Perjanjian Tanah ‘Hijau’ Sabah Dengan Firma Singapura Timbulkan Kebimbangan

Muzliza Mustafa & Subel Rai Bhandari
2022.05.23
Kuala Lumpur & Bangkok
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Perjanjian Tanah ‘Hijau’ Sabah Dengan Firma Singapura Timbulkan Kebimbangan Akar pokok bakau dilihat di sepanjang sungai di Pitas, Sabah, Malaysia, 6 Julai 2018.
[Reuters]

Satu perjanjian tanah kononnya kawasan hijau di antara negeri Sabah di Malaysia dan firma swasta Singapura, yang meliputi lima juta ekar hutan di Pulau Borneo, dilihat amat kabur dan dibuat tanpa berunding dengan masyarakat Orang Asli, kata pengkritik.

Berdasarkan Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA), sebuah syarikat yang berdaftar di Singapura, Hoch Standard Private Limited, menyasarkan untuk "memelihara tanah hutan daripada kemusnahan dan degradasi" bagi tempoh 100 tahun akan datang melalui perdagangan karbon di kawasan hutan itu, yang seluas sebuah negara Eropah, Slovenia, menurut salinan dokumen perjanjian itu yang dilihat oleh BenarNews.

Hoch kemudian akan meraih pendapatan daripada "faedah modal semula jadi" yang tidak dinyatakan dan kredit karbon yang dijana melalui pengurangan gas rumah hijau daripada kawasan tanah itu, dengan Sabah menerima 70 peratus daripada hasil tersebut, dan laporan media menyatakan bahawa syarikat Singapura tersebut akan mendapat bakinya.

Seorang penduduk Orang Asli Sabah telah menyaman negeri itu berhubung perjanjian berkenaan dan Peguam Besar Negeri sedang menyiasat perjanjian itu, yang antara lainnya didakwa sebagai kurang telus oleh aktivis hak asasi dan alam sekitar, tiada rundingan dibuat dengan masyarakat di kawasan itu serta mengandungi perjanjian perkongsian keuntungan yang berat sebelah.

Perjanjian Sabah-Hoch itu menjadi "kontroversi sebahagian besarnya kerana kerahsiaan berkaitan perkara yang dirundingkan, kurangnya rundingan dengan masyarakat tempatan yang mungkin terjejas akibat perjanjian itu, dan kurangnya ketelusan mengenai syarat-syaratnya," kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia bagi Human Rights Watch, kepada BenarNews.

Perjanjian itu "merangkumi sejumlah besar kawasan tanah untuk tempoh masa yang amat lama, tanpa sebarang kejelasan mengenai manfaat yang akan diperoleh dengan membenarkan syarikat luar mengawal sumber asli negeri sedemikian ini," katanya pada minggu lalu.

Tetapi, semua ini tidak akan berlaku selagi ia di bawah pengawasan Peguam Besar Negeri Sabah Nor Asiah Mohd Yusof.

"NCA dalam bentuknya sekarang adalah mati di sisi undang-undang," katanya dalam surat bertarikh 9 Februari kepada media.

Bagi Nor Asiah, perkara utamanya adalah perjanjian itu tidak menyatakan keluasan kawasan operasi selain tidak memasukkan sebarang rundingan dengan masyarakat Orang Asli tempatan.

"Oleh itu, NCA tidak dimuktamadkan dan tidak mengikat kerana, antara lain, kawasan yang ditetapkan - yang menjadi subjek NCA - belum dipastikan atau dikenal pasti."

Dalam surat itu, beliau menyatakan bahawa tiada program perdagangan karbon akan dipersetujui untuk "atau dilaksanakan tanpa adanya pemakluman awal mengenai persetujuan masyarakat Orang Asli dengan tanah adat mereka mungkin terjejas akibat program sedemikian."

Dan persetujuan ini adalah "antara isu yang masih belum diselesaikan," katanya dalam surat itu.

Kira-kira 20,000 hingga 25,000 Orang Asli tinggal di hutan simpan Sabah, menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB pada 2005. Jumlah itu tidak termasuk mereka yang tinggal di pinggir kawasan rizab berkenaan.

Sabah kehilangan lebih satu perempat daripada permukaan hutan di antara 2001 dan 2021, atau kira-kira 1.75 juta hektar, menurut data Global Forest Watch. Penyusutan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kebakaran, pembalakan industri serta perluasan ladang komersial.

Dalam suratnya pada 9 Feb itu, Nor Asiah juga berkata bahawa pejabatnya sedang meneliti perjanjian itu dan penganjurnya sebagai sebahagian daripada langkah yang wajar, dan perjanjian itu tidak akan diteruskan sehingga proses tersebut selesai. Peguam Besar negeri itu tidak segera memberi maklum balas terhadap usaha BenarNews mendapatkan maklumat lanjut.

Tiga hari sebelum keluarnya surat peguam besar negeri Sabah itu, penasihat korporat global Hoch, Stan Lassa Golokin, mendakwa dalam satu sidang berita bahawa Kawasan Dilindungi Sepenuhnya negeri itu telah pun melalui proses persetujuan secara bebas, dilakukan lebih awal dan dimaklumkan seperti yang dikehendaki mengikut undang-undang negeri, menurut laporan media tempatan The Vibes.

BenarNews menghubungi pejabat Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan timbalannya Jeffrey Kitingan serta penganjur utama perjanjian itu, tetapi langsung tidak menerima maklum balas daripada mereka.

"Maaf, saya tidak mempunyai perkara baharu untuk diperkatakan kerana perkara itu kini dibawa ke mahkamah," kata Frederick Kugan, ketua konservator hutan Sabah kepada BenarNews.

BenarNews juga menghubungi Ho Choon Hou, pengarah Hoch Standard, yang berkata "pasukan perhubungan awam akan menghubungi anda."

220523-MY-Sabah-Inside-Tanah.jpg

Penduduk kampung menggunakan bot untuk bergerak di sepanjang sungai yang diapit oleh hutan bakau di Pitas, Sabah, Malaysia, 6 Julai 2018. [Reuters]

'Masyarakat yang bergantung kepada hutan'

Pada November 2021, Adrian Lasimbang, wakil masyarakat Orang Asli Sabah, memfailkan saman terhadap kerajaan negeri berhubung perjanjiannya dengan Hoch.

"Kebimbangan kami adalah mengenai prosesnya... menandatangani perjanjian itu tanpa melalui sebarang usaha yang wajar... ia dilakukan secara tertutup," kata Lasimbang kepada BenarNews.

“Tidak ramai orang, walaupun dalam agensi kerajaan, yang tahu tentang perkara ini… kemudian, saya dimaklumkan bahawa ia tidak dibawa pun ke kabinet untuk sebarang perbincangan. Oleh itu, sebelum saya memfailkan kes ini bagi menuntut pendedahan dokumen, tidak banyak perkara yang diketahui."

Perjanjian itu amat membimbangkan Orang Asli tempatan kerana mereka adalah masyarakat yang bergantung kepada hutan, kata Lasimbang.

Robertson dari Human Rights Watch turut bimbang dengan perkara ini.

"Sebagai contoh, jika [perjanjian itu] termasuk tumbuhan ubat-ubatan atau makanan yang digunakan oleh masayarakat Orang Asli, adakah mereka masih mempunyai akses kepada tumbuhan tersebut untuk kegunaan mereka sendiri, dan adakah mereka akan diberi pampasan dari segi kewangan untuk penjanaan pendapatan daripada pengetahuan tradisional mereka?" kata Robertson.

"Tanpa maklumat lanjut mengenai butiran seperti ini, adalah mustahil untuk mengukur kesannya terhadap masyarakat tempatan."

Menurut Lasimbang, perjanjian itu meliputi kawasan yang sudah pun menjadi kawasan perlindungan yang diurus dengan baik dengan "hutan yang sangat, sangat matang yang mempunyai kawasan terdegradasi minimum" dan dikira sebagai penyumbang dalam "sumbangan ditetapkan nasional."

Di bawah Perjanjian Iklim Paris 2015, NDC adalah usaha jangka panjang oleh setiap negara untuk mengurangkan pelepasan karbon negara.

Jika Malaysia sudah pun memasukkan hutan dalam NDC, "anda tidak boleh menuntut kawasan yang sama... untuk perdagangan karbon," kata Lasimbang.

Robertson yang bersetuju dengan pendapat itu berkata bahawa jika tanah yang diliputi dalam perjanjian itu sudah pun menjadi hutan terpelihara tetapi kredit karbon dijual seolah-olah ia bukan dari kawasan hutan terpelihara, "maka perjanjian itu sebenarnya tidak menyelamatkan mana-mana pokok daripada ditebang dan dengan itu tidak menghalang pelepasan karbon.”

"Tanpa kejelasan tentang tanah yang dilindungi, status pemeliharaan semasa dan asas kredit karbon yang akan dipasarkan oleh Hoch Standard, segala-galanya masih di awang-awangan," katanya.

"Inilah sebabnya mengapa perjanjian kabur, tidak telus yang lengkap ini tidak boleh diterima langsung."

Berkongsi keuntungan

Walaupun perjanjian itu tidak menyatakan secara jelas bahawa Hock akan mendapat 30 peratus daripada hasil jualan kredit karbon dan apa yang dipanggil faedah modal semula jadi, Golokin seolah-olah mengesahkan perjanjian itu dalam sidang berita bersama-sama Kitingan pada 6 Februari, semasa beliau mempertahankan perkara berkenaan.

Beliau berkata teknologi untuk perdagangan karbon bukanlah murah.

“70:30 adalah sangat saksama dan adil. Ia adalah tawaran yang sangat, sangat baik untuk Sabah,” kata Golokin, menurut saluran berita tempatan, The Vibes.

“Kos satelit sahaja untuk [tinjauan] boleh mencecah sehingga RM10 juta. Dan, ada juga saintis yang terlibat. Membayar gaji mereka bukanlah murah,” katanya.

Tetapi Wong Chen, ahli parlimen dari blok pembangkang yang mewakili kawasan pilihan raya di Sarawak iaitu negeri yang bersempadan dengan Sabah, mempersoalkan kebijaksanaan di sebalik menjanjikan sejumlah besar wang sehingga 100 tahun untuk apa yang dikatakannya sebagai syarikat yang kurang dikenali.

“Amat berat sebelah dan terlalu pemurah,” begitulah cara beliau menggambarkannya, menurut saluran berita tempatan Free Malaysia Today.

"Ini adalah kebimbangan tadbir urus utama yang akan menakutkan pembeli berpotensi bagi karbon antarabangsa dan domestic,” katanya pada Disember lalu.

"Perjanjian ini, jika dibenarkan untuk diselesaikan, juga akan menjadi duluan yang amat buruk bagi semua perjanjian karbon masa depan di Malaysia."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh