Rasuah: Dua Pegawai Kanan Kerajaan Mengaku Tidak Bersalah

Desmond Davidson
2016.12.29
Kuching, Sarawak
161229-my-sabah-coruption620.jpg Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah, 29 Disember 2016.
(Desmond Davidson/BeritaBenar)

Dua pegawai kanan kerajaan Malaysia dan isteri seorang daripadanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit daripada pelbagai sumber projek kerajaan negeri bagi melaksanakan infrastruktur bekalan air bersih di Sabah.

Kedua-dua pegawai kerajaan negeri itu ialah bekas Pengarah Jabatan Air Awang Mohd Tahir Mohd Talib dan bekas penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Negeri Lim Lam Beng serta isteri Awang Mohd Tahir, Fauziah Piut, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM61.48 juta [AS$13.71 juta] dalam bentuk tunai dan simpanan bank serta memiliki barangan berjenama mewah secara menyalahi undang-undang.

Menurut kertas pertuduhan, Awang Mohd Tahir, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen itu atas 12 kesalahan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM56.9 juta dan memiliki pelbagai jam tangan dan kenderaan mewah yang menyalahi undang-undang.

Beliau juga mengaku tidak bersalah bersama isterinya, Fauziah, 51, atas dua pertuduhan memiliki barangan kemas secara tidak sah, manakala Fauziah juga menghadapi 19 pertuduhan lain, memiliki barangan kemas dan beg mewah serta mempunyai simpanan RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.

Lim, 62, yang juga bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air itu yang telah digantung tugas, memohon dibicarakan atas empat pertuduhan memiliki wang tunai RM2.38 juta dan memiliki kenderaan mewah secara tidak sah.

Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Kalthum Abdul Samad membenarkan  Awang Mohd Tahir, Fauziah dan Lim masing-masing diikat jamin sebanyak RM10 juta (AS $2.23 juta), RM2 juta ringgit (AS$446,000) dan 1 juta ringgit (AS$223,000) dengan dua penjamin tempatan.

Mahkamah turut merampas pasport mereka dan menghalang mereka daripada meninggalkan negara. Hakim Ummu Kalthum kemudian menetapkan 28 Februari depan untuk pengurusan kes.

Media tempatan melaporkan bahawa pasangan suami isteri itu bagaimanapun gagal menjelaskan wang jaminan mereka manakala Lim membayar wang jamin itu dan dibebaskan pada sebelah petang.

Ketiga-tiga mereka didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pada Oktober lalu, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat dan rumah kedua-dua pegawai kanan jabatan itu selepas menerima aduan daripada kontraktor tempatan mengenai penyalahgunaan kuasa dalam pemberian projek bekalan air di Sabah.

Timbalan Ketua SPRM (Operasi) Azam Baki memberitahu BeritaBenar pada Oktober lalu bahawa dua pegawai kanan berusia 51 dan 54 tahun itu ditahan di pejabat masing-masing pada  kerana disyaki memonopoli dan memberikan projek yang dikendalikan jabatan itu kepada sanak saudara mereka.

"Kami telah menyiasat perkara itu sejak lewat 2015 selepas menerima aduan dan disyaki memonopoli dalam memberikan projek yang dikendalikan jabatan kepada sanak saudara mereka" katanya.

Semasa memberikan sidang media di Kota Kinabalu, Azam tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan didakwa dalam skandal penyelewengan dana infrastruktur Jabatan Air Sabah.

Menurutnya, siasatan keseluruhan kes itu kini di peringkat akhir dan pihaknya juga sedang berbincang dengan timbalan pendakwa raya bagi mendakwa individu lain yang dikenal pasti terlibat.

Bagaimanapun, katanya, masih banyak perkara perlu disiasat termasuk membabitkan kerja penyelenggaraan bekalan air dan siasatan mengenainya adalah secara menyeluruh serta tidak terhad kepada hanya projek yang melibatkan jabatan itu sahaja.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.