Malaysia melonjak ke tangga 73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023
2023.05.03
Kuala Lumpur
Tahap kebebasan media Malaysia telah melonjak ke tangga 73 dalam laporan dikeluarkan oleh Reporters Without Borders, naik 40 tingkat berbanding tahun lalu iaitu 113 dengan badan pemantau media antarabangsa tersebut berkata perkembangan positif itu disebabkan oleh pertukaran kerajaan di negara berkenaan.
Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 itu, yang dikeluarkan pada Rabu, menunjukkan bahawa beberapa negara lain termasuk Australia dan Sri Lanka turut menunjukkan peningkatan dari segi kebebasan media susulan perubahan dalam pemerintahan negara mereka.
Sementara itu, para penganalisis politik dan media tempatan berkata selain keterbukaan yang diamalkan oleh kerajaan baharu terhadap media, pendigitalan maklumat di Malaysia turut memainkan peranan penting dalam memperbaiki suasana kebebasan media di negara berkenaan.
"Di Asia, perubahan kerajaan telah turut memperbaiki persekitaran bagi media dan menjadi satu faktor dalam peningkatan tahap negara Australia dan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2023, di mana Australia telah naik 12 anak tangga kepada 27 manakala Malaysia naik ke 73, iaitu peningkatan sebanyak 40 anak tangga.
"Pertukaran parti atau gabungan yang memerintah kerajaan menjelaskan mengapa negara-negara seperti Sri Lanka, Malaysia dan Australia telah meningkat dalam indeks ini," kata RSF dalam satu kenyataan media mengumumkan penerbitan laporan indeks tersebut.
Menurut laman web RSF, Malaysia mencatatkan skor 62.83 tahun lepas berbanding 51.55 pada tahun sebelumnya, sekaligus menunjukkan peningkatan dalam semua lima indikator digunakan RSF, iaitu indikator politik, ekonomi, perundangan, sosial serta keselamatan.
Pengumuman tersebut disambut baik oleh kerajaan Malaysia, dengan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menjanjikan komitmen kerajaan untuk terus menjamin kebebasan media dan mewujudkan suasana yang lebih baik untuk wartawan di negara itu.
Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media pada Rabu, beliau berkata kerajaan akan turut meneliti beberapa rang undang-undang baharu termasuk mengenai penubuhan Majlis Media.
"Peningkatan 40 anak tangga ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan positif pada negara dan kerajaan. Yang penting adalah komitmen, laporan RSF ini adalah peningkatan terbaik dalam kebelakangan ini. Dan saya tegaskan komitmen untuk jamin kebebasan media dan suasana yang baik untuk wartawan," kata Fahmi.
Menurut menteri tersebut, pihak kerajaan juga sedang rancak mengadakan perbincangan dengan media bagi mengenalpasti isu-isu penting industri tersebut termasuk soal ekonomi dan etika kewartawanan.
Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia turut memuji pendekatan kerajaan baharu yang lebih terbuka kepada media sebagai faktor penambahbaikan tahap negara itu dalam Indeks Kebebasan Media Dunia.
Presidennya Farah Marshita Abdul Patah berkata bagaimanapun masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan dilakukan kerajaan bagi memperbaiki hubungan dengan agensi berita.
"Hakikatnya, memang sejak kebelakangan ini, kerajaan dilihat bersifat lebih terbuka dengan pengamal media. Kalau suatu masa dahulu, peluang untuk membuat liputan lebih banyak diberikan kepada media rasmi, namun kini, kepelbagaian itu sudah mula ada.
"Kalau dulu, bermacam label diberikan kepada petugas media, antaranya 'lidah kerajaan', 'portal pembangkang' dan layanan yang diterima juga berbeza, sehingga ada yang merasa terpinggir.
Namun sekarang penerimaan oleh pelbagai pihak mulai berbeza dan tidak lagi terlalu dianak tirikan," kata beliau kepada BenarNews.
Dari segi penambahbaikan, Farah berkata beberapa aspek yang boleh dilihat kerajaan adalah mengenai akses media kepada maklumat, kerenah birokrasi serta cara kerajaan mengendalikan isu membabitkan laporan media.
"Sebagai contoh, dalam hal membuat teguran kepada syarikat media. Perkara itu boleh dilakukan secara berhemah. Jangan terlalu cepat menghukum dan menyatakan bahawa pihak media yang bersalah dalam sesuatu perkara," tambahnya.
Sebuah lagi kumpulan mewakili wartawan, Gerakan Media Merdeka dalam satu kenyataan berkata kenaikan tahap Malaysia itu menunjukkan terdapatnya peningkatan dalam perlindungan kebebasan media di negara itu, namun kejayaan "kecil" tersebut tidak bermakna pengamal media harus berpuas hati.
"Peranan Kerajaan Perpaduan ini juga lebih penting untuk mengembalikan kebebasan media yang lebih besar, pada masa masih terdapat isu-isu seperti undang-undang kawalan media yang terus diperdebatkan. Kita memerlukan komitmen yang lebih kukuh daripada kerajaan dan pihak berkuasa untuk memastikan kebebasan media yang lebih besar dan berkesan," kata kenyataan itu.
Ia juga menggesa supaya penubuhan Majlis Media Malaysia harus bersifat bebas daripada pengaruh politik atau komersial, serta mempunyai kredibiliti tinggi.
Keterbukaan kerajaan
Sementara itu Muhammad Izmer Yusof, pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis berkata kerajaan sekarang lebih terbuka kerana media sudah lagi tidak boleh dikawal sepenuhnya.
Apa yang dirisaukan sekarang menurut Muhammad Izmer bagaimana media digunakan untuk menyalurkan maklumat kepada orang awam.
“Adakah keterbukaan ini berlaku bagi saya ya. Cuma sama ada platform itu digunakan untuk menyampaikan media yang betul atau berita palsu, itu persoalan lain. Sebab itu ada yang kata hendak wujudkan akta berita palsu. Kadang-kadang dalam politik, dalam media sesuatu yang diperkatakan secara kerap, akan dianggap sebagai kebenaran, itu bahaya juga.
“Dari segi keterbukaan, jelas kerajaan terbuka dan tidak boleh kawal media. Mungkin boleh kawal TV3 atau beberapa stesen dan akhbar tapi untuk kawal semuanya, ia adalah mustahil,” katanya merujuk kepada stesen televisyen swasta Malaysia.
Keterbukaan yang diamalkan oleh kerajaan sekarang amat dialu-alukan supaya dapat memberikan ruang kepada media untuk memantau perkembangan negara.
“Bagi saya bagus keterbukaan media ni menyebabkan semua orang berwaspada hendak buat apa pun ada lensa memerhatikan,” kata Muhammad Izmer.
Menurutnya lagi, platform menyampaikan maklumat juga dilihat tidak lagi terhad kerana media sosial turut digunakan untuk menyampaikan maklumat.
“Jadi tidak hairanlah World Press Freedom Index ada kenaikan 40 anak tangga, banyak faktor dalam perubahan kerajaan , teknologi, minda pengundi sekarang tidak macam dahulu, kalau dahulu pengundi “totok” sekarang boleh berubah. Media pun sudah tidak seperti dahulu lagi,”