Gabungan Rakyat Sabah Beri Laluan Kepada PN Bertanding Semua 73 Kerusi

Noah Lee
2020.09.14
Kuala Lumpur, Malaysia
200914-MY-Sabah.jpg Calon pilihan raya negeri Sabah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi kawasan N.21 Sulaman, Hajiji Noor (kanan) bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (kiri) semasa sesi penamaan calon di Dewan Seri Sulaman di Sulaman, Sabah, 12 September 2020.
[Ryu Syakur/BeritaBenar]

Perjanjian yang dicapai dengan parti politik tempatan pada hujung minggu lalu telah memberikan laluan kepada Perikatan Nasional untuk bertanding di semua 73 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihanraya Negeri Sabah akhir bulan ini ketika gabungan parti memerintah bergerak agresif untuk menawan negeri Borneo itu.

Melalui perjanjian itu maka terhasilnya Gabung Rakyat Sabah (GRS) yang merangkumi Perikatan Nasional [PN], Barisan Nasional [BN] dan Parti Bersatu Sabah [PBS] yang menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dipersetujui bersama dalam satu pertemuan di Kota Kinabalu bersama pemimpin parti tempatan pada Jumaat.

Muhyiddin yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional berkata penubuhan GRS adalah bertujuan untuk bekerja sebagai pasukan kearah membentuk satu kerajaan negeri baharu jika berjaya memenangi pilihan raya negeri pada 26 September ini.

"Semalam di Kota Kinabalu kita sudah bersepakat untuk berjuang bagi menentukan nasib rakyat negeri Sabah yang kita bela dan majukan. Jadi saya hendak mengumumkan bahawa keputusan telah dicapai untuk menamakan gabungan parti-parti yang ada bersama perjuangan Pusat adalah Gabungan Rakyat Sabah,

"Kami semua bersatu hati untuk bekerjasama membentuk kerajaan selepas 26 September dalam gabungan pertamanya adalah PN bersama BN dan PBS," kata Muhyiddin semasa berucap di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tuaran dalam memberikan sokongan terhadap Pengerusi BERSATU Sabah, Hajiji Noor yang bertanding kerusi DUN Sulaman.

Pengumuman nama gabungan baharu itu dibuat pada hari yang sama diadakan sesi penamaan calon oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menyaksikan pertembungan bersama tiga buah parti di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 73 yang dipertandingkan pada pilihanraya negeri itu pada kali ini.

Pembentukan blok baru di Sabah itu dibuat dua hari selepas PN dan BN dilaporkan tidak dapat mencapai persefahaman mengenai jumlah calon yang akan bertanding, dengan menyaksikan sesi pengenalan calon yang dijadualkan dibuat bersama pada Khamis diubah kepada pengumuman secara berasingan.

Di peringkat kerajaan pusat, BN adalah sebahagian daripada parti-parti yang menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri namun tidak menyertai PN.

Sabah sebelum ini berada dibawah pentadbiran Parti Warisan pimpinan Shafie Apdal dan pada 30 Julai lepas, Ketua Menteri itu telah mengumumkan pembubaran DUN Sabah berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari selepas mendapat perkenan Gabenor Negeri Juhar Mahiruddin.

Tindakan itu diambil kerana sehari sebelum itu, bekas Ketua Menteri Musa Aman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga dan baru sahaja dibebaskan daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada Jun, mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Persetujuan antara parti


Pada Jumaat, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bahawa PN, BN dan PBS telah secara konsensus bersetuju supaya tidak ada pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya negeri Sabah selepas media tempatan melaporkan ketiga-tiganya gagal mengatur calon bagi kawasan yang akan ditandingi.

"Solidariti ini diwujudkan bagi mengelak pertembungan sesama calon walaupun ada parti yang sudah mengumumkan calon masing-masing. Pertembungan calon yang berlaku sebelum ini akan diselesaikan secepat mungkin," kata Zahid kepada pemberita, seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan Berita Harian.

Akan tetapi, sesi penamaan calon pada Sabtu menyaksikan pertembungan sesama parti rakan dalam GRS di 17 kerusi DUN dan selain ketidaksefahaman berhubung pembahagian kerusi, gabungan itu juga secara terbuka telah dilihat berselisih berkenaan isu calon Ketua Menteri, jika berjaya memenangi pilihan raya negeri tersebut dalam membentuk kerajaan baharu.

Perkara itu jelas dapat dilihat apabila Muhyiddin mencadangkan nama Hajiji sebagai calon Ketua Menteri tetapi telah disangkal oleh Ahmad Zahid, juga adalah Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO].

Melalui satu ciapan akaun Twitternya, Ahmad Zahid - "BN memutuskan bahawa Ketua Menteri Sabah hanya akan dipilih oleh ADUN BN dan rakan kongsi politik apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu,"

GRS untuk yakinkan pengundi

Penganalisis politik Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyifatkan bahawa pembentukan GRS itu adalah usaha Perdana Menteri untuk memberikan jaminan kepada rakyat Sabah bahawa tiga parti berkenaan adalah dalam satu gabungan yang sama, dan menunjukkan bahawa mereka mempunyai satu persepakatan.

Namun, tambah beliau, pertembungan di 17 kerusi antara PN, BN dan PBS itu dipercayai akan membuatkan kekeliruan di kalangan pengundi.

"Walaupun dengan pengumuman beliau itu, ia masih tidak dapat menghentikan perlawanan sesama sendiri di antara tiga komponen yang beliau namakan sebagai GRS, dengan itu boleh menyebabkan kekeliruan kepada pengundi," kata beliau.

Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan pula berkata bahawa pertembungan itu akan melemahkan potensi GRS dalam menghadapi Warisan dan parti-parti sekutunya.

"Jika tiada pertembungan diantara PN dan BN maka besar kemungkinan Warisan mampu digugat oleh pembangkang. Tetapi oleh kerana terdapat pertindihan walaupun hanya 17 kerusi, ia akan turut memberi kesan kepada pengundi dan pertindihan walaupun satu kerusi tidak boleh berlaku," kata beliau.

Pendaftaran PN

Sementara itu, dua pemimpin kanan parti Anwar Ibrahim - Parti Keadilan Rakyat [PKR] mempertikaikan mengenai status pendaftaran PN sebagai sebuah gabungan parti politik dengan  Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Naib Ketua Angkatan Muda Syed Badlishah Syed Osman mencabar Muhyiddin untuk menunjukkan bukti bahawa pendaftaran PN telah mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

"Seandainya Perikatan Nasional masih belum didaftarkan secara rasmi, saya mendesak agar pihak SPR mengambil tindakan serta merta dengan membatalkan pencalonan semua calon-calon yang bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional,” kata Syed Badlishah.

Susulan daripada itu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mengeluarkan satu kenyataan media pada Isnin yang memaklumkan bahawa PN telahpun didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos lepas.

"JPPM dengan ini menegaskan bahawa Parti Perikatan Nasional telah didaftarkan melalui pengeluaran sijil pendaftaran PPM-019-14-07082020 yang dilulus dan ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan berkuatkuasa pada 7 Ogos 2020 di bawah kategori politik selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335]," kata kenyataan JPPM yang dikeluarkan di Putrajaya.

Seramai 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya negeri Sabah pada 26 September ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.