Mahkamah Malaysia Perintah Isteri Bekas Perdana Menteri Bela Diri Kes Rasuah AS$309 Juta

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan setiap kesalahan dan elemen dalam kes rasuah projek solar itu.
Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-02-18
Share
Mahkamah Malaysia Perintah Isteri Bekas Perdana Menteri Bela Diri Kes Rasuah AS$309 Juta Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta untuk mendengar keputusan hakim dalam kes rasuah beliau, di Kuala Lumpur, 18.Feb, 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Malaysia pada Khamis mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes mereka terhadap isteri bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan memerintahkan beliau untuk membela diri atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi tujuan meluluskan projek solar bernilai jutaan ringgit melibatkan ratusan sekolah luar bandar di Sarawak.

Perbicaraan kes Rosmah Mansor akan terus berjalan walaupun Najib yang dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan rasuah sedang dalam perbicaraan bagi kes kedua melibatkan kecurian wang berbilion ringgit dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan berkata pihak pendakwaan telah berjaya mengemukakan bukti kukuh terhadap Rosmah, 69, dan berjaya membuktikan setiap elemen dalam kesalahan tersebut dan jika tidak disangkal atau tidak dijelaskan boleh disabitkan kesalahan.

“Saya telah melakukan penilaian maksimum terhadap kes pendakwaan. Saya mendapati pihak pendakwaraya telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Dengan ini, saya memanggil tertuduh untuk membela diri,” kata Hakim Mohamed Zaini.

Mohamed Zaini menyampai keputusannya dalam masa lima minit selepas memberitahu semua bahawa beliau tidak akan memberikan kesimpulan dari dapatannya bagi peringkat pendakwaan.

Pihak pendakwaan menamatkan kes mereka pada 12 Disember tahun lalu selepas memanggil 23 orang saksi sepanjang perbicaraan yang bermula pada 5 Februari tahun yang sama.

Rosmah sebelum ini telah didakwa meminta dan menerima rasuah untuk mempengaruhi kelulusan projek solar bernilai RM1.25 bilion (AS$309 juta).

Pihak pendakwaan mendakwa Rosmah telah meminta RM187.5 juta (AS$46.4 juta) dari Jepak Holdings, syarikat yang memohon kontrak dari jabatan pendidikan untuk projek tenaga solar dan juga untuk menjaga dan menguruskan penjana diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak di antara Mac dan April 2016.

Rosmah turut didakwa menerima RM1.5 juta (AS$371,000) pada 7 Sept. 2017 dari Jepak Holdings berkaitan projek tersebut dan RM5 juta (AS$1.2 juta) dari Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor. Rizal dan Rosmah tidak mempunyai pertalian darah.

Ketiga-tiga pertuduhan adalah di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 (AS$2,474) mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Bekas ‘Wanita Pertama Malaysia’ itu yang memakai selendang dan baju kurung berbunga cerah kelihatan gelisah di dalam kamar mahkamah.

Rosmah turut bersuara lantang ketika meminta jurubahasa mahkamah untuk membuka pelitup separuh muka ketika memintanya untuk menyatakan bentuk pembelaan ketika membela diri dengan alasan ianya tidak dapat didengari dengan jelas.

Setelah berbincang dengan peguamnya Jagjit Singh, Rosmah memberitahu hakim bahawa beliau memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari dalam kandang saksi.

“Peguam saya menasihatkan saya untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi. Saya minta maaf yang berhormat hakim, saya tidak biasa dalam soal ini. Saya tidak tahu dan memerlukan nasihat,” kata Rosmah.

Undang-undang Malaysia memberikan Rosmah tiga bentuk pilihan dalam membela diri iaitu- memberikan keterangan bersumpah yang membolehkan beliau untuk disoal oleh pihak pendakwaan, memberikan keterangan tidak bersumpah yang tidak boleh disoal oleh mana-mana pihak atau berdiam diri sahaja ketika membela diri.

Selepas berhenti rehat, mahkamah bersambung semula dan menetapkan sembilan hari untuk prosiding pembelaan bermula 9 Jun depan.

Walaupun datang secara berasingan, Rosmah tetap ditemani suaminya Najib ketika keputusan hakim dibacakan. Najib kelihatan memeluk Rosmah dan memujuknya sebelum meninggalkan bilik mahkamah untuk menghadiri kes perbicaraan 1MDB beliau sendiri di mahkamah bersebelahan.

Kecewa dengan jawapan hakim

Peguam bela Jagjit Singh berkata mereka kecewa dan kesal dengan dapatan hakim dan tindakan tidak mahu mendedahkan kesimpulan hasil dapatan kepada mahkamah.

“Untuk menyatakan bahawa kami kecewa merupakan satu kenyataan yang remeh. Hakim meminta kami untuk membela diri tetapi tidak memberikan sebab kenapa beliau membuat penilaian maksimum.

“Pihak pembelaan sekarang terpaksa membuat spekulasi kenapa beliau memutuskan penilaian maksimum, ini yang kita khuatir, tetapi kita tetap akan lakukan yang terbaik,” kata Jagjit kepada pemberita di luar mahkamah.

Jagjit turut memberitahu pemberita bahawa Rosmah agak beremosi dan tertekan selepas mendengar keputusan hakim itu.

“Kami terpaksa memujuk dan meminta beliau untuk balik ke rumah untuk hilangkan tekanan dan berehat,” kata Jagjit.

Rosmah turut berhadapan dengan 12 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan mengelak dari cukai melibatkan jumlah RM7 juta (AS$1.73 juta) yang berkait dengan 1MDB dalam pendakwaan yang difailkan pada 4 Oktober 2018.

Kes itu difailkan di bawah Seksyen 4(1) Akta Anti Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Aktiviti Haram 2001 yang boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 4(1) undang-undang yang sama memperuntukkan penjara maksimum sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda wang kesalahan aktiviti haram atau RM5 juta (AS$1.2 juta) atau yang mana lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan untuk mengelak dari pembayaran cukai pula di buat di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memerlukan beliau untuk memberikan maklumat berkenaan pendapatan beliau pada tahun taksiran cukai 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April, 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa sebarang sebab munasabah bertentangan dengan Seksyen 112 undang-undang yang sama.

Tarikh perbicaraan bagi kesemua 17 pertuduhan tersebut masih belum ditetapkan oleh hakim yang mahu perbicaraan kes solar berjalan terlebih dahulu.

Rosmah merupakan isteri Najib dari perkahwinan kedua. Beliau merupakan figura yang sangat dikenali sepanjang tempoh suaminya memegang tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri Malaysia dari 2009 sehingga pada Pilihan Raya Umum Ke-13 pada Mei 2018 di mana gabungan parti pemerintah sebelum itu Barisan Nasional yang dipimpin Najib tumbang.

Keputusan rakyat memilih parti gabungan Pakatan Harapan itu dipercayai berpunca daripada skandal kewangan 1MDB.

Najib menubuhkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009 kononnya untuk memacu pembangunan ekonomi, tetapi dana itu akhirnya mengumpulkan hutang berjumlah berbilion dolar.

Pada 2016, Jabatan Kehakiman A.S. menuduh "Pegawai Malaysia 1" – yang kemudian dikenal pasti sebagai Najib - serta rakan sekutunya menggelapkan dan mengubah wang berjumlah lebih AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) yang berkaitan 1MDB antara 2009 dan 2014.

Ketika Najib memerintah, Rosmah digambarkan sebagai seorang yang mampu mempengaruhi dan mengawal Najib untuk kepentingan diri sendiri.

Dalam ucapaan pembukaan kes 1MDB, Ketua Pendakwaraya Gopal Sri Ram berkata Rosmah mempunyai kuasa pengaruh yang kuat dalam kerajaan yang dipimpin suaminya walaupun tanpa memegang apa-apa jawatan rasmi dalam kerajaan.

“Beliau tidak memegang apa-apa jawatan rasmi. Walaubagaimanapun, beliau mempunyai kuasa mempengaruhi,” kata Gopal Sri Ram.

Rosmah seringkali dikatakan mempunyai persamaan dengan Imelda Marcos, isteri kepada bekas pemimpin diktator Filipina Ferdinand Marcos yang terkenal dengan koleksi kasut mewah.

Siri serbuan polis yang dilakukan di beberapa buah kediaman mewah yang dikaitkan dengan Najib dan Rosmah menemukan lebih 500 buah beg tangan yang kebanyakannya jenama mewah Perancis Hermés, 12,000 unit barang kemas dan wang tunai bernilai lebih dari AS$273 juta yang menurut kritik menunjukkan gaya hidup pasangan itu yang mewah.

Selain dari suaminya, anak Rosmah dari perkahwinan terdahulu, Riza Aziz, 44 pernah didakwa di mahkamah dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan AS$248.7 juta (RM1 bilion) wang 1MDB sebelum dilepas dan dibebaskan pada Mei tahun lalu apabila membuat perjanjian dengan pihak pendakwaan untuk mendapatkan semula AS$100 juta yang dicuri dari 1MDB.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh