Pertemuan Pemimpin Selatan Filipina Bukan Untuk Rancang Ceroboh Sabah

‘Berita palsu,’ kata Setiausaha Pertahanan Filipina mengenai laporan tidak sahih baru-baru ini berhubung rancangan menyerang Sabah.
Staf BenarNews
2021.12.11
Zamboanga, Filipina
Pertemuan Pemimpin Selatan Filipina Bukan Untuk Rancang Ceroboh Sabah Sebuah trak membawa buah kelapa sawit melewati ladang Felda Sahabat di Lahad Datu yang terletak dalam negeri Sabah, Malaysia di Kepulauan Borneo, 20 Feb 2013.
[Reuters]

Para pemimpin kepulauan di bahagian selatan Filipina telah mengadakan satu pertemuan baru-baru ini namun bukan untuk merancang pencerobohan ke atas negeri Sabah yang terletak di Malaysia timur, demikian menurut seorang pegawai tentera pada Sabtu.

Selain itu, Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana menyangkal sepenuhnya laporan South China Morning Post minggu ini bahawa pemimpin terbabit merancang menghantar kira-kira 600 individu untuk menceroboh Sabah, yang terletak di Kepulauan Borneo.

“Ia adalah berita palsu. Tidak benar sama sekali,” kata Lorenzana kepada BenarNews.

Leftenan Jerrica Manongdo, jurucakap Pasukan Khas Bersama Sulu, bersetuju dengan Lorenzana.

“Memang ada pertemuan itu tetapi ia tidak ada kena-mengena dengan Sabah atau Malaysia,” kata Manongdo kepada BenarNews, merujuk kepada perhimpunan pemimpin selatan Filipina dalam laporan tidak sahih itu.

Sehari sebelum itu, Malaysia turut menyatakan bahawa ia tidak menemui sebarang bukti mengenai rancangan menyerang Sabah namun tetap menempatkan pasukan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga di negeri itu apabila amaran mempertingkatkan kawalan dikeluarkan susulan laporan tidak sahih tersebut.

Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein berkata pihaknya sedang cuba mengesahkan maklumat mengenai rancangan pencerobohan itu dengan rakan sejawatnya di Filipina dan Indonesia.

“Sebarang bentuk ancaman harus disahkan dengan bebas dan dipandang serius meskipun ia tidak disokong oleh sebarang bukti,” menurut Hishammuddin dalam satu kenyataan.

“Saya telah mengarahkan pemimpin ketiga-tiga cawangan Angkatan Bersenjata Malaysia iaitu tentera darat, tentera laut dan tentera udara untuk mempertingkat kesiapsiagaan mereka ke tahap paling tinggi terutama di Pantai Timur Sabah.”

Menteri itu juga berkata beliau kini menjalin kerjasama dengan Lorenzana.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia juga berkata tidak ada bukti bahawa pemimpin kumpulan Sulu dari Selatan Filipina membuat rancangan untuk menceroboh Sabah seperti yang didakwa dalam laporan itu.

Affendi Buang berkata penduduk Sabah tidak perlu panik kerana tahap kawalan keselamatan dipertingkat di bahagian timur sempadan negeri itu.

Penduduk Filipina dari Sulu, kepulauan yang terletak di selatan Filipina, sebelum ini cuba menawan Sabah kira-kira lapan tahun lepas; kedaulatan Sabah menjadi punca pertikaian yang berpanjangan antara Malaysia dan Filipina.

Pada 11 Feb 2013, sekumpulan 200 lebih individu bersenjata yang digelar Tentera Diraja Sulu telah memasuki daerah Lahad Datu di Sabah dan bertempur dengan anggota keselamatan Malaysia selama sebulan sebelum kawasan itu dikepung.

Pertempuran itu berakhir pada Jun tahun yang sama dengan sejumlah kematian di kedua-dua belah pihak. Sepuluh anggota pasukan keselamatan Malaysia dan enam orang awam terbunuh bersama-sama 56 individu bersenjata dari Sulu, menurut laporan media ketika itu.

Ramli Dollah, seorang penganalisis keselamatan dari Universiti Malaysia Sabah memaklumkan BenarNews bahawa satu lagi serangan sedemikian “amat tidak masuk akal.”

“Biasanya, isu seperti ini hanya berlaku semasa pilihan raya menjelma. Ia hampir sama pada pilihan raya lepas,” katanya kepada BenarNews, merujuk kepada pilihan raya umum yang dijadualkan pada Mei tahun depan di Filipina.

“Jika anda tanya saya mengenai peluang perkara ini [serangan] berlaku, saya akan katakan tidak namun ia bukan sesuatu yang mustahil.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.