Follow us

Tuntutan Wang Tebusan Kes Culik Nelayan Dibuat dari Filipina: Penyiasat Malaysia

Zam Yusa
Kota Kinabalu, Malaysia
2018-09-25
E-mel
Komen
Share
Tiga nelayan Indonesia yang diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf selama 18 bulan, telah dilihat berada di Pulau Milano, selatan Filipina selepas mereka dibebaskan, 16 Sept 2018.
Tiga nelayan Indonesia yang diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf selama 18 bulan, telah dilihat berada di Pulau Milano, selatan Filipina selepas mereka dibebaskan, 16 Sept 2018.
(AFP)

Anggota keluarga dua nelayan Indonesia yang diculik di pantai timur Sabah, Malaysia awal bulan ini telah menerima panggilan telefon daripada seorang individu, dipercayai dari Filipina dan bertutur dalam Bahasa Melayu, menuntut wang tebusan hampir AS$1 juta, demikian kata seorang pegawai keselamatan Malaysia pada Selasa.

Pemanggil menuntut wang tebusan sebanyak AS$967,220 dibayar dalam Ringgit Malaysia (4 juta) namun tidak menetapkan tarikh akhir, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah.

Panggilan itu dibuat kepada isteri seorang daripada mangsa di Sulawesi, Indonesia, katanya.

"Pemanggil yang membuat tuntutan wang tebusan itu kepada isteri pembantu juragan, bercakap dalam Bahasa Melayu pada pukul 10.24 pagi, 18 Sept," kata Omar kepada BeritaBenar. "Terdapat kemungkinan besar bahawa pemanggil telah menghabiskan masa [menetap] di Sabah. Kami tidak menolak kemungkinan ini. "

Kedua-dua nelayan diculik pada 11 Sept lepas dari bot mereka yang berlabuh di perairan berhampiran Pulau Bodgaya, di luar pantai timur negeri Sabah, menurut para pegawai. Dua lagi anak kapal bersembunyi ketika bot itu dinaiki dua lelaki bertopeng yang menaiki sebuah bot pam.

"Kami percaya panggilan tersebut dibuat dari Filipina berdasarkan nombor yang tertera adalah nombor negara jiran itu," kata Omar kepada pemberita pada Selasa. "Kami juga percaya akan ada rundingan antara penculik dan keluarga mangsa berkaitan jumlah wang tebusan."

'Diculik di perairan mereka’


Pegawai Kementerian Luar Indonesia yang bertanggung jawab bagi kebajikan rakyat Indonesia di luar negara belum dapat dihubungi untuk mengesahkan panggilan menuntut wang tebusan itu.

"Mudah-mudahan polis Sabah tidak hanya menyalurkan maklumat tentang tuntutan wang tebusan daripada penculik, tetapi mereka juga dapat membebaskan dua nelayan Indonesia yang telah diculik di perairan mereka," kata pegawai tersebut, Lalu Muhammad Iqbal, yang sebelum itu memaklumkan wartawan melalui khidmat pesanan teks.

Omar berkata pihak berkuasa telah memperhebat usaha keselamatan setelah menerima laporan daripada nelayan tentang bot pam yang dilihat mundar-mandir di perairan Sabah untuk mencari peluang melakukan penculikan.

Empat hari selepas penculikan itu, tiga nelayan Indonesia yang ditawan oleh Abu Sayyaf selama 18 bulan telah dibebaskan. Abu Sayyaf adalah kumpulan militan berpangkalan di Filipina yang terkenal dengan aktiviti penculikan, pengeboman dan pemenggalan kepala sejak dua dekad lepas.

Seorang penganalisis keselamatan serantau berkata kerajaan Indonesia hanya senyap mengenai pembebasan mereka.

"Kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku kerana kerajaan Indonesia tidak mengatakan apa-apa mengenainya," kata Lai Yew Ming dari Universiti Malaysia Sabah kepada BeritaBenar.

"Sesetengah kerajaan menegaskan bahawa mereka mempunyai dasar toleransi sifar terhadap penculik, yang bermaksud tiada sebarang rundingan. Tetapi apa yang berlaku di sebalik sesuatu insiden mungkin mempunyai kisah yang berbeza. "

Pada 19 Sept lalu, pada satu majlis di Kementerian Luar di Jakarta yang menyaksikan kesemua tebusan dipertemukan semula dengan keluarga masing-masing, Timbalan Menteri Luar Indonesia AM Fachir berkata mereka telah dibebaskan "dengan menggunakan aset yang kita miliki di lapangan dan sokongan kerajaan Filipina. "

Dua suspek terbunuh

Pada 20 Sept, Pasukan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) telah membunuh dua lelaki yang disyaki bertindak sebagai pemberi maklumat kepada penculik, semasa adegan kejar-mengejar di sekitar perairan Pulau Bohayan, juga dalam daerah Semporna, Sabah, di mana penculikan 11 Sept berlaku.

Lelaki terbabit, yang tidak membawa pengenalan diri dan berusia lingkungan 50-an, melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa ketika cuba melarikan diri dengan bot pam, menurut polis, yang memburu mereka selepas menerima ‘tip’ daripada penduduk setempat.

ESSCOM mengesyaki penduduk tempatan melindungi pemberi maklumat terbabit, kata Komandernya, Hazani Ghazali. Beliau juga berkata penculik berkemungkinan adalah anggota Abu Sayyaf.

"Lonjakan kes penculikan pada 2016 di Sabah berlaku kerana Abu Sayyaf mahu membiayai operasi mereka semasa perang Marawi pada 2017," katanya merujuk kepada insiden pengepungan lima bulan oleh militan Negara Islam yang berpangkalan di selatan Filipina sehingga menyebabkan kira-kira 1,200 orang terbunuh.

Pada Jun 2017, Filipina, Malaysia dan Indonesia telah melancarkan rondaan trilateral yang bertujuan melindungi Laut Sulu dan Sulawesi yang terletak di antara ketiga-tiga negara daripada lanun dan militan.

Penculikan 11 Sept adalah yang pertama di rantau ini dalam tempoh hampir 18 bulan, menurut Pusat Perkongsian Maklumat Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Membanteras Pelanunan dan Rompakan Bersenjata Terhadap Kapal di Asia (ReCAAP), yang berpangkalan di Singapura.

Tria Dianti di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh