Follow us

COVID-19: Malaysia Rekod Kes Kematian Sembilan Hari Berturut-turut

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-10-16
E-mel
Komen
Share
Seorang pegawai perubatan sedang melakukan ujian saringan COVID-19 di Klinik Selcare, milik anak syarikat kerajaan negeri Selangor, Selgate Healthcare Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor, 6 Oktober 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]
Seorang pegawai perubatan sedang melakukan ujian saringan COVID-19 di Klinik Selcare, milik anak syarikat kerajaan negeri Selangor, Selgate Healthcare Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor, 6 Oktober 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Jumaat merekodkan enam lagi kes kematian berkaitan pandemik COVID-19, yang merupakan hari kesembilan berturut-turut dengan kebanyakkan kes dilaporkan di Sabah, demikian menurut Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM].

Berdasarkan rekod KKM sejak 8 Oktober lepas, sejumlah 35 kematian telah dicatatkan di negara itu bagi tempoh sembilan hari, 34 kes adalah di Sabah manakala satu lagi kes di Semenanjung dengan jumlah kumulatif sejak pandemik itu dilaporkan adalah sebanyak 176.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata 489 kes daripada 629 kes positif harian baharu yang dilaporkan pada Jumaat berlaku di Sabah, manakala kes yang dicatatkan di tempat lain turut mempunyai kaitan dengan negeri itu.

“Lima kes kematian direkodkan di Sabah pada Jumaat, tiga pesakit di Kota Kinabalu, masing-masing seorang di Sandakan dan Semporna manakala satu lagi kematian dicatatkan di Kuala Lumpur,” kata beliau sambil menambah sejak awal bulan Oktober jumlah keseluruhan kes kematian yang dicatatkan seluruh negara adalah sebanyak 40 kes, dengan 38 daripadanya di Sabah.

Beliau turut memberitahu daripada jumlah 629 kes positif harian pada Jumaat, 16 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekaligus menyaksikan sebanyak 437 kes jangkitan telah dilaporkan berkaitan sejarah perjalanan dari negeri itu sejak 20 September.

Noor Hisham pada Khamis juga berkata virus dari Sabah dipercayai sudah menular ke negeri-negeri lain berdasarkan daripada penemuan 23 kluster baharu yang dikaitkan dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

"Sudah ada 23 kluster baharu melibatkan 604 individu pulang dari negeri Sabah yang juga didapati positif COVID-19 dengan kemungkinan besar mereka membawa jangkitan mutasi D614G dari Sabah,” kata beliau semasa sidang media.

Beliau berkata, keseluruhan 181 kluster telah dikesan sejak pandemik itu dilaporkan berlaku di negara tersebut dengan 77 daripadanya masih aktif.

Malaysia pada Jumaat catatkan jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 sebanyak 18, 758 kes manakala bagi peringkat global pula, Pusat Maklumat Koronavirus Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat mengeluarkan statistik yang menunjukkan sejumlah 39 juta kes jangkitan dengan lebih 1.1 juta kematian akibat pandemik itu di seluruh dunia.

Tiada simpton

Beliau juga mendedahkan yang kebanyakkan kes positif yang didapati di Sabah tidak mempunyai simptom atau hanya menunjukkan simptom ringan terhadap virus.

"Daripada kes-kes jangkitan yang dikesan di Sabah, sejumlah antara 70 ke 80 peratus adalah kes dalam kategori 1 dan 2, dengan kategori 1 adalah mereka yang tidak menunjukkan simptom, manakala kategori 2 pula menunjukkan gejala ringan.

Untuk rekod, pesakit COVID-19 dibahagikan kepada lima kategori iaitu kategori 1 adalah yang dianggap paling kurang risiko dengan kategori 5 adalah yang paling bahaya dan memerlukan rawatan rapi serta mesin bantuan pernafasan.

Sementara itu, Noor Hisham turut meminta penglibatan sukarelawan perubatan dan kesihatan untuk menyertai usaha KKM melawan pandemik tersebut di Sabah.

Katanya pihak berkuasa kesihatan memerlukan bantuan tenaga manusia tambahan bagi menghadapi krisis di negeri itu, termasuk untuk mengoperasikan sejumlah 19 Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah serta menjalankan tugas-tugas kesihatan awam.

Setakat Jumaat, kementerian itu telah menggerakkan sejumlah 767 anggotanya dari pelbagai kategori untuk menjalankan kerja-kerja kesihatan sejak negeri itu mula mencatatkan peningkatan kes mendadak.

"Dalam keadaan biasa, kita cukup dari segi sumber manusia untuk memberi perkhidmatan kesihatan. Tetapi sekarang dalam krisis dan kita ada 19 Pusat Kuarantin dan Rawatan Rsiko Rendah. Jadi kita perlukan sumber manusia tambahan untuk menjalankan aktiviti di pusat dan lapangan," tambah Noor Hisham.

Berdasarkan statistik terbaru diedarkan KKM, Sabah kini mempunyai sembilan hospital untuk merawat kes COVID-19, menyediakan 1,045 katil wad biasa dan 122 lagi katil Unit Rawatan Rapi dengan 180 unit mesin bantuan pernafasan dikhaskan untuk pesakit yang memerlukan.

Setakat 15 Okt, 76 peratus daripada jumlah katil wad biasa telah digunakan dengan 19 buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah pula menyediakan 4,231 katil melibatkan kadar penggunaan sebanyak 25 peratus.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Malaysia Adham Baba berkata seramai 140 pegawai dengan 225 penolong pegawai perubatan telah dihantar ke Sabah dan KKM juga telah menyediakan sebanyak 5,276 katil tambahan di negeri itu.

“KKM juga bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan untuk menyediakan Hospital Medan yang menempatkan 100 katil, membawa sampel ujian COVID-19 ke Semenanjung dan menerbangkan 75,000 kit ujian RTK-Antigen serta pelbagai peralatan ke Sabah,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Lihat Laman Penuh