Mahkamah Malaysia Bebaskan Bekas Aktivis Pelajar Daripada Tuduhan Hasutan

Shuman Vasu
2016.12.20
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
161220-MY-sedition-1000.jpg Safwan Anang (kanan) bersama dengan Eric Paulsen, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, di perkarangan Istana Kehakiman selepas Safwan dibebaskan daripada pertuduhan menghasut, di Putrajaya, 20 Disember 2016.
[Ihsan Safwan Anang]

Kumpulan hak asasi manusia tempatan memuji pembebasan bekas aktivis pelajar atas tuduhan hasutan oleh sebuah mahkamah Malaysia sebagai satu kemenangan dalam kebebasan bersuara, yang merupakan keputusan pertama sejak peraturan terhadap kes-kes berkenaan mula berubah sejak bulan lepas.

Pembebasan Muhammad Safwan Anang terjadi sebulan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pihak pendakwaan perlu membuktikan niat apabila memfailkan pertuduhan dalam kes hasutan. Sebelum itu, pendakwa hanya perlu membuktikan bahawa kenyataan yang salah telah dibuat.

Pada Selasa, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Safwan pada 2013, ketika beliau menggesa orang ramai untuk menghapuskan kerajaan Malaysia semasa demonstrasi jalanan, bukan ucapan menghasut.

Hakim Prasad Sandosham Abraham, Mohtarudin Baki dan Zakaria Sam, bersetuju sebulat suara bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap bekas pelajar Universiti Malaya yang berusia 26 tahun itu.

"Mahkamah mesti meneliti dan bebas menilai kenyataan berkenaan dalam melihat sama ada bahasa yang digunakan berunsur hasutan atau kebebasan bersuara.

Kegagalan untuk berbuat demikian oleh mahkamah, pada pandangan kami, bercanggah dari segi undang-undang yang menyebabkan sabitan itu tidak wajar, kata Prasad dalam menyampaikan keputusan pada Selasa yang menyanggah keputusan sebelumnya.

Pada 5 September  2014, Safwan dikenakan hukuman 10 bulan penjara dan denda RM5,000 (AS $ 1,115) selepas Mahkamah Sesyen mendapati beliau bersalah atas ucapan yang disampaikan semasa satu forum yang berlangsung pada 13 Mei, 2013.

Safwan yang bercakap selepas pilihan raya umum ke-13 Malaysia, telah mengucapkan kata-kata "kita tidak boleh mempercayai kerajaan yang menang dengan penyelewengan."

Empat aktivis lain didakwa di bawah akta yang sama pada forum yang sama turut menunggu rayuan manakala aktivis kelima masih menunggu untuk perbicaraannya bermula.

Sebelum ini, Safwan, bekas pengerusi Kumpulan Pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia, telah membuat rayuan sabitan kesalahannya di Mahkamah Tinggi, yang bersetuju untuk mengurangkan hukuman keatas beliau kepada bayaran denda RM5,000. Pihak pendakwaraya pula telah merayu dan memohon hukuman yang lebih berat.

Hukuman Hasutan


Pada 25 November lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 3 (3) Akta Hasutan, yang membolehkan sabitan apabila telah dibuktikan bahawa defendan telah membuat kenyataan berunsur hasutan, tidak mengikut perlembagaan. Mahkamah memutuskan bahawa niat mesti dibuktikan dalam kes sedemikian.

Berikutan keputusan itu, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata kerajaan akan membuat rayuan.

Ditanya mengenai pembebasan Safwan itu, Apandi memberitahu BeritaBenar pada Selasa, "Maaf, saya bercuti sekarang dan berada di luar negeri."

Akta Hasutan yang digubal oleh penjajah British pada tahun 1948 untuk memerangi komunis, telah dipinda oleh kerajaan Malaysia berikutan rusuhan kaum pada tahun 1969. Undang-undang itu telah mentakrifkan "hasutan" secara meluas dan meletakkan banyak had ke atas kebebasan bersuara, terutamanya mengenai isu-isu politik yang sensitif, menurut satu laporan oleh Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia.

Perkembangan yang menggalakkan


Kumpulan hak asasi manusia telah mengkritik kerajaan Malaysia kerana menggunakan Akta Hasutan untuk mendakwa dan mendiamkan para pengkritik Perdana Menteri Najib Razak, yang menggesa beliau meletakkan jawatan berikutan skandal kewangan yang dikaitkan dengan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Safwan memuji pembebasannya sebagai "isyarat positif terhadap kebebasan bersuara" dan berkata, rakyat mempunyai hak untuk mengkritik kerajaan berhubung dakwaan salah laku.

"Kritikan saya dalam ucapan itu adalah terhadap kelemahan yang terdapat dalam sistem pilihan raya umum lepas, serta penyalahgunaan jentera kerajaan untuk berkempen dalam pilihan raya. Saya juga menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya untuk bertindak lebih adil.

"Keputusan itu telah memberi kekuatan kepada kami untuk terus berkempen terhadap usaha menggugurkan setiap pertuduhan di bawah Akta Hasutan, kerana jelas mereka didorong oleh pendakwaan tertentu.

Kita juga perlu terus memperjuangkan pemansuhan Akta Hasutan itu sendiri, " katanya kepada BeritaBenar.

Eric Paulsen, Pengarah Eksekutif sebuah badan bukan kerajaan, Lawyer for Liberty, yang turut hadir di mahkamah menganggap keputusan pembebasan itu sebagai sesuatu yang sangat baik, tetapi memberi amaran bahawa ia "tidak bermakna perjuangan terhadap akta kuno dan tidak relevan telah berakhir."

Pengarah Amnesty Eksekutif Antarabangsa Malaysia Shamini Darshni memuji pembebasan itu dengan berkata ia adalah "satu langkah ke arah yang betul" dan Safwan tidak sepatutnya dikenakan tindakan berkenaan.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah satu perkembangan yang dialu-alukan dan mamatahkan trend yang membimbangkan oleh pihak berkuasa Malaysia yang menganggap kerja-kerja aktivis sebagai kegiatan jenayah di mana aktivis telah ditangkap, ditahan dan dipenjarakan,  kata Shamini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.