolf of Wall Street menggunakan dana yang dikatakan berasal dari duit yang diseleweng dari 1MDB.

Pada Mac 2018, Red Granite telah mencapai kata persetujuan dengan Kerajaan AS untuk membayar RM234 juta (AS$60 juta) bagi menyelesaikan kes terhadap syarikat itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.