Tuntutan Yang Dibuat Filipina Terhadap Sabah Boleh Gugat Hubungan Dua Hala

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2018-01-31
Share
180131-MY-anifah-filipina1000.jpg Penunjuk perasaan memegang spanduk dan plak semasa mengadakan protes di hadapan Pejabat Kedutaan Malaysia di Manila, Filipina, 5 Mac, 2013.
AFP

Malaysia tidak akan menghormati atau mengiktiraf sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas negeri Sabah, demikian kata Menteri Luarnya pada Rabu.

Anifah Aman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Rabu berkata Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak 16 September 1963.

“Kerajaan Malaysia ingin menegaskan pendiriannya bahawa Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah,” kata Anifah dalam kenyataan itu.

Tambahnya, Kerajaan Malaysia mengambil maklum kenyataan Anggota Jawatankuasa Konsultasi Filipina, Aguilino Pimentel Jr. berkenaan tuntutan ke atas Sabah yang disiarkan media negara itu beberapa hari lepas.

Anifah membidas kenyataan Pimentel dengan keras sambil berkata kenyataan ahli jawatankuasa itu tidak berasas.

“Kenyataan tidak berasas seperti itu bukan sahaja mendedahkan kecetekan ilmu sejarah dan undang-undang antarabangsa, malah mampu merenggangkan hubungan dua hala yang sangat baik antara Malaysia dan Filipina,” katanya lagi.

Pimentel yang dilantik oleh Presiden Filipina Rodrigo Duterte untuk menilai semula perlembagaan negara itu pada Selasa memberitahu bahawa beliau akan mencadangkan Sabah dimasukkan ke dalam wilayah Filipina dalam usaha peralihan negara itu kepada sistem Kerajaan Persekutuan.

Beliau dalam temuramah dengan ABC-CBN News Channel (ANC) memberitahu terdapat kaedah cara yang boleh diterima di bawah undang-undang antarabangsa untuk membuat tuntutan ke atas Sabah itu.

Persekutuan Filipina

Dibawah cadangan Pimentel untuk membentuk kerajaan persekutuan Filipina, negara itu akan dibahagikan kepada 12 negeri iaitu Northern Luzon, Central Luzon, Southern Luzon, Bicol, Eastern Visayas, Central Visayas, Western Visayas, Minparom, Northern Mindanao, Southern Mindanao dan  Bangsamoro.

“Apabila Filipina telah mendapat kedaulatan keatas Sabah kita akan meletakkan Sabah sebagai negeri ke-13 dan ia juga melibatkan Scarborough, Benham Rise, and Spratlys," katanya dalam laporan itu.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Musa Aman juga menolak dengan tegas tuntutan Filipina keatas negeri yang dikenali sebagai ‘Negeri di Bawah Bayu’.

“Saya telah tetapkan pendirian mengenai perkara ini sebelum ini. Kini, izinkan saya menyatakan dengan jelas sekali lagi kami tidak akan mengiktiraf atau memperakukan sebarang tuntutan Filipina atau mana-mana negara lain ke atas Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, rakyat Sabah memilih untuk berada di dalam negeri itu kerana ia berada dalam Malaysia dengan warganya dapat menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi.

Pendekatan konkrit


Manakala, Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah Darell Leiking, sebuah parti pembangkang yang baru ditubuhkan tahun lalu di negeri itu berkata kerajaan negeri yang dipimpin Barisan Nasional perlu mencari satu pendekatan konkrit untuk mengelakkan tuntutan berterusan sebegini berlaku lagi pada masa hadapan.

“Bagaimanakah kamu harapkan rakyat Sabah untuk mempercayai jaminan kamu bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa melindungi hak-hak dan kepentingan Sabah melalui Barisan Nasional apabila tuntutan seperti ini berkali-kali dilaungkan oleh Manila!” katanya.

Sabah, atau nama zaman penjajahannya, Borneo Utara, pernah menjadi wilayah jajahan Kesultanan Brunei.

Pada tahun 1658, Sultan Brunei menyerahkan Sabah kepada Sultan Sulu atas jasa kerajaan tersebut membendung perang saudara yang meletus di Brunei pada ketika itu.

Sewaktu zaman kegemilangannya pada akhir kurun ke 17 sehingga ke 18, pengaruh Kesultanan Sulu tersebar luas meliputi wilayah moden Sabah dan selatan Filipina.

Kedatangan penjajah Barat telah menghakis pengaruh Kesultanan Sulu secara perlahan-lahan dan apabila Filipina jatuh ke tangan penjajah Sepanyol, British telah mengambil inisiatif untuk berkuasa di Sabah.

Amerika pula telah menghapuskan kedaulatan politik kesultanan Sulu melalui Perjanjian Carpenter yang ditandatangani pada 22 Mac 1915.

Pada 22 Januari 1878, suatu perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Sulu dan dua agen British, Alfred Dent dan Baron von Overback (berwarganegara Jerman) dimana ia telah menyerahkan atau ‘menyewakan selama-lamanya’ Borneo Utara kepada British, dengan pulangan pembayaran sebanyak 5,000 dolar Malaya setahun kepada Sultan Sulu.

Pembayaran ini telah ditingkatkan kepada 5,300 dolar Malaya apabila wilayah yang diserahkan meliputi pulau-pulau persisiran Borneo Utara dari Pulau Banggi ke Teluk Sibuku.

Setelah itu, Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU) mentadbir Sabah sehingga 1941.

Sabah seterusnya dijadikan sebahagian dari Empayar Jepun dan apabila Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Sabah dijadikan koloni mahkota British sehingga kemerdekaan Sabah dan berada bersama Sarawak dalam pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.

Ramai rakyat Filipina berhijrah ke Sabah pada tahun 1970-an untuk melarikan diri daripada konflik bersenjata antara tentera kerajaan dan gerila pemisah di selatan negara itu. Kira-kira 800,000 warga Filipina tinggal di Sabah yang mempunyai penduduk berjumlah lebih daripada 3.5 juta orang.

Filipina telah memulakan tuntutan ke atas Sabah pada tahun 1963 tetapi bersetuju pada tahun 1977 untuk tidak meneruskan tuntutannya lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh