Putrajaya Batal Rancangan Perkenal Pas Khas Warga Asing di Sabah

Noah Lee & Zam Yusa
2020.01.23
Kuala Lumpur & Kota Kinabalu, Malaysia
200123-MY-PH-Pass1000.jpg Penduduk tempatan di sekitar Sabah menggunakan bot sebagai pengangkutan dari satu pulau ke satu pulau lain, di Kota Kinabalu, 14 Jun 2015.
[AFP]

Malaysia membatalkan rancangannya untuk memperkenalkan kad pengenalan tunggal bagi warga asing sebagai cara mengesan pergerakan di sempadan Sabah yang berdekatan Filipina, selepas kerajaan negeri mengumumkan bahawa ia tidak akan melaksanakan rancangan itu berikutan kekalahan parti pemerintah pada pilihan raya kecil baru-baru ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia pada Khamis mengumumkan pembatalan rancangan untuk memperkenalkan pas yang dikenali sebagai Pas Sementara Sabah (PSS) yang perlaksanaannya dijadualkan 1 Jun depan, melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.

Kenyataan kementerian berkenaan memaklumkan bahawa mereka mengambil pendirian yang sama dengan kerajaan negeri Sabah yang telah membuat keputusan untuk membatalkan pelan keselamatan itu yang direka bagi membolehkan pihak berkuasa memantau keberadaan warga asing di negeri itu dengan lebih berkesan.

Pengumuman KDN itu dibuat sehari selepas Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal mengadakan sidang media bagi menyatakan keputusan kabinet negeri tersebut untuk tidak meneruskan pengenalan PSS di Sabah.

"KDN mengambil maklum keputusan Kerajaan Negeri Sabah membatalkan pelaksanaan PSS melalui Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah yang telah diadakan pada 22 Januari 2020. Perkara ini telah diputuskan oleh Kerajaan Negeri Sabah setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

"Memandangkan keputusan pelaksanaan PSS ini merupakan persetujuan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Pusat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk), maka pihak Kementerian selaku penyelaras bersama mengambil pendirian yang sama dengan kerajaan Negeri Sabah berhubung pembatalan PSS," kata kenyataan KDN yang diedarkan kepada media pada Khamis.

KDN bagaimanapun menegaskan bahawa usaha untuk menyelesaikan isu pelarian di Sabah tetap menjadi komitmen bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sabah.

Pada Rabu, Shafie memberitahu media bahawa keputusan jemaah menteri Sabah itu dibuat bagi mengikut kehendak rakyat negeri berkenaan yang tidak mahu PSS dilaksanakan.

Menurutnya, keputusan itu bagaimanapun tertakluk kepada KDN kerana urusan pentadbiran PSS adalah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

"Setelah meneliti segala apa yang berlaku, mesyuarat jemaah menteri pada hari ini, 22 Januari telah memutuskan supaya PSS dibatalkan setelah melihat dan mendengar suara rakyat.

"Ini bukan hanya kerana (apa terjadi pada) pilihan raya kecil Kimanis, tetapi mendengar keseluruhan suara-suara rakyat yang telah diutarakan yang mereka tidak ingin melihat perkara itu dilaksanakan. Kami mendengar suara rakyat maka dengan itu kabinet negeri Sabah telah memutuskan supaya kami memaklumkan kepada KDN selaku kementerian bertanggungjawab supaya batalkan rancangan itu," kata Shafie.

Beliau merujuk kepada kekalahan parti Warisan Sabah pimpinannya kepada Barisan Nasional semasa pilihanraya kecil Kimanis pada 18 Jun lalu. Sepanjang tempoh berkempen untuk PRK selama dua minggu, PSS adalah antara isu utama yang dimainkan parti pembangkang bagi menaikkan sentimen pengundi supaya mengundi untuk melawan Warisan.

Dalam pilihan raya tersebut, calon Barisan Nasional, Mohamad Alamin, menang dengan majoriti besar sebanyak 2,029 undi mengalahkan Karim Bujang.

Shafee berkata kebanyakan mereka yang menentang pelaksanaan PSS adalah kerana mempunyai tanggapan salah yang kerajaan negeri akan memberikan kad pengenalan sah sebagai mengiktiraf pendatang asing tanpa dokumen di negeri berkenaan.

"Mereka sangka dokumen yang akan kita berikan adalah kad pengenalan, yang mana ini adalah satu tanggapan yang salah."

Bukan pengakhiran

Pada September lepas, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan PSS bermula Jun depan bagi menggantikan tiga dokumen lama yang dikeluarkan kepada pelarian di Sabah.

"PSS akan membantu menyeragamkan pelbagai dokumen yang dipegang oleh warga asing di negeri Malaysia Timur itu selain memudahkan operasi penguatkuasaan undang-undang, kata Muhyiddin dalam satu sidang media awal bulan ini.

Menurut statistik rasmi, Sabah mempunyai 3.9 juta penduduk termasuk kira-kira 1.1 juta yang bukan warganegara Malaysia.

Sementara itu, penganalisa dari Universiti Malaysia Sabah, Dr. Lai Yew Meng berkata keputusan kerajaan Sabah itu mencerminkan kedudukannya sebagai sebuah kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat, yang telah memberikan isyarat jelas menolak pelaksanaan PSS.

Namun, katanya, pembatalan itu tidak bermakna ia adalah pengakhiran bagi usaha kerajaan negeri menangani isu warga asing, kerana pengenalan langkah seumpama itu adalah penting bagi menguruskan isu pelarian dan pendatang asing tanpa dokumen sah di negeri tersebut.

"Memandangkan sentimen umum dan persepsi negatif terhadap PSS kerana kekurangan kefahaman mengenai fungsinya, serta menjadi isu yang dipolitikkan, adalah satu langkah bijak untuk membatalkan PSS daripada ia dijadikan pembangkang untuk menyerang polisi kerajaan negeri.

"Apa yang boleh dilakukan ialah pengenalan rancangan dokumentasi baru bagi menggantikan PSS, yang mana ia mempunyai objektif sama untuk menyelesaikan secara menyeluruh semua isu berkaitan warga asing selain memastikan keselamatan serta kesejahteraan negeri Sabah," katanya ketika dihubungi BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.