Sempadan Malaysia-Filipina: Sabah Ketatkan Kawalan Selepas Serangan Ganas di Jolo

Amy Chew
2020.08.26
Kuala Lumpur, Malaysia
200826-PH-Jolo-attack-1000.JPG Tentera Filipina dilihat berada di lokasi letupan di Pulau Jolo, wilayah Sulu, Filipina, 24 Ogos 2020. [Reuters]
[Reuters]

Sabah yang terletak di Borneo Malaysia memperketatkan semua sempadannya bagi mengelak militan Kumpulan Abu Sayyaf memasuki negerinya untuk mencari "tempat perlindungan" selepas dua kejadian pengeboman bunuh diri berlaku minggu ini di selatan Filipina, kata ketua polis negeri itu kepada BeritaBenar.

Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan lebih 75 orang cedera dalam dua letupan di Pulau Jolo pada Isnin yang dilakukan oleh balu anggota ASG, sebuah kumpulan pelampau pro-Negara Islam, kata tentera Filipina pada Rabu.

Dalam satu temu bual, Pesuruhjaya Polis Negeri Hazani Ghazali berkata "kami telah memperketat sempadan kami, mengerahkan aset-aset kami susulan pengeboman itu."

"Kami tidak mahu suspek militan datang ke sini dan menjadikan Sabah sebagai tempat perlindungan mereka," katanya kepada BeritaBenar, sambil memberitahu "kami dalam keadaan berjaga-jaga."

Menurut pakar keselamatan di Filipina, sekurang-kurangnya tiga lagi pengebom wanita masih berada di wilayah selatan yang bergolak itu - termasuk dua anak perempuan seorang wanita Indonesia yang terlibat dalam pengeboman bunuh diri di sebuah gereja di Jolo tahun lalu - dan kedua-dua wanita yang melakukan serangan pada Isnin dengan masing-masing dibayar sekurang-kurangnya 3 juta peso Filipina (AS$61,750) sebelum berlakunya dua pengeboman itu.

Bandar Jolo, di mana serangan itu berlaku, adalah ibu negeri wilayah pulau Sulu yang terletak berdekatan dengan pantai timur Sabah. Pada masa lalu, anggota-anggota ASG melarikan diri ke Sabah dari Kepulauan Sulu untuk bersembunyi ketika tentera Filipina melakukan operasi pembersihan terhadap militan.

Pada 2017, polis Malaysia berkata mereka telah menggagalkan rancangan Kumpulan Abu Sayyaf untuk melakukan serangan semasa upacara penutupan Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur. Dari 2013 hingga September 2018, seramai 27 anggota Kumpulan Abu Sayyaf ditangkap oleh polis di Malaysia.

Hazani Ghazali, yang kini ketua polis Sabah, semasa bertugas sebagai komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM). [Ihsan ESSCOM]

Di kawasan sempadan Filipina yang terletak berdekatan Sabah, yang dipisahkan oleh Laut Sulu dan Laut Celebes, pihak tentera berkata bahawa mereka sedang memburu suspek lain yang berkaitan dengan serangan pada Isnin. Mereka menyatakan bahawa serangan itu dirancang oleh Mundi Sawadjaan, pelaksana operasi dan pembuat bom ASG, yang dipercayai anak saudara Hatib Hajan Sawadjaan, komander cawangan IS di Filipina.

Dipercayai bahawa sekurang-kurangnya tiga pengebom bunuh diri wanita lain berada di selatan Filipina, menurut Rommel Banlaoi, ketua Institut Penyelidikan bagi Kajian Perdamaian dan Keganasan  Filipina, iaitu badan pemikir negara berkenaan.

"[Mereka] adalah dua rakyat Indonesia iaitu anak perempuan pengebom Gereja Jolo, dan seorang rakyat Mesir yang merupakan anak perempuan pengebom wanita Mesir yang mati pada September 2019," kata Banlaoi kepada BeritaBenar.

Pada Januari 2019, pasangan suami isteri Indonesia, Rullie Rian Zeke dan Ulfah Handayani Saleh, meletupkan diri mereka di Gereja Our Lady of Mount Carmel yang menyebabkan 23 orang terbunuh.

Pasangan itu adalah anggota sekutu IS Indonesia, Jemaah Ansharut Daulah (JAD), menurut penganalisis keselamatan di negara itu. Pegawai Filipina menyatakan bahawa pasangan suami isteri itu melakukan pengeboman berkembar atas arahan Hatib Hajan Sawadjaan.

Di Jakarta, seorang sumber kanan agensi anti-keganasan Indonesia mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya seorang daripada tiga anak pasangan itu masih berada di Filipina.

"Anak perempuan Rullie sudah berkahwin... [dan] masih berada di Filipina," kata sumber itu kepada BeritaBenar. Beliau tidak memberikan maklumat lanjut.

Langkah ASG menggunakan pengebom bunuh diri wanita adalah satu perubahan besar dalam taktik kumpulan itu kerana wanita dan gadis kurang menerima pengawasan pihak berkuasa berbanding lelaki, kata Mimi Fabe, profesor keganasan kewangan dan jenayah terancang rentas negara di Kolej Polis Nasional Filipina.

Sebelum pengeboman gereja-gereja di Jolo pada 2019, semua pengebom bunuh diri dalam serangan seperti itu di Filipina dilakukan oleh lelaki.

"Pengeboman [terbaru] Jolo adalah strategi ASG untuk mendorong lebih banyak pengebom bunuh diri wanita dalam kalangan penduduk tempatan ... Ini kerana ia memberikan kesan lebih mengerikan kepada pasukan kami," kata Fabe kepada BeritaBenar.

"[Dan] wanita Muslim juga tidak menjalani pemeriksaan badan, tidak seperti lelaki," katanya.

Kejadian yang jarang berlaku itu merekodkan lima pengeboman bunuh diri sejak Julai 2018 termasuk letupan terbaru.

Dua pengebom bunuh diri wanita di Jolo itu masing-masing dibayar kira-kira 3 juta hingga 5 juta peso [AS$61,750 hingga 102,900]” dengan wang itu dipercayai daripada sumber asing, kata Fabe.

"Wang itu diberikan kepada keluarga mereka. Dalam operasi seperti ini, wang itu dibayar sebelum misi dilakukan,” kata Fabe sambil memberitahu bahawa terdapat keperluan untuk melihat aspek pembiayaan keganasan dalam serangan terbaru itu.

"Saya menjangkakan lebih banyak pengeboman akan berlaku kerana ASG menerima dana dari luar negara. Sekiranya kita tidak mengganggu pembiayaan pengganas, lebih ramai sukarelawan wanita akan tampil menjadi pengebom bunuh diri,” katanya.

Menurut Fabe, kedua-dua pengebom bunuh diri itu dipercayai "dilatih" oleh seorang pejuang asing rakyat Indonesia.

"Ada usaha yang jelas darpadai pihak penyumbang dana dan pengganas untuk memujuk wanita-wanita mereka supaya melakukan serangan ganas," kata Fabe.

Sabah: Penculikan, kemasukan haram


Sementara itu, Sabah mengerahkan asset-aset tentera laut, tentera darat, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk meningkatkan keselamatan di sepanjang pantai timur negeri itu di mana penculikan oleh kumpulan-kumpulan penculik bagi mendapatkan wang tebusan, yang bekerjasama dengan Abu Sayyaf, berlaku secara berkala.

"Setakat ini, tiada insiden itu berlaku," kata Hazani, yang mengambil alih jawatan sebagai ketua polis Sabah pada 12 Ogos selepas bertugas sebagai Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM), agensi yang mengawasi keselamatan di sepanjang perairan pantai timur Sabah.

Hazani berkata sekurang-kurangnya satu kumpulan penculikan bagi wang tebusan dapat dihapuskan tahun ini dan dianggarkan terdapat lima kumpulan lagi yang masih beroperasi.

ESSCOM, melalui unit risikannya, sedang mengesan tekong-tekong bot tempatan yang bersekongkol dengan pendatang haram untuk memasuki perairan Zon Keselamatan Timur Sabah, menurut laporan agensi berita kerajaan, Bernama.

Pengarah Bahagian Tindakan Awam ESSCOMM Terry Henry berkata tindakan itu bertujuan memutuskan rantaian yang melibatkan kemasukan pendatang asing tanpa izin ke Sabah.

"Ini bagi memastikan negara kita, terutamanya di Sabah, bebas daripada pendatang haram," katanya kepada Bernama pada program kemasyarakatan Merdeka @ Kalabakan yang dianjurkan oleh ESSCOM dan Jabatan Penerangan Tawau pada Selasa.

“Mereka yang didapati bersekongkol dan cuba melindungi pendatang haram dipenjarakan sehingga lima tahun atau denda RM10,000 [AS$23,980] atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.