Follow us

Banduan Penjara Sabah Penyumbang Terbesar Kes COVID-19 di Malaysia

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-09-11
E-mel
Komen
Share
Pegawai dan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang menjalankan kerja-kerja sanitasi nyahkuman di Penjara Reman Pulau Pinang yang terletak di Jalan Penjara, Georgetown, 15 April 2020.
Pegawai dan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang menjalankan kerja-kerja sanitasi nyahkuman di Penjara Reman Pulau Pinang yang terletak di Jalan Penjara, Georgetown, 15 April 2020.
[A. Ammarudin/BeritaBenar]

Penularan virus COVID-19 di sebuah penjara di Sabah telah mengakibatkan jumlah kes positif harian di Malaysia melonjak kepada kadar tertinggi yang direkodkan negara itu dalam tempoh tiga bulan, dengan 167 daripada 82 kes baharu yang dilaporkan pada Jumaat berkait dengan fasiliti berkenaan.

Berikutan peningkatan jumlah kes yang tinggi melibatkan kluster yang dinamakan Kluster Benteng Lahad Datu itu, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah meminta pihak berkuasa keselamatan mengasingkan semua tahanan baru selama 14 hari sebelum mereka boleh bercampur dengan tahanan sedia ada.

Pada hari yang sama juga, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata Putrajaya telah mengarahkan perintah yang menyerupai perintah berkurung dilaksanakan di fasiliti di Sabah itu selepas rekod KKM menunjukan lebih 300 orang termasuk 250 banduan dan selebihnya petugas dan keluarga mereka telah dijangkiti COVID-19.

"Ingin dimaklumkan bahawa daripada 167 kes baharu yang dilaporkan pada Jumaat, 91 daripadanya adalah banduan warga asing terdiri daripada 61 rakyat Filipina, 30 (Indonesia) manakala 70 lagi banduan warga tempatan telah dijangkiti COVID-19.

"Enam lagi kes adalah melibatkan orang awam yang dikesan melalui saringan kontak rapat,” demikian kata Noor Hisham pada Jumaat.

Beliau berkata dengan penambahan 182 kes terbahru yang dicatatkan itu, jumlah kes COVID-19 di Malaysia telah melonjak kepada 9,810 kes.

"Daripada 182 kes baharu yang dilaporkan, terdapat satu kes import yang dilaporkan di negeri Selangor melibatkan seorang warganegara Filipina, manakala 181 kes penularan di dalam negara, 90 adalah rakyat tempatan dengan 91 adalah bukan warganegara,” tambah beliau.

Noor Hisham pada Isnin memberitahu media bahawa berdasarkan kepada analisa risiko yang dijalankan, faktor penularan COVID-19 bagi Kluster Benteng Lahad Datu adalah kerana ruang lokap yang sesak dan sempit selain penjarakan fizikal yang sukar diamalkan.

"Ini merupakan penyumbang utama penularan jangkitan COVID-19 di kalangan banduan. Justeru, kepatuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah penting dan harus diamalkan sepanjang masa tanpa mengira tempat," kata Noor Hisham semasa sidang media pada masa itu.

Ketua Pengarah Kesihatan pada Khamis pula menegaskan bahawa tempoh 14 hari pengasingan sangat diperlukan kerana ia adalah jangka masa inkubasi untuk virus COVID-19.

"Walaupun seseorang tahanan tidak menunjukkan sebarang gejala atau demam ketika saringan, jangkitan masih boleh berlaku apabila tahanan diletakkan dalam satu sel yang sama.. Kalau boleh tahanan yang baru hendaklah diasingkan daripada yang lama, walaupun ujian makmal mendapati bahawa seseorang itu negatif COVID-19, tahanan baru seharusnya tidak dicampurkan kerana tempoh inkubasi adalah selama 14 hari," kata Noor Hisham.

Kluster Benteng

Kluster Benteng Lahad Datu adalah merujuk kepada kumpulan jangkitan yang membabitkan lokap polis di Lahad Datu dan Penjara Tawau dengan kesemua jumlah kes baru yang direkodkan pada Jumaat adalah daripada fasiliti berkenaan.

Penularan kluster berkenaan mula dikesan pada awal September, dan siasatan pihak berkuasa kesihatan mendapati bahawa jangkitan berkenaan berpunca daripada dua orang pendatang asing yang ditangkap pihak berkuasa dalam operasi kawalan sempadan yang digelar Ops Benteng.

Setakat Jumaat, jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti COVID-19 dalam kluster ini adalah seramai 337 orang termasuk 249 orang yang mempunyai kaitan dengan Penjara Tawau.

Operasi Benteng adalah satu tindakan bersepadu yang dijalankan untuk memperketatkan kawalan sempadan negara daripada dibolosi pendatang asing tanpa dokumen, bertujuan untuk mengekang penularan virus COVID-19 dari luar negara.

Ia membabitkan Angkatan Tentera Malaysia, polis dan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan.
Menurut laporan media tempatan, sejak ia mula dilaksanakan pada 1 Mei sehingga awal Ogos, Ops Benteng telah menyaksikan sebanyak 3,597 tangkapan dibuat pihak berkuasa.

Susulan daripada peningkatan jumlah kes, kerajaan telah mengumumkan Lahad Datu sebagai kawasan Zon Merah COVID-19.

Perintah kawalan

Sementara itu pada Khamis, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara Pentadbiran (PKPDP) ke atas fasiliti penjara di Tawau serta kuarters kediaman untuk pegawai penjara.

"PKPD ini berkuatkuasa pada 11 September sehingga 25 September yang akan melibatkan banduan, dengan seramai 114 anggota dan 355 ahli keluarga Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Tawau. Anggota KKM akan menyaring kesemua yang terlibat," kata Ismail dalam satu kenyataan media.

PKPDP adalah satu perintah kawalan yang menyekat penduduk sesuatu kawasan daripada bergerak secara bebas keluar ke tempat lain. Penduduk bagaimanapun masih boleh keluar bagi mendapatkan barang keperluan akan tetapi mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa yang menjalankan kawalan.

Menurut Ismail, di bawah perintah berkenaan, sebarang pergerakan keluar masuk penjara tidak dibenarkan termasuk oleh pelawat dan ahli keluarga tahanan.

Malaysia berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di mana hampir keseluruhan aktiviti ekonomi dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat dengan kerajaan melaksanakan pemeriksaan berkala terhadap ribuan premis perniagaan, tapak pembinaan dan sebagainya bagi memastikan individu, pemilik perniagaan dan syarikat mematuhi SOP yang ditetapkan.

Pihak berkuasa Malaysia sehingga kini juga telah menahan ratusan individu kerana kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan dengan mereka yang ditahan dikenakan kompaun manakala selebihnya di denda atau berdepan dengan hukuman penjara.

Jangkitan COVID-19 di peringkat global mencatatkan lebih 28.3 juta kes jangkitan telah dicatatkan dengan lebih 911,000 kematian direkodkan oleh pakar penyakit di Johns Hopkins University yang berpusat di Amerika Syarikat.

Lihat Laman Penuh