Pilihan Raya Negeri Sabah Jadi Medan Ujian Bagi PM Muhyiddin

Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-09-24
Share
200924-MY-Uniti.jpeg Poster pilihan raya presiden parti gabungan Warisan Plus, Shafie Apdal, yang menyerupai poster kempen calon presiden Demokrat Amerika Syarikat Barack Obama pada 2008 ditampal pada tingkap sebuah restoran di Asia City, di negeri Sabah, Malaysia, 16 September 2020.
[BeritaBenar/Ryu Syakur]

Pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sabah di Borneo Malaysia pada hujung minggu ini akan menjadi petunjuk populariti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, namun cabarannya meningkat dengan mendadak berikutan tentangan saat akhir terhadap kedudukan kerajaannya oleh pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim, menurut para penganalisis.

Pengundian pada Sabtu di Sabah akan menjadi pilihan raya negeri pertama sejak kerajaan tanpa dipilih, Perikatan Nasional, yang diterajui Muyhiddin mengambil alih tampuk kuasa enam bulan lalu. Tetapi, Anwar secara tiba-tba tampil dengan kejutan apabila pada minggu ini mendakwa bahawa beliau telah memperoleh sokongan majoriti Parlimen yang "kukuh" untuk merampas kuasa daripada perdana menteri.

"Adalah amat penting untuk mengesahkan kesahihannya sebagai Perdana Menteri sekiranya kisah terbaru Anwar diambil kira," kata Azmi Hassan, seorang pesara profesor dan penganalisis politik, kepada BeritaBenar.

"Kerana, dengan itu, Muhyiddin boleh dianggap sebagai perdana menteri yang sah, dan apa yang lebih penting, ia akan menunjukkan bahawa gabungan Perikatan Nasional memang berfungsi."

Semasa berkempen di Sabah pada Khamis menjelang pilihan raya negeri itu, perdana menteri menyuarakan keyakinannya bahawa parti  Gabungan Rakyat Sabah (GRS) negeri itu, yang menyokong kerajaannya, boleh menang besar pada Sabtu walaupun blok kerajaannya hanya bergantung kepada majoriti tipis di Parlimen.

“Malam ini adalah malam bersejarah dan penting dalam siri jelajah  pilihan raya negeri Sabah. Saya kagum dan bangga dengan kehadiran anda semua, ” kata perdana menteri pada satu perhimpunan, lapor agensi berita dikendalikan kerajaan, Bernama.

"Ini adalah petanda awal bahawa GRS akan mencapai kemenangan besar. Kita harus rasa yakin. Inilah kesempatan yang diberikan dalam sistem demokrasi berparlimen yang mana penentu arah tuju berada di tangan rakyat Sabah.”

Minggu lalu, Muhyiddin secara khusus menyatakan bahawa jika gabungan dengan Perikatan Nasional memenangi pilihan raya Sabah, beliau akan “cepat” mengadakan pilihan raya umum dengan harapan memperoleh kemenangan untuk memperakukan kepemimpinannya. GRS, yang mengetuai pembangkang di Sabah, berusaha untuk mengalahkan gabungan Warisan Plus yang bersekutu dengan Pakatan Harapan pimpinan Anwar.

Namun kini, penganalisis menyatakan Muhyiddin juga perlu mengambil kira pengumuman berani Anwar dalam sidang media pada  Rabu bahawa beliau mempunyai "sokongan jelas dan tidak boleh dipertikaikan" majoriti dalam kalangan 222 Anggota Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru dan menjatuhkan Muyhiddin sebagai perdana menteri. Tetapi, Anwar enggan memberitahu berapa banyak kerusi yang menyokongnya dalam badan perundangan itu.

Pada Rabu, Muhyiddin menyanggah dakwaan Anwar itu.

"Sehingga dibuktikan sebaliknya, kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah," kata Muhyiddin dalam kenyataan kepada media.

Menurut seorang penganalisis lain, blok yang bersekutu dengan Muhyiddin di Sabah perlu menang dengan margin yang besar pada  Sabtu untuk membolehkan beliau menyatukan sokongan dalam gabungan Perikatan Nasional.

"Apa-apa yang kurang daripada kemenangan besar akan menyebabkan kerapuhan lebih mendalam dalam gabungan parti Muhyiddin terutamanya kalangan ahli yang berada atas pagar," kata Shazwan Mustafa Kamal, rakan kanan di firma perunding politik Vriens & Partners, kepada agensi berita Reuters.

Siapa mereka

Di Sabah, pesaing utama dalam pilihan raya negeri itu adalah penyandang kerajaan iaitu Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang merangkumi Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Pilihan raya negeri Sabah diadakan setelah beberapa Anggota Parlimen Warisan menyuarakan sokongan kepada gabungan pembangkang GRS, yang mendorong Ketua Menteri Shafie Apdal untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 73 kerusi pada 30 Julai.

Pada peringkat nasional, Pakatan Harapan pimpinan Anwar mempunyai 91 kerusi di Parlimen, yang bermakna beliau kini kekurangan 21 kerusi daripada 112 kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti. Pada Rabu, semasa mendakwa mendapat sokongan majoriti, Anwar enggan memberitahu jumlah berkenaan tetapi menyatakan bahawa hampir dua pertiga Anggota Parlimen menyokong usahanya untuk menjadi perdana menteri, lapor Reuters.

Kesan Anwar


Keputusan pilihan raya negeri Sabah bakal memberi kesan kepada parti-parti yang menyokong Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin dalam bertindak balas terhadap usaha Anwar untuk menjadi perdana menteri, kata Azmi serta Oh Ei Sun iaitu felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Perikatan Nasional mendapat sokongan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang agak kurang senang dengan Perdana Menteri, kata Oh.

Pada masa ini, Bersatu yang diterajui Muhyiddin mempunyai 31 kerusi di Parlimen manakala UMNO mempunyai 39 kerusi.

Selepas pengumuman Anwar pada Rabu, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau diberitahu bahawa ramai Ahli Parlimen partinya serta Ahli Parlimen gabungan Barisan Nasional, yang diketuai UMNO, menyokong usaha Anwar.

Ahmad Zahid berkata beliau “menghormati" pendirian Ahli Parlimen berkenaan dan UMNO "tidak akan menghalang Anggota Parlimennya yang menyokong Anwar Ibrahim."

Azmi berkata sekiranya Bersatu bernasib lebih baik daripada sekutunya, UMNO, di Sabah,  Ahli Parlimen UMNO akan berfikir dua kali sebelum menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin.

Oh pula melihat sokongan Ahli Parlimen UMNO kepada Anwar hanyalah sebagai langkah taktikal.

"UMNO ingin menggunakan Anwar sebagai faktor penentu kepada Muhyiddin, yang selama ini membangkitkan keresahan mereka kerana beliau tidak begitu mengikut rentak seperti yang diingini parti itu," kata Oh.

Adalah penting bagi Muhyiddin untuk memenangi pilihan raya Sabtu ini di Sabah supaya beliau dapat menunjukkan kuasanya kepada UMNO dan Barisan Nasional, kata penganalisis itu.

Faktor UMNO

UMNO, parti bekas pemimpin Najib Razak yang diaibkan,  menjauhkan diri daripada Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin sejak Najib disabitkan kesalahan pada Julai bagi pertuduhan rasuah dalam kes berkaitan skandal kewangan 1MDB.

Parti itu sudah mula bersuara bahawa ia mahu bertanding di semua kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya umum 2018 dalam pilihan raya umum berikutnya pada 2023.

Muhyiddin ingin mengelakkan kedua-dua parti itu bertanding kerusi yang sama, dan atas sebab itulah mengapa keputusan pilihan raya Sabah adalah amat penting bagi Muhyiddin, kata penganalisis politik Azmi.

Kemenangan Bersatu pada pilihan raya negeri Sabah akan membolehkan Muhyiddin menampilkan kuasanya terhadap UMNO dan gabungan Barisan Nasional yang disokong oleh UMNO, kata beliau.

Bersatu dan UMNO juga terlibat dalam kekalutan semasa pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri Sabah. Bersatu bertanding 19 kerusi manakala UMNO meletakkan calonnya di 31 kerusi.

Semasa berkempen pada pilihan raya negeri itu, kedua-dua parti secara terbuka menyatakan siapa yang harus menjadi calon ketua menteri di Sabah sekiranya mereka dapat mengalahkan gabungan Warisan Plus.

“Hajiji Noor, dari parti Bersatu, adalah calon terbaik yang boleh  ditawarkan gabungan Perikatan Nasional untuk memimpin Sabah,” kata Muhyiddin kepada para pengundi pada awal bulan ini.

Ahmad Zahid pula menyatakan bahawa ketua menteri Sabah "hanya akan dipilih oleh Barisan Nasional Sabah dan [hanya] apabila kita mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan negeri."

Walaupun begitu, UMNO dan Barisan Nasional tetap menegaskan bahawa mereka hanya bekerjasama dengan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

"Gabungan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin perlu menang besar berbanding Barisan Nasional supaya PN atau lebih tepatnya, Bersatu, akan mempunyai suara dalam rundingan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 kelak," kata Azmi, yang merujuk kepada pilihan raya umum pada 2023.

"Sekiranya Bersatu menang besar di Sabah, dan UMNO gagal berbuat demikian, kesan Sabah ini pasti akan mempengaruhi senario politik nasional."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh