Follow us

Maklumat Risikan: Malaysia Tingkat Operasi di Perairan Sabah

Zam Yusa
Kota Kinabalu, Malaysia
2018-10-31
E-mel
Komen
Share
Rondaan keselamatan oleh sebuah helikopter pihak berkuasa Malaysia di sekitar perairan Pulau Mabul, di Sabah, 13 Julai 2014.
Rondaan keselamatan oleh sebuah helikopter pihak berkuasa Malaysia di sekitar perairan Pulau Mabul, di Sabah, 13 Julai 2014.
AP


Pihak berkuasa Malaysia telah meningkatkan operasi keselamatan di perairan negeri Sabah susulan amaran oleh sebuah pusat maklumat maritim serantau berkaitan potensi terdapatnya i-aktiviti pelanunan kumpulan Abu Sayyaf.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Hazani Ghazali berkata agensi itu telah menerima maklumat risikan berkaitan perkara tersebut daripada rakan sejawat di Filipina dan telah mengeluarkan amaran keselamatan maritim.

“ESSCOM telah menggerakkan semua aset di lapangan serta pos kawalan hadapan bagi meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan dan rondaan di perairan Esszone (Zon Selamat Timur Sabah),” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu.

“Saya minta masyarakat di sekitar Esszone dapat menyampaikan sebarang maklumat kepada ESSCOM sekiranya melihat pergerakan yang meragukan agar tindakan segera dapat diambil,” tambah beliau.

Pusat Perkongsian Maklumat Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Membanteras Pelanunan dan Rompakan Bersenjata Terhadap Kapal di Asia (ReCAAP) pada Selasa telah mengeluarkan nasihat yang memaklumkan bahawa pusat berkenaan telah menerima maklumat daripada Pengawal Pantai Filipina bahawa kumpulan Abu Sayyaf merancang untuk melakukan penculikan.

ReCAAP berkata kumpulan yang disertai kira-kira 10 anggota Abu Sayyaf itu merancang untuk melakukan penculikan di sekitar Sabah “pada bila-bila masa.”

“Kumpulan Abu Sayyaf tidak mempunyai sasaran tertentu namun dijangka menyasarkan ahli perniagaan atau kru kapal asing yang melalui kawasan itu,” kata ReCAAP.

“Suspek menggunakan sebuah lancang yang menggunakan enjin tidak bertanda berwarna biru dan putih buatan Malaysia dikenali sebagai ‘jungkong’.

“Mereka sarat dilengkapi senjata api seperti pistol, raifal dan sekurang-kurangnya satu pelancar bom tangan. Pelaut amat disarankan agar berhati-hati ketika melalui perairan timur Sabah dan Laut Sulu-Sulawesi, dan ReCAAP sudah lama menasihati kapal-kapal agar mengelak melalui kawasan berkenaan sama sekali jika boleh.”

Dalam perkembangan lain, Pengawal Pantai Filipina kini menggerakkan pasukan keselamatan tambahan dan unit K9 bagi mengelak “elemen-elemen kemasukan secara haram” di pelabuhan Zamboanga, lapor media Filipina.

Leftenan Komander Noriel Ramos, Komander Stesen Pengawal Pantai Zamboanga berkata negara itu adalah pelabuhan laut utama untuk melakukan perjalanan ke dan dari kepulauan Sulu, yang dilaporkan sebagai kubu kumpulan Abu Sayyaf.

“Selepas insiden penculikan terbaru di Sabah, kami percaya kumpulan penculik itu cuba melakukannya buat kali kedua atau ketiga di sekitar perairan Kunak dan Semporna (di Esszone).

“Ada kemungkinan mereka cuba melakukan lebih banyak penculikan untuk mendapatkan wang tebusan bagi membiayai operasi mereka, “ kata Hazani merujuk kepada insiden penculikan  membabitkan dua kru rakyat Indonesia sebuah kapal nelayan Malaysia di perairan Sabah pada 11 Sept lepas.

ReCAAP berkata penculikan itu adalah yang pertama di Laut Sulu-Sulawesi sejak Mac 2017.

Penculik, yang disyaki anggota kumpulan Abu Sayyaf, telah menuntut tebusan sebanyak RM4 juta (AS$956,273) daripada keluarga dan majikan mangsa.

Seorang pakar keselamatan serantau dari Universiti Malaysia Sabah berkata terdapat kemungkinan bahawa jenayah maritim lebih kecil berlaku apabila kumpulan ini bertindak sebagai “subkontraktor” kepada kumpulan jenayah penculikan utama seperti Abu Sayyaf.

“Mereka boleh melakukan penculikan dan kemudian menjual tebusan kepada pembida tertinggi seperti Abu Sayyaf dan adik-beradik Muktadil yang terkenal sebelum mereka terbunuh, yang sebenarnya telah lama menetap di Sabah,” kata Profesor Madya Dr Lai Yew Ming kepada BeritaBenar.

“Selain itu, penjenayah kecil ini juga boleh bekerja sebagai pengintip atau pemberi maklumat bagi kumpulan penculik yang akan melakukannya sendiri.”

Berpuluh-puluh rakyat Malaysia dan asing telah diculik di Laut Sulu-Sulawesi berhampiran timur Sabah sejak 2000, tahun yang menyaksikan sejumlah 21 orang, kebanyakannya pelancong Barat, telah diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf dari destinasi terkenal bagi penyelam iaitu Pulau Sipadan.

Lihat Laman Penuh