Putrajaya Tarik Balik Dua Rang Undang-Undang IPCMC, Had Jawatan PM

Ray Sherman & Noah Lee
2020.08.26
Kuala Lumpur, Malaysia
200826-MY-Takiyuddin.jpg Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan pada majlis penyampaian surat perlantikan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di Putrajaya, 9 Ogos, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pentadbiran Putrajaya pada Rabu menarik balik dua Rang Undang-Undang (RUU) yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, iaitu RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menyiasat salah laku dan aduan terhadap polis dan RUU Perlembagaan (Pindaan) Had Terma Perdana Menteri, yang meletakkan had tempoh maksima bagi seorang perdana menteri memegang jawatan.

Penarikan balik RUU Had Terma Perdana Menteri adalah sesuatu yang dibuat secara mengejut, sementara RUU IPCMC ditarik balik bagi digantikan dengan RUU baru yang dikenali sebagai Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan Perikatan Nasional pada Mac lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan memaklumkan mengenai penarikan balik dua RUU tersebut semasa sidang Parlimen pada Rabu, sebelum Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said memohon kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mengemukakan pembentangan RUU IPCC sebagai ganti kepada IPCMC.

"Saya bangun untuk mohon mencadangkan bahawa menurut peraturan mesyuarat nombor 62, saya mohon menarik balik DR42/2019 Rang Undang-Undang Perlembagaan pindaan nombor 2 2019 [had umur jawatan perdana menteri], dan juga DR25/2019 Rang Undang-Undang IPCMC 2019 seperti yang tertera di nombor 6 dan nombor 7 dalam aturan mesyuarat hari ini," kata Takiyuddin, yang memegang portfolio sebagai menteri undang-undang.

Beliau bagaimanapun tidak memberi sebab kenapa kerajaan mengambil keputusan tersebut semasa di Parlimen itu.

Ismail kemudiannya bangun dan mengemukakan permohonan untuk RUU IPCC: "Tuan Yang di-Pertua, saya memohon mengemukakan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020."

RUU IPCMC yang dicadangkan sebagai ganti untuk Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dibentangkan buat pertama kalinya di Dewan Rakyat pada Julai tahun lepas.

Parti-parti pembangkang ketika itu, Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menyatakan bahawa mereka tidak akan menyokong RUU tersebut.

Rancangan untuk bacaan RUU IPCMC pada sesi parlimen Oktober dan Disember lepas telah ditangguhkan sebanyak dua kali, dan dijadualkan semula pada bulan Mac bagi memberi ruang untuk penambahbaikan kepada RUU tersebut.

Bagaimanapun, tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan berubah tangan pada hujung Februari susulan pergolakan politik dengan sidang Dewan Rakyat pada Mac juga ditangguhkan kerana penularan pandemic COVID-19.  

Setelah pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional, pemerintahan baru di bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa mereka akan menukarkan RUU IPCMC kepada IPCC.

Pada 10 Ogos lepas, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata bahawa RUU IPCC adalah penambahbaikan daripada IPCMC.

"Minggu depan kita akan bentangkan IPCC yang baru untuk mendapatkan kelulusan daripada Parlimen untuk tubuhkan suruhanjaya yang baru. InsyAllah ada penambahbaikan yang akan diadakan supaya kita boleh ambil tindakan yang tegas terhadap anggota polis yang menyalahgunakan kuasa," kata Hamzah, seperti dipetik portal berita tempatan baru-baru ini.

Antara perbezaan ketara di antara IPCC dan IPCMC adalah RUU pengganti itu menyaksikan suruhanjaya bebas diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri, berbanding IPCMC yang diletakkan di bawah Menteri Undang-undang. Kementerian Dalam Negeri juga adalah kementerian yang sama menyelia pasukan polis serta beberapa agensi penguatkuasaan lain.

Tiada kuasa displin

Selain itu, RUU IPCC juga menyaksikan suruhanjaya itu hanya mempunyai kuasa menyiasat sebelum menyerahkan hasil siasatan dan cadangan tindakan kepada Suruhanjaya Polis dan ianya berbeza dengan cadangan untuk IPCMC yang mempunyai kuasa mengenakan hukuman melalui lembaga disiplin di bawahnya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong ketika dihubungi BeritaBenar menyatakan bahawa ketiadaan kuasa disiplin pada suruhanjaya bebas yang menyiasat polis seperti dicadangkan dalam IPCC menjadikan badan berkenaan 'kehilangan taring'.

"Perubahan paling besar yang dibuat dalam RUU IPCC ini adalah berkenaan pendengaran lembaga disiplin, di mana selepas IPCC selesai menjalankan siasatan, mereka akan merujuk perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Polis untuk dicadangkan tindakan disiplin. Dalam satu sudut, ia mencairkan kuasa suruhanjaya ini," kata beliau.

Liew percaya RUU IPCC ini adalah satu kompromi yang dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional untuk pasukan polis, kerana kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini tidak bercadang untuk mengurangkan peruntukan kuasa disiplin suruhanjaya berkenaan.

Majlis Peguam Malaysia juga turut menyuarakan kegusaran mereka terhadap penghilangan kuasa suruhanjaya di bawah RUU yang baru itu.

Presidennya, Salim Bashir dalam satu kenyataan pada Rabu berkata pandangan Majlis Peguam tidak diminta dalam RUU IPCC dan mengharapkan bahawa ia mengikut rapat versi asal RUU IPCMC.

"Satu lagi aspek yang menjadi kekhuatiran kami adalah di bawah Seksyen 30 IPCC, Suruhanjaya di bawah IPCC mungkin kehilangan kuasa jika dibandingkan dengan versi asal dalam Seksyen 31 RUU IPCMC, yang memakaikan Suruhanjaya dengan kuasa disiplin.

"Kami telah bekerja tanpa mengira penat lelah bersama-sama pelbagai pemegang taruh sebelum ini, dan oleh itu kami berharap supaya kegusaran semua pihak akan diambil kira di dalam RUU IPCMC.

"Majlis Peguam Malaysia berharap kami akan dirujuk, dan kami bersedia untuk membantu memberikan sebarang input yang diperlukan bagi memastikan RUU IPCC yang komprehensif dan efektif," kata Salim.

Had tempoh jawatan PM

Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri itu diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan semasa di bawah kepimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang menyatakan bahawa langkah berkenaan akan menyaksikan tempoh kuasa Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri-negeri turut dihadkan.

Menurut Mahathir, hasrat mengehadkan tempoh kuasa itu adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan.

RUU had kuasa perdana menteri itu mencadangkan supaya seseorang perdana menteri itu dihadkan untuk memegang jawatan tersebut kepada hanya dua penggal atau 10 tahun, dan pertama kali dibentangkan di parlimen pada 3 Disember lalu oleh Menteri Undang-Undang ketika itu, Liew Vui Keong.

Ia dijadualkan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat pada sesi parlimen pada Mac lepas, tetapi sesi berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana pandemik COVID-19 dan sepatutnya dibawa kepada sesi yang kini sedang berlangsung sejak 13 Julai lepas.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.