Malaysia Rekod Jumlah Kumulatif Jangkitan COVID-19 Lebih 10,000 Kes

Noah Lee
2020.09.16
Kuala Lumpur, Malaysia
200916-MY-SabahC19.jpg Orang awam secara sukarela melakukan ujian saringan COVID-19 yang disediakan oleh kerajaan di Klinik Kesihatan Taman Medan di Petaling Jaya, Selangor, 29 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Rabu mencatatkan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 melebihi 10,000 dengan majoriti jangkitan baharu yang dikesan adalah daripada kluster banduan penjara dan tahanan lokap polis di Sabah yang setakat ini merekodkan 472 kes, sehingga Perdana Menterinya memberi amaran berkemungkinan mengembalikan perintah kawalan pergerakan jika penularan terus merebak.

Muhyiddin Yassin semasa sesi perutusan khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di semua plakform media pada malam Isnin memberi amaran bahawa Malaysia terpaksa  melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang merupai larangan berkurung di dalam rumah jika jumlah jangkitan terus naik.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 62 kes baharu positif COVID-19 telah dicatatkan pada Rabu dengan 61 daripadanya adalah daripada jangkitan tempatan manakala satu kes yang dilapurkan adalah kes import.

"Pada 16 September 2020…, terdapat 62 kes baharu yang telah dilaporkan yang sekaligus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,031 kes.

"Rekod menunjukkan 61 kes adalah penularan dari dalam negara, 41 kes melibatkan rakyat tempatan dan 20 kes pula adalah mereka yang terdiri daripada bukan warganegara… 59 kes dilaporkan di Sabah termasuk 48 daripada adalah daripada Kluster Benteng Lahad Datu, manakala empat lagi adalah daripada saringan petugas kesihatan di Hospital Lahad Datu," kata Noor Hisham.

Beliau juga memberitahu sehingga Rabu, sebanyak 472 kes positif telah dikesan melalui Kluster Benteng Lahad Datu dengan 141 kes direkodkan di Lahad Datu manakala 331 lagi di Tawau, dan daripada jumlah keseluruhan itu, 429 melibatkan banduan penjara dan tahanan lokap manakala 20 dikesan dijangkiti di kalangan kakitangan dan ahli keluarga.

Kluster Benteng Lahad Datu adalah merujuk kepada kumpulan jangkitan yang membabitkan lokap Ibupejabat Polis Lahad Datu dan Penjara Tawau dengan penularan kluster itu mula dikesan pada awal September, apabila siasatan pihak berkuasa kesihatan mendapati jangkitan pandemik tersebut berpunca daripada dua pendatang asing yang ditahan pihak berkuasa dalam operasi kawalan sempadan, Ops Benteng.

Kemunculan kluster itu juga berlaku dikala negeri berkenaan sedang membuat persediaan bagi menghadapi pilihanraya negeri Sabah yang dijadualkan pada 26 September ini.

Susulan peningkatan kes dari kluster tersebut, kerajaan pada 10 September lepas telah membuat keputusan untuk mengenakan langkah PKP Diperketatkan secara pentadbiran di Penjara Tawau bermula 11 September hingga 25 September ini yang melibatkan kuarters kediaman kakitangan penjara, dengan segala aktiviti keluar masuk di fasiliti berkenaan adalah dilarang.

Ekonomi terjejas

Pada Selasa, Muhyiddin dalam ucapan secara langsung itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah kes yang berterusan terutama di Sabah.

"Walaupun negara kita setakat ini telah berjaya menangani penularan wabak COVID-19 dengan baik, saya berasa agak bimbang kerana terdapat peningkatan jumlah kes positif COVID-19 yang agak ketara sejak kebelakangan ini. Sepanjang tempoh 14 hari yang lalu, sebanyak 615 kes baharu telah dicatatkan," kata beliau dalam perutusan khas itu.

Sambil Perdana Menteri itu mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak menjadi leka dalam mematuhi semua peraturan dan tatacara yang ditetapkan KKM bagi membendung wabak, beliau juga sempat memberikan amaran bahawa Putrajaya tidak teragak-agak untuk mengenakan PKP Diperketatkan di kawasan-kawasan yang merekodkan jumlah kes yang tinggi.

Selain itu, Muhyiddin juga memberikan peringatan bahawa negara akan terus berhadapan dengan  masalah ekonomi sekiranya PKP terpaksa dilaksanakan semula bagi menghalang penularan COVID-19.

"Saya ingin mengingatkan kita semua, akan kesan sekiranya kes COVID-19 meningkat dengan mendadak dan PKP terpaksa dilaksanakan semula. Akibatnya tentulah amat buruk kepada kehidupan kita dan ekonomi negara," kata Muhyiddin.

Kerajaan Malaysia pertama kali menguatkuasakan PKP pada 18 Mac lalu, dan menyaksikan hampir kesemua aktiviti termasuk sektor ekonomi terhenti serta merta, dengan hanya beberapa kategori servis yang diklasifikasikan sebagai perlu sahaja dibenarkan beroperasi sekaligus memberi impak teruk terhadap ekonomi negara.

Perintah berkenaan kemudiannya telah dilonggarkan secara beransur-ansur mulai bulan Mei selepas langkah-langkah yang diambil bagi membendung penularan wabak telah berjaya menurunkan jumlah kes harian.

Sementara itu, Muhyiddin turut memberikan peringatan kepada rakyat di negeri Sabah supaya sentiasa mengamalkan kehidupan berdisiplin ketika menghadapi pilihanraya.

Petugas-petugas pilihanraya juga diarahkan supaya memastikan semua aktiviti kempen dijalankan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara, manakala calon juga dinasihatkan supaya tidak bersalaman dengan orang ramai ketika berkempen.

"Saya fikir para pengundi pun faham kalau mereka yang turun berkempen tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman. Yang penting kita saling melindungi antara satu sama lain supaya tidak terkena jangkitan COVID-19."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.