Malaysia Siasat Kes Godam Siber Libatkan Agensi Pentadbiran Kerajaan

Ali Nufael
2018.10.05
Kuala Lumpur, Malaysia
181005-MY-Rusia1000.jpg Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Mej. Jen. Igor Konashenkov (Kiri) bersama Ketua Jabatan Utama Roket dan Artileri Rusia, Lt. Jen. Nikolai Parshin pada satu taklimat media mengenai kemalangan pesawat Penerbangan Malaysia Boeing 777- MH17 di Moscow, 17 September 2018.
AFP

Pihak Putrajaya sedang menyiasat dakwaan agensi berita BBC yang melaporkan tentang penggodaman siber oleh kerajaan Rusia yang menyasarkan Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah ketika ditanya mengenai penggodaman siber itu hanya  berkata melalui akaun Twitternya secara ringkas, “Kami sedang menyiasat.”

BeritaBenar turut cuba mendapatkan reaksi daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo tetapi menteri tersebut juga tidak membalas pertanyaan yang diajukan.

Dalam pada itu, pegawai kanan Bukit Aman yang dihubungi enggan mendedahkan butiran lanjut tentang laporan mengenai serangan siber itu.

Sumber Bukit Aman memberitahu BeritaBenar bahawa perkara tersebut sedang disiasat secara rapi dan mempunyai tahap rahsia yang tinggi.

"Setakat ini, tiada apa yang boleh didedahkan. Insiden yang dilaporkan oleh BBC ini adalah satu bentuk serangan siber yang serius yang melibatkan agensi keselamatan negara," sumber itu memberitahu.

BBC dalam laporannya berkata, motif serangan siber keatas badan kerajaan Malaysia berikutan siasatan pihak Putrajaya serta beberapa kerajaan luar lain terhadap Rusia berkaitan dengan insiden menembak jatuh pesawat milik Penerbangan Malaysia MH17 pada 2014.

Aktiviti penggodaman tersebut bocor setelah empat suspek berjaya ditahan di Belanda dan pegawai penyiasat berjaya menemui bukti yang menunjukkan Malaysia antara negara yang diserang secara siber.

Walaubagaimanapun, BBC tidak menjelaskan secara terperinci mengenai penangkapan tersebut mahupun tentang bentuk serangan siber yang dilancarkan. Ia juga tidak menjelaskan jika serangan itu berjaya atau sebaliknya.

Mei lalu, Agensi Keselamatan Siber Negara (NCSA) mendedahkan bahawa terdapat peningkatan ketara cubaan serangan siber yang menyasarkan pelbagai organisasi di Malaysia.

Menurut agensi tersebut serangan itu termasuk pencerobohan dan cubaan untuk menceroboh, serangan penafian perkhidmatan teredar (DDos) dan tindakan mahu merosakkan laman web serta jangkitan virus Malware.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web NCSA, serangan siber itu boleh menyebabkan kebocoran maklumat, kehilangan maklumat, gangguan perkhidmatan dan usaha melemahkan integriti maklumat.

Walaubagaimanapun, badan pencegah serangan siber itu tidak mendedahkan jika serangan itu dilakukan dari luar negara.

"Berdasarkan pemantauan sejak beberapa hari lalu, pihak kami mengesan peningkatan ketara serangan siber terhadap organisasi di sektor swasta dan kerajaan Malaysia. Serangan itu dalam bentuk merosakkan laman web, emel 'phishing' dan DDoS.

Sehubungan itu, orang ramai dan organisasi berkaitan diminta mengambil langkah perlu bagi mengelak menjadi mangsa serangan siber ini," kata NCSA di laman webnya.

NCSA, bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarangan kenyataan media berikutan laporan berita daripada BBC itu.

Tolak dakwaan

Rusia menolak dakwaan yang mengatakan bahawa kerajaan Kremlin terlibat dalam serang siber di beberapa tempat di seluruh negara, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas berita serangan siber berkenaan tersebar.

Rusia berkali-kali berkata bahawa negaranya tidak terlibat dalam serangan peluru berpandu keatas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di zon konflik kawasan Donetsk, Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika ia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Seramai 298 penumpang dan anak kapal termasuk 200 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, dan 13 warga Indonesia terbunuh.

Pada Mei lepas, siasatan jenayah antarabangsa yang dipimpin oleh Belanda buat pertama kali memberi kesimpulannya secara rasmi bahawa unit tentera Rusia telah melancarkan peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat MH17 di mana kesemua penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan terbunuh.

Pasukan Penyiasat Bersama (JIT), yang terdiri daripada pihak berkuasa dari Australia, Belgium, Malaysia, Belanda, dan Ukraine, membuat pengumuman berhubung penembakan pesawat Boeing 777 oleh sebuah unit tentera Rusia, pada satu sidang akhbar di Bunnik, Belanda.

Pasukan JIT membuat kesimpulan bahawa “Briged ke-53 Peluru Berpandu Anti-Pesawat Buk-TELAR yang berpangkalan di Kursk Rusia telah menembak jatuh MH17, " kata seorang penyiasat terkenal Belanda Wilbert Paulissen kepada wartawan. "Briged ke-53 adalah sebahagian daripada angkatan bersenjata Rusia.".

Laporan terkini BBC itu, turut menyatakan bahawa negara lain seperti Amerika Syarikat, Canada dan Belanda juga telah menjadi mangsa serangan siber Moscow.

Pihak penyiasat tragedi MH17, percaya Rusia terlibat selepas kesemua empat suspek yang dikaitkan dalam kejadian menembak jatuh MH1, memiliki pasport diplomatik yang tidak membenarkan pihak keselamatan Belanda untuk menahan mereka.

Menurut Moscow, negara barat lain sentiasa bersikap prejudis terhadap Rusia.

"Tidak jelas mengapa dunia harus percaya tuduhan yang dilemparkan terhadap Rusia. Rakyat kami dituduh cuba melakukan keganasan siber dan cuba mendapatkan data penting yang melibatkan pesawat MH17," kata Moscow dalam satu kenyataan selepas berita tersebut tersebar.

"Rakyat Rusia yang membawa peralatan elektronik akan terus dituduh sebagai agen pengintip,” Rusia telah menegaskan bahawa ia tidak membiayai pejuang anti kerajaan Ukraine .

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.