Pilihan Raya Negeri: Malaysia Ketatkan Kawalan Keselamatan Sempadan di Sabah

Ray Sherman & Noah Lee
2020.09.22
Kuala Lumpur, Malaysia
200922-MY-Sabah.jpg Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia melakukan rondaan maritim semasa Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar perairan di Kota Kinabalu, Sabah, 21 Mei, 2020.
[Ryu Syakur/BeritaBenar].

Ketua Polis Malaysia memberi amaran yang tindakan tegas akan diambil terhadap kumpulan penyokong parti politik tertentu yang dipercayai cuba memasuki Sabah secara besar-besaran dan mahu menimbulkan kekacauan semasa Pilihan Raya Negeri, dengan pihak berkuasa memperketatkan langkah kawalan keselamatan.

Abdul Hamid Bador mengeluarkan amaran itu beberapa hari selepas Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali mendedahkan terdapatnya kumpulan yang dipercayai merancang memasuki Sabah untuk membuat kacau semasa pilihan raya negeri yang akan diadakan pada Sabtu.

“Saya ingin memberikan amaran bahawa kita akan mengambil tindakan yang sangat tegas. Jangan menganggu gugat proses mengundi di Sabah dan janganlah sesekali cuba untuk mengganggu-gugat proses demokrasi di negara ini,” kata Abdul Hamid kepada media selepas melawat proses pengundian awal di Kontinjen Polis Sabah di Kota Kinabalu pada Selasa.

Ketua Polis Negara itu juga tidak menolak kemungkinan kumpulan yang dipercayai cuba membuat kekacauan terdiri daripada mereka yang mempunyai dua kerakyatan tetapi tinggal di negara jiran, Filipina serta mempunyai agenda tentu yang menyokong sesuatu pihak pada pilihan raya negeri itu.

“Mereka berada di negara mereka dan apabila masanya tiba untuk mengundi, mereka pulang untuk membuang undi.

“Sekiranya ditangkap dan didapati sah memiliki dua kerakyatan, kita akan batalkan kad pengenalan dan kerakyatan Malaysia serta akan mengusir mereka keluar,” tambah Abdul Hamid sambil berkata berdasarkan risikan kumpulan dua kerakyatan juga menetap di Sabah terutamanya di sekitar pantai timur negeri berkenaan.

Malaysia tidak mengikhtiraf dua kerakyatan dengan mana-mana individu yang dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salahsatu daripadanya menurut Jabatan Pendaftaran Negara.

Mengikut Perkara 24(1) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan Persekutuan juga boleh melucutkan kewarganegaraan Malaysia kepada individu yang telah memperolehi kewarganegaraan dari negara lain.

Cubaan menculik

Dalam pada itu, Hazani berkata pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi segala bentuk kemungkinan sehingga pilihanraya selesai, walaupun adanya kerisauan terhadap kemasukan warga asing ke Sabah secara besar-besaran secara haram menjelang pilihanraya negeri.

“Kita bimbang dengan mereka yang mempunyai dua kerakyatan yang mahu pulang mengundi menggunakan lorong tikus untuk kembali yang berkemungkinan membawa kepada penularan virus COVID, selain maklumat yang diterima berkenaan cubaan menculik untuk wang tebusan yang cuba dilakukan oleh kumpulan-kumpulan tertentu dari Filipina.

“Cubaan menculik memang ada…. Dan ada terima maklumat dari pasukan keselamatan Filipina bahawa terdapat cubaan menyeberangi ke sempadan negara kita,” tambah beliau kepada media pada Selasa.

Perairan Sabah yang bersempadan dengan Filipina dan Indonesia sering menjadi sasaran kumpulan militan Abu Sayyaf untuk melakukan jenayah penculikan maritim bagi mendapatkan wang tebusan sejak tahun 2000 lagi.

Amerika Syarikat telah menyenarai hitamkan kumpulan yang kebanyakkan anggotanya berasal daripada beberapa kepulauan di Perairan Sulu, Filipina, sebagai organisasi pengganas asing selepas menculik kira-kira 21 pelancong asing di Pulau Sipadan, Sabah, 20 tahun lepas, termasuk beberapa kes penculikan yang berlaku sehingga kini.

Susulan itu, Panglima Angkata Tentera Malaysia Jeneral Affendi Buang turut meminta masyarakat tempatan untuk membantu pihak keselamatan itu menyalurkan maklumat berkenaan sebarang cubaan penyeludupan pendatang asing dan jenayah rentas sempadan.

"Adalah disarankan kepada masyarakat tempatan agar turut sama menjadi ‘mata dan telinga’ kerana kedaulatan Negara merupakan tanggungjawab bersama dan bukan hanya digalas oleh
pasukan keselamatan semata-mata," kata Affendi.

Putrajaya pada Selasa turut mengumumkan larangan terhadap mereka yang layak mengundi tetapi disahkan positif COVID-19, dengan Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang sedang menerima rawatan di hospital tidak dibenarkan mengundi bagi mengelak berlaku penularan pandemik itu dalam komuniti.

“Mereka yang berada dalam kuarantin dibenarkan untuk mengundi tetapi perlu memaklumkan kepada pihak yang berkenaan bagi membolehkan mereka mendapat kebenaran untuk di bawa keluar dan mengundi.. Pengundi juga digalakkan mematuhi masa yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan, namun mereka tetap dibenarkan untuk membuang undi di luar waktu yang ditetapkan," kata Ismail Sabri di Putrajaya.

Sabah terus merekodkan kes jangkitan COVID-19 yang tinggi dengan 82 kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam, 60 daripadanya adalah kes dari Sabah, dengan Malaysia secara kumulatifnya telah mencatatkan 10,358 kes jangkitan dengan 130 kematian.

Hari mengundi bagi pilihan raya negeri Sabah akan diadakan pada Sabtu dengan sebanyak 73 buah kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertandingkan dan seramai lebih 1.1 juta daripada 3.9 juta jumlah penduduk negeri itu berdaftar sebagi pengundi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.