Malaysia: Remaja Antara 12 Korban COVID-19, Kematian Harian Tertinggi

Noah Lee
2020.11.03
Kuala Lumpur, Malaysia
201103-MY-C19-Sabah620.jpg Anggota Tentera DiRaja Malaysia memasang kawat duri semasa perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar kawasan Plaza Hentian Kajang di Kajang, Selangor, 27 Oktober 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Selasa mencatatkan jumlah kes kematian harian tertinggi akibat jangkitan pandemik COVID-19 iaitu seramai 12 kes yang tersemuanya direkodkan di Sabah termasuk kematian seorang remaja berusia 14 tahun, yang sekaligus membawa kepada jumlah kumulatif fataliti seramai 263 orang, demikian kata Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM].

Selain itu, menurut pihak berkuasa kesihatan negara itu juga, jumlah kes harian jangkitan terus melonjak naik sehingga melepasi angka ribuan di mana sebanyak 1,054 kes telah dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pengarah KKM, Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah terus menjadi negeri yang menyumbang jumlah kes harian terbanyak iaitu 678 kes positif dengan kesemua 12 kes kematian akibat jangkitan pandemik COVID-19 yang dicatatkan oleh Malaysia adalah dari negeri berkenaan.

“Sebanyak 1,054 kes baharu [harian] telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 34,393 kes. Negeri Sabah mencatatkan jumlah kes sebanyak 678 kes daripada keseluruhan kes positif harian.

“Sebanyak 310 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster penjara dan Pusat Tahanan Sementara [di negeri itu], dengan Kluster Rumah Merah (pusat tahanan sementara) di Menggatal menjadi penyumbang [tertinggi] sebanyak 229 kes,

“Dua belas kematian dicatatkan di empat buat hospital di seluruh Sabah, termasuk seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, yang mempunyai latar belakang penyakit Tibi, Meningitis dan Hidrosefalus (penumpukan cairan di rongga otak) yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth,” kata Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya.

Bilangan kes baharu yang dilaporkan pada Selasa adalah kali ketiga jumlah kes positif harian di Malaysia mencecah empat angka dengan jumlah tertinggi yang pernah direkodkan adalah pada 26 Oktober lepas, iaitu sebanyak 1,240 kes, dan 1,228 kes pada 24 Oktober.

Jumlah kes kematian harian pada Selasa pula adalah yang tertinggi sejak Malaysia dilanda COVID-19 awal tahun ini, di mana jumlah kematian harian tertinggi yang pernah dilaporkan iaitu 10 kematian adalah pada 23 Oktober lepas.

Menurut statistik KKM, Sabah adalah negeri yang mempunyai jumlah kes kumulatif COVID-19 tertinggi di seluruh negara dengan 16,873 kes iaitu kira-kira 49 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan Malaysia.

Kesesakan penjara

Sementara itu, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), fasiliti penjara di seluruh negara yang diuruskan Jabatan Penjara Malaysia kini sedang mengalami kesesakan dengan jumlah banduan yang ditampung melebihi kapasiti sebanyak 43.88 peratus.

Untuk rekod, fasiliti penjara Malaysia adalah antara lokasi panas penularan COVID-19 di negara itu dengan beberapa kluster membabitkan banduan serta tahanan reman telah menyumbang kepada lebih ribuan angka kes positif pandemik tersebut.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yasin memberitahu sidang Dewan Rakyat pada Selasa bahawa terdapat 66,791 banduan di dalam 39 buah penjara di seluruh negara, yang hanya mempunyai kapasiti untuk menampung 46,420 tahanan pada satu-satu masa.

"Jumlah banduan yang terdapat di 39 institusi penjara adalah seramai 66,791 orang berbanding dengan kapasiti penjara yang hanya dapat menampung 46,420 orang iaitu lebihan sebanyak 43.88 peratus," kata beliau ketika menjawab pertanyaan oleh Ahli Parlimen Lumut, Mohd Hatta Ramli.

Soalan dikemukakan Hatta itu meminta Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin untuk memaklumkan parlimen mengenai langkah yang telah diambil bagi mengatasi masalah pandemik koronaviru di kalangan banduan dan kakitangan penjara.

Menurut Jonathan, KDN merekodkan seramai 1,156 banduan telah dijangkiti COVID-19 setakat 2 Nov, manakala kes dikalangan kakitangan dan ahli keluarga mereka pula adalah seramai 83 orang.

"Jabatan Penjara turut mempunyai Perintah Tetap Jabatan yang antaranya telah menetapkan semua banduan sebelum diterima masuk ke dalam penjara perlu mempunyai keputusan ujian saringan COVID-19. Perintah tetap ini selaras dengan keputusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara yang 15 Oktober, yang telah bersetuju agar dilaksanakan ujian COVID-19 kepada semua banduan semasa kemasukan untuk memastikan penularan di penjara dapat dicegah sepenuhnya," kata timbalan menteri itu.

Beliau berkata bahawa KDN dan Jabatan Penjara juga sedang dalam proses memuktamadkan rancangan untuk memindahkan banduan serta tahanan reman yang dalam kategori risiko keselamatan minima ke beberapa fasiliti yang dahulunya digunakan sebagai kem Pusat Latihan Khidmat Negara.

Pemindaan itu bertujuan mengurangkan risiko kebolehjangkitan di kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan.

Sebelum ini, MKN telah mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas lebih 10 fasiliti penjara dan pusat koreksional yang melihat penularan virus COVID-19 di kalangan banduan dan staf.

Pada petang Selasa, Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa MKN telah membuat keputusan untuk menamatkan PKPD ke atas enam buah penjara dan tiga pusat koreksional yang terletak di Perlis, Kedah, Perak, dan Selangor selepas mendapati bahawa kes positif di fasiliti-fasiliti berkenaan telah menunjukkan penurunan dan dalam keadaan terkawal.

"Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Zon Utara dan Zon Selangor ini pada 4 November 2020 sepertimana yang telah dijadualkan," kata Ismail dalam sidang media pada petang Selasa.

Bagaimanapun, perintah yang dikenakan ke atas Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang serta kuarters staf di situ dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 5 Nov. Langkah itu diambil kerana KKM melaporkan masih terdapat kes baru COVID-19 dikesan setakat 1 Nov lepas.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Zulkifli Omar berkata antara 1 Sept hingga 2 Nov, KKM bersama Jabatan Penjara telah melaksanakan 63,730 saringan ke atas banduan, kakitangan penjara serta ahli keluarga dari semua institusi penjara di seluruh negara.

"Berikutan strategi kuarantin dan ‘lockdown’ terhadap tahanan reman serta banduan sabitan, situasi penularan COVID-19 dalam kalangan institusi penjara adalah semakin terkawal dengan catatan peningkatan kes harian yang rendah. Sehingga 2 November 2020, sebanyak 3,721 kes sembuh direkodkan," kata Zulkifli.

Jabatan Penjara masih tidak membenarkan sebarang perjumpaan membabitkan banduan buat masa ini, tambah beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.