Kes rasuah: Isteri Najib Razak dihukum penjara 10 tahun, denda RM970 juta
2022.09.01
Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 2.30 petang waktu tempatan ETS - 2022-09-01
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas bekas Wanita Pertama Malaysia Rosmah Mansor selepas mendapati beliau bersalah menerima rasuah ketika pemerintahan suaminya Najib Razak, yang dimasukkan ke penjara minggu lepas kerana kesalahan menyeleweng dana negara.
Rosmah, 70, yang terkenal sebagai seorang yang mengamalkan gaya hidup mewah dan penggemar beg tangan mahal jenama Hermes Birkin, turut dikenakan hukuman denda berjumlah RM970 juta (AS$216 juta) atas kesalahan meminta dan menerima rasuah sebagai balasan kerana membantu sebuah syarikat mendapatkan kontrak kerajaan. Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap wanita tersebut ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan ketika membacakan alasan penghakiman setebal 116 muka surat berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes mereka terhadap Rosmah.
"Saya mendapati bahawa tertuduh telah gagal untuk menyanggah tanggapan bahawa dirinya tidak menerima sejumlah wang tersebut. Saya mendapati bahawa wang berjumlah RM187.5 juta (AS$41.8 juta) itu telah diterima secara korup, pertuduhan kedua kerana menerima wang RM1.5 juta (AS$334,700) dan pertuduhan ketiga kerana menerima RM5 juta (AS$1.1 juta) telah diterima sebagai rasuah sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings Sdn Bhd untuk mendapatkan kontrak kerajaan melalui cara rundingan terus," kata hakim itu.
Tiga pertuduhan yang dihadapi Rosmah, iaitu satu kerana kesalahan meminta rasuah dan dua lagi menerima suapan, adalah berkaitan dengan usaha Jepak Holdings bagi memenangi kontrak bernilai RM1.25 bilion (AS$279 juta) untuk membekalkan sistem solar hibrid kepada 369 sekolah luar bandar di negeri Sarawak.
Hakim itu kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Rosmah bagi setiap kesalahan, yang akan berjalan serentak serta mengenakan hukuman denda. Beliau turut memberi amaran bahawa Rosmah berdepan hukuman penjara lebih lama sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Rosmah mohon mahkamah berlembut
"Ia boleh berlaku kepada saya sekarang, dan ia juga boleh berlaku kepada kamu semua pada masa depan. Anak kamu, cucu kamu. Saya adalah mangsa pada hari ini," kata Rosmah di mahkamah.
"Kamu telah memangsakan suami saya dan kini kami sengsara. Saya kini memikul tanggungjawab sebagai ibu dan juga bapa dalam keluarga. Lihatlah saya sebagai seorang wanita, dan tunjukkanlah belas kasihan," kata beliau.
Sewaktu merayu kepada hakim, Rosmah juga memberitahu mahkamah mengenai usahanya sebelum ini dalam membantu kanak-kanak di Malaysia.
"Saya pernah menjadi wanita pertama sebelum ini dan saya pernah memberikan sumbangan melalui program Permata serta penubuhan mahkamah khas untuk menangani kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak. Saya amat berminat dengan Permata kerana saya amat mengambil berat mengenai isu masalah sosial di dalam negara ini," katanya merujuk kepada satu program khas untuk pembelajaran awal kanak-kanak khusus bagi membantu mereka yang mempunyai masalah pelajaran atau autisme.
Minggu lepas, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Najib, yang merupakan Perdana Menteri keenam Malaysia, supaya menjalani hukuman penjara selepas menolak rayuan terakhir beliau dalam kes membabitkan sebuah anak syarikat dana pelaburan negara yang bermasalah iaitu 1Malaysia Development Berhad. Pendakwa Raya AS sebelum ini mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri daripada 1MDB dalam apa yang disifatkan sebagai "skandal kleptokrasi terburuk masa kini."
Seorang pengawal peribadi dan beberapa orang pembantu mengiringi bekas Wanita Pertama Malaysia Rosmah Mansor keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas wanita itu disabitkan bersalah atas pertuduhan rasuah, 1 September, 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]
Kerajaan baru lancar siasatan
Nasib pasangan itu berubah selepas gabungan pembangkang Pakatan Harapan berjaya menumbangkan parti pemerintah Barisan Nasional pimpinan Najib dalam Pilihan Raya Umum pada Mei 2018 dan seterusnya melancarkan siasatan ke atas skandal 1MDB selepas mengambil alih tampuk pentadbiran negara.
Najib, Rosmah, anak serta rakan mereka adalah antara yang turut disiasat atas dakwaan jenayah termasuk rasuah, pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan mengelak daripada membayar cukai.
Pada Jun 2018, polis telah menjalankan serbuan di beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib dan merampas ratusan beg tangan mewah, lebih 10,000 barang kemas dan wang tunai berjumlah RM117 juta dalam pelbagai matawang. Pihak berkuasa menganggarkan semua wang dan barangan yang dirampas bernilai antara RM900 juta dan RM1.1 bilion (antara AS$200 juta dan AS$245 juta).
Sewaktu di mahkamah pada Rabu, pasukan pembelaan Rosmah yang diketuai peguam Jagjit Singh memohon supaya tertuduh hanya dikenakan hukuman penjara sehari dan jumlah denda yang munasabah.
Apa yang beliau dapat sebaliknya adalah denda dengan jumlah yang besar oleh mahkamah Malaysia, kata Singh.
“Denda hampir RM1 bilion. Siapa yang mampu membayar jumlah sedemikian,” katanya kepada media yang berkumpul di lobi bangunan Mahkamah Kuala Lumpur.
Pihak pendakwaan yang diketuai Gopal Sri Ram pula meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda yang tinggi.
“Kami di sini bukan untuk mengatakan kami gembira atau tidak gembira dengan hukuman itu. Kami hanya menjalankan tugas kami,” katanya kepada media.
“Memberi hukuman tidak pernah mudah. Hakim berpendapat 10 tahun adalah adil,” katanya sambil menambah pasukannya tidak bercadang untuk merayu. "Tujuan perbicaraan ini adalah untuk menghantar mesej yang jelas kepada bakal pesalah dan menghentikan mereka daripada landasan salah.
Peguam Rosmah, sebaliknya, berkata mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Rosmah turut berdepan satu lagi perbicaraan membabitkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan mengelak daripada membayar cukai selepas didakwa menerima sejumlah RM7.1 juta (AS$1.6 juta) di antara tahun 2013 dan 2017.
‘Kemenangan untuk kedaulatan undang-undang’
Reaksi terhadap keputusan kes mahkamah Rosmah bercampur-campur.
Azmi Hassan, felo kanan Akademi Nusantara bagi Penyelidikan Strategik berkata, mahkamah telah menunjukkan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan di luar keraguan munasabah - yang membawa kepada hukuman penjara dan denda.
“Rosmah Mansor masih mempunyai dua peluang – Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan itu. Saya rasa kita perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini,” katanya kepada BenarNews.
Bridget Welsh, seorang penganalisis politik tempatan pula memuji keputusan mahkamah itu.
“Keputusan itu adalah satu lagi kemenangan terhadap kedaulatan undang-undang. Rosmah yang tidak dipilih [ahli parlimen], boleh dikatakan antara tokoh paling berpengaruh semasa pentadbiran Najib dan dilihat oleh banyak pihak telah menyalahgunakan kuasanya. Kini, seorang lelaki dan wanita berada di bawah undang-undang,” katanya di Twitter.
"Adalah kurang simpati di Malaysia dan UMNO untuknya [Rosmah], kerana ada yang menyalahkannya diatas kejatuhan Najib."
Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi bagaimanapun percaya ramai penyokong UMNO akan kecewa apabila Najib dan Rosmah kedua-duanya didapati bersalah.
"Sejujurnya, sabitan Rosmah dan Najib dalam budaya Melayu dianggap tidak wajar kerana mereka telah banyak menyumbang kepada negara dengan pelbagai transformasi," kata profesor madya di Universiti Malaya itu kepada BenarNews.
"Ini akan mempengaruhi begitu ramai pengundi UMNO yang konservatif."
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.