Follow us

Dua Dipercayai Anggota Abu Sayyaf Mati Dalam Kejadian Tembakan

Ali Nufael & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-09-04
E-mel
Komen
Share
Ketua Pemerintah Zon Keselamatan Timur Sabah, Hazani Ghazali, semasa menjawab soalan pada sidang media di Sabah, Malaysia, 5 Sept, 2019.
Ketua Pemerintah Zon Keselamatan Timur Sabah, Hazani Ghazali, semasa menjawab soalan pada sidang media di Sabah, Malaysia, 5 Sept, 2019.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Pasukan keselamatan Malaysia menembak mati dua suspek yang dipercayai anggota kumpulan militan Abu Sayyaf dari selatan Filipina semasa kejadian berbalas tembakan di perairan Sabah, kata polis pada Rabu, beberapa hari selepas Indonesia memberi amaran mengenai potensi risiko penculikan di kawasan perairan Borneo.

Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah berkata anggota polis termasuk Komando Zon Keselamatan Timur Sabah (Esscom), telah melakukan rondaan pada malam Selasa apabila mereka melihat dua bot kira-kira 10 batu nautika di daerah Lahad Datu.

"Pasukan penguatkuasa cuba memintas kedua-dua bot itu yang berada di kawasan berkenaan semasa larangan perintah berkurung, sebaliknya suspek melepaskan tembakan ke arah mereka," kata Omar kepada BeritaBenar sambil menekan yang tembakan tersebut dilepaskan oleh anggota pasukan bertujuan mempertahankan diri.

Beliau berkata, pemeriksaan yang dibuat sebaik sahaja kejadian tembak menembak berakhir menemui satu mayat di dalam bot manakala satu lagi terapung berhampiran bot tersebut.

“Sebuah lagi bot berjaya meloloskan diri dengan menghala ke perairan Filipina. Kami percaya suspek adalah anggota kumpulan Abu Sayyaf [ASG], kumpulan militan yang berpusat di Jolo dan Pulau Basilan, di bahagian barat daya Filipina. Kedua-dua lelaki yang ditembak mati itu juga mempunyai parut luka lama dipercayai daripada tembakan,” kata Omar sambil memberitahu bahawa kejadian pada malam Selasa adalah insiden pertama bagi tahun ini.

Pihak berkuasa tidak dapat menentukan kewarganegaraan kedua-dua lelaki yang terbunuh itu kerana mereka tidak membawa sebarang dokumen pengenalan, kata Omar.

Sementara itu seorang pegawai polis lain kemudian memberitahu media bahawa kedua-dua lelaki yang terbunuh itu berusia antara 30 dan 40 tahun dengan pihak berkuasa merampas selaras senjata api jenis Garand vintage bersama satu kelopak, dua butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru.

Sabah telah diletakkan di bawah perintah berkurung dari senja-ke-fajar sejak beberapa bulan lalu kerana pihak berkuasa mengambil langkah untuk mengurangkan pergerakan kumpulan bersenjata yang terlibat dalam kegiatan penculikan untuk wang tebusan.

Kejadian tembak menembak itu berlaku hanya beberapa hari selepas agensi berita Malaysia, Bernama melaporkan bahawa Konsulat Jeneral Republik Indonesia telah mengeluarkan "surat pemberitahuan" kepada pihak berkuasa tempatan, memberi amaran mengenai pergerakan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina di sepanjang pantai timur Sabah.

Bernama memetik Krishna Djelani, Konsul Jeneral Indonesia yang berpangkalan di Kota Kinabalu sebagai berkata bahawa amaran itu adalah penting untuk memastikan rakyat Indonesia terutamanya yang bekerja sebagai nelayan dan anak kapal mengambil langkah berjaga-jaga terhadap keselamatan mereka.

Dalam tempoh 19 tahun yang lalu, lebih daripada 20 kejadian penculikan melibatkan mangsa warga Indonesia telah berlaku, mengakibatkan kematian hampir 40 orang, kata Krishna kepada Bernama. Beliau bagaimanapun tidak memperincikan jumlah berkenaan.

"Pada mulanya kami dimaklumkan bahawa terdapat pergerakan kumpulan bersenjata dari Filipina selatan yang berkaitan dengan penculikan untuk tebusan," katanya, sambil menambah bahawa pemberitahuan itu bertujuan memberi amaran sekitar 300,000 warga Indonesia yang tinggal di Sabah.

"Sebarang maklumat yang kami terima, kami perlu mengeluarkan amaran kepada rakyat Indonesia yang berada di sana sebagai langkah berjaga-jaga agar mereka tidak menjadi mangsa (penculikan)," katanya.

Penjenayah disyaki ditembak mati

Sumber polis yang tidak mahu dikenali kerana tidak diberi kuasa untuk memberikan kenyataan kepada media, memberitahu BeritaBenar pada Rabu bahawa pasukan keselamatan telah menembak sekurang-kurangnya 10 lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan penculikan untuk tebusan di Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone) sepanjang pantai berkenaan sejak 2017.

Pada Februari dan Mac 2013, pasukan keselamatan Malaysia berjaya melawan pemberontakan oleh kira-kira 200 pejuang bersenjata dari Sulu, yang tiba dengan bot dari kepulauan Sulu, yang berdekatan, dan menceroboh pantai Sabah, yang terletak di kepulauan Borneo Malaysia.

Orang-orang bersenjata berkata mereka adalah pengikut akhir zaman Jamalul Kiram III, sultan yang mengisytiharkan diri sendiri di selatan Filipina.

Pejuang bersenjata itu mendakwa diri mereka adalah anggota ‘Royal Sulu Force’ dan pengikut Jamalul Kiram III yang mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu, di selatan Filipina.

Pencerobohan itu merupakan krisis keselamatan paling serius di Malaysia pada zaman ini telah menyebabkan 72 orang terbunuh, termasuk 56 lelaki bersenjata pengikut KesultananSulu dan 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia serta enam orang awam. Pertempuran semasa pencerobohan itu berlaku selama beberapa minggu dan berakhir dengan saki baki anggotanya melarikan diri kembali ke Filipina.

Pada Jun 2017, mahkamah Malaysia menjatuhkan hukuman mati keatas sembilan warga Filipina kerana mengambil bahagian dalam pencerobohan tersebut.

Pembunuhan suspek berlaku beberapa hari selepas ketua polis negara Malaysia, Abdul Hamid Bador, memberitahu BeritaBenar dalam temu bual bahawa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA) bersama polis marin telah "memperkukuhkan kehadian mereka di perairan Sabah". Satu usaha untuk mengesan petunjuk tentang kumpulan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan di sepanjang pantai timur negeri itu.

"Kami memberi tumpuan perhatian kepada mobiliti dan keupayaan untuk menghalang laluan melarikan diri, untuk berbincang dengan penculik semasa mereka cuba melarikan diri... Kami mempunyai berpuluh-puluh pusat pemeriksaan sepanjang pantai. Di setiap pusat pemeriksaan, terdapat kira-kira 30 orang anggota keselamatan yang ditugaskan," kata Abdul Hamid.

Pulau Sulu dan Tawi-Tawi hanya kira-kira satu jam perjalanan bot laju daripada bandar-bandar pantai timur Sabah, iaitu Lahad Datu dan Semporna.

Lihat Laman Penuh