Follow us

Malaysia Bimbang Penindasan Dorong Rohingya Jadi Pengganas

Krisis penindasan di Rakhine semakin serius dan akan dieksploitasi kumpulan pelampau.
Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-08-27
E-mel
Komen
Share
Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu memberi ucapan semasa majlis pembukaan Simposium Keselamatan ASEAN Bagi Menangani Keganasan dan Keselamatan Profesional (IACSP), di Kuala Lumpur, 27 Ogos 2018.
Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu memberi ucapan semasa majlis pembukaan Simposium Keselamatan ASEAN Bagi Menangani Keganasan dan Keselamatan Profesional (IACSP), di Kuala Lumpur, 27 Ogos 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia melahirkan kebimbangannya terhadap penindasan yang berterusan terhadap etnik minoriti Islam Rohingya di Rakhine, Myanmar, yang boleh mendorong mereka untuk memihak kepada puak pelampau sebagai langkah untuk membela kaum mereka, demikian kata Menteri Pertahanan Malaysia pada Isnin.

Mohamad Sabu berkata, Malaysia menganggap krisis penindasan yang berlaku di negara berkenaan sebagai serius dan mungkin akan dieksploitasi oleh beberapa kumpulan pelampau untuk mengembangkan ideologi radikal mereka kepada kaum Rohingya.

"Kami khuatir bahawa etnik Rohingya boleh dimanipulasi untuk menjadi pengebom berani mati atau direkrut sebagai sel pengganas di rantau ini," kata Mohamad dalam ucapan pembukaannya di Simposium Keselamatan ASEAN Persatuan Antarabangsa Bagi Menangani Keganasan dan Keselamatan Profesional (IACSP), yang berlangsung selama dua hari di Kuala Lumpur.

Mohamad yang merupakan bekas timbalan presiden bagi parti Islam PAS dan kini Presiden Parti Amanah memberi contoh bagaimana rakyat Palestin yang berjuang untuk kemerdekaan negara daripada Israel sejak tahun 1948.

"Keadaan ini serupa dengan Palestin di mana ramai rakyat Palestin yang pulang ke tanah air mereka untuk berjuang. Akhirnya, ramai yang memilih menjadi pengebom bunuh diri yang menjadi ancaman serius - kami juga bimbang perkara serupa boleh berlaku di Myanmar di mana penyalahgunaan hak asasi manusia dilaporkan berlaku," kata Mohamad.

Beliau berkata, amat mudah bagi warga Rohingya untuk direkrut apabila tiada pilihan lain untuk mencapai kemenangan.

"Pada satu masa, mereka mungkin akan tiba di suatu titik di mana mereka pulang ke tanahair dan sanggup mati untuk berjuang. Itulah sebabnya isu ini penting, apa yang berlaku kepada rakyat Palestin boleh berlaku kepada kaum Rohingya, " tambah Mohamad.

Beliau juga berkata, isu keganasan akan terus meningkat jika komuniti global terus mengabaikan isu-isu yang berkaitan dengan kaum dan agama seperti apa yang berlaku kepada etnik Rohingya.

Kini terdapat lebih daripada 100,000 pelarian Rohingya di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Cawangan Khas Anti-Pengganas Polis Diraja Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan adanya unsur radikal di kalangan Rohingya di mana empat pelarian Rohingya telah ditangkap pada 2015 kerana ingin berperang di Myanmar selepas dipengaruhi oleh anggota sel IS di Malaysia.

Ayob yang berada di simposium itu untuk memberi ucaptama berkata, keempat mereka telah didakwa atas pertuduhan terlibat dalam keganasan dan kini sedang menjalani hukuman penjara.

Beliau juga berkata polis kini memantau keadaan itu untuk memastikan tiada unsur keganasan dalam masyarakat Rohingya.

Ayob mengaku bahawa ini bukan satu tugas yang mudah, dan pihak berkuasa sentiasa bergantung kepada pengumpulan risikan mendalam untuk mencari pelaku jika ada.

Dalam pada itu,  Mohamad Sadek seorang warga Rohingya yang memohon perlindungan suaka di Malaysia sejak 10 tahun yang lalu menolak dakwaan yang menyatakan etnik Rohingya  mudah dipengaruhi untuk menyertai kumpulan pengganas sambil mengatakan bahawa mereka yang ditangkap itu merupakan kes terpencil.

Lelaki yang menjalankan organisasi bukan kerajaan di Kuala Lumpur itu berkata, majoriti pelarian Rohingya tidak terlibat dalam kegiatan keganasan.

"Beratus-ratus ribu di sini tetapi hanya empat menyertai mereka [pengganas]. Ini menunjukkan bahawa kami tidak menyokong aktiviti keganasan.  Kami hanya mahu hidup dengan aman," kata Mohamad Sadek kepada BeritaBenar.

Undang-undang pencegahan


Mengenai perkara lain, Ayob berkata polis akan mematuhi keputusan kerajaan untuk menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan akan melaksanakan tugas mereka tanpanya.

"Kami bekerja dengan undang-undang itu sebelum ini dan akan tetap berusaha tanpa undang-undang berkenaan," kata Ayub kepada BeritaBenar.

Ayub juga mengakui bahawa undang-undang pencegahan kontroversi itu telah memberi kesan positif dalam memerangi keganasan sejak pelaksanaannya pada tahun 2012.

"Di bawah SOSMA, polis dibenarkan untuk mengambil tindakan awal untuk menghalang sebarang tindakan keganasan. SOSMA memberi kuasa itu. Tidak seperti negara lain, mereka tidak boleh mengambil tindakan dan apabila mereka dibenarkan untuk mengambil tindakan, ianya sudah terlambat," kata Ayob,

Sejak pelaksanaan SOSMA, enam tahun lepas, seramai 420 orang telah ditangkap dan daripada jumlah itu, 185 telah didakwa di mahkamah manakala 148 telah disabitkan atas kesalahan  manakala 33 telah ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan 47 lagi di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) manakala 42 orang asing telah diusir keluar dari negara dan selebihnya dibebaskan.

"Undang-undang itu digunakan dengan sewajarnya jika anda melihat kepada statistik," tambah Ayub.

Mogok lapar


Dalam pada itu, sejumlah 118 tahanan SOSMA yang ditahan di Penjara Sg Buloh, di Selangor telah melancarkan  mogok lapar untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan undang-undang berkenaan dengan segera. Mereka menamatkan mogok itu apabila wakil mereka mengadakan perbincangan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin pada Ahad.

Mohamed Hanipa berkata beliau secara peribadi menyokong cadangan untuk menghapuskan SOSMA kerana ia adalah satu bentuk kezaliman.

"SOSMA berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan saya tidak boleh campur tangan, tetapi saya tidak mempunyai masalah untuk membatalkannya.

"Saya diberitahu dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk mengkaji isu SOSMA," katanya selepas bertemu dengan anggota keluarga tahanan di Penjara Sungai Buloh yang berkumpul di hadapan penjara itu untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang tersebut.

Peguam Negara Tommy Thomas sebelum ini mengatakan bahawa SOSMA akan dimansuhkan seperti yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan, tetapi akan mengambil masa sebelummenjadi kenyataan.

Lihat Laman Penuh