Menteri Luar Malaysia usul ASEAN buang Konsensus mengenai Myanmar

Badan serantau Asia Tenggara itu mempunyai satu "keputusan besar" untuk dibuat dalam mengembalikan usaha menyelesaikan krisis pasca rampasan kuasa di Myanmar, kata Saifuddin Abdullah.
Shailaja Neelakantan
2022.07.29
Washington
Menteri Luar Malaysia usul ASEAN buang Konsensus mengenai Myanmar Aktivis Filipina dari Kumpulan Burma Solidarity Philippines mengadakan protes di utara Manila mengecam apa yang mereka gelar sebagai junta tentera "haram" di Myanmar serta pembunuhan empat aktivis pro-demokrasi, 29 Julai 2022.
[Del Banares/BenarNews]

Malaysia pada Jumaat mengeluarkan satu cadangan supaya ASEAN meninggalkan konsensus lima-perkara yang dipersetujui blok Asia Tenggara itu dalam menyelesaikan krisis pasca-rampasan kuasa di Myanmar, selepas junta tentera Burma "mempersendakan" usaha berkenaan dengan menjalankan hukuman mati terhadap empat tahanan politik.

Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah, pemimpin kerajaan di Asia Tenggara yang paling vokal setakat ini dalam mendesak rejim tentera Naypidaw mematuhi konsensus ASEAN, berkata blok serantau yang mempunyai 10 negara ahli itu mempunyai satu "keputusan besar" untuk dibuat berkenaan perkara tersebut dalam sidang kemuncak mereka pada November depan.

"Sehingga hari ini, K5P belum menunjukkan kemajuan yang nyata. Keganasan berterusan, malahan semakin teruk. ...Ia menunjukkan junta mempermainkan K5P (Konsensus-Lima Perkara)," kata Saifuddin dalam kenyataan di laman Facebook beliau.

"Sidang Kemuncak ASEAN November ini perlu membuat keputusan besar. Adakah K5P diteruskan? Dapatkah ia dibaiki? Atau diadakan sesuatu yang baru?," tambah beliau.

Para jeneral tentera yang memerintah Myanmar melakukan tindakan yang mengejutkan seluruh dunia dan menarik kritikan global apabila junta membunuh aktivis demokrasi veteran Ko Jimmy (nama sebenar Kyaw Min Yu), bekas ahli Parlimen dari parti Liga Demokrasi Kebangsaan Phyo Zeya Thaw, serta aktivis Hla Myo Aung dan Aung Thura Zaw. Pembunuhan itu dipercayai dilakukan pada 23 Julai lepas.

Mahkamah tentera telah mensabitkan mereka atas kesalahan "pengganas" dan mereka gagal dalam rayuan terhadap hukuman mati itu. Pihak junta juga menolak kemungkinan memberi pengampunan kepada mereka yang telah dihukum.

Rejim tentera tersebut membunuh keempat-empat aktivis walaupun setelah Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, yang juga merupakan negara yang mempengerusikan ASEAN tahun ini, merayu kepada ketua junta Jeneral Kanan Min Aung Hlaing supaya mempertimbangkan semula hukuman mati yang dijatuhkan mereka.

Persatuan Negara-negara Asia Tenggara pada Selasa telah mengkritik pembunuhan tersebut, menggelarnya sebagai "amat tercela".

Sehari selepas itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengundi sebulat suara untuk mengecam hukuman mati dijalankan oleh Myanmar itu. Undian tersebut adalah sesuatu yang luar biasa memandangkan China adalah sekutu rapat tentera Burma, dan telah kerap kali menggunakan kuasa vetonya di majlis berkenaan untuk menghalang usaha antarabangsa daripada melakukan sekatan terhadap junta ekoran keganasan dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku selepas rampasan kuasa mereka.

Kemboja selaku pengerusi ASEAN berkata pembunuhan empat orang pengkritik kerajaan itu menandakan satu kemunduran "dalam usaha mempercepatkan kemajuan pelaksanaan Konsensus-Lima Perkara, iaitu iaitu membina kepercayaan dan keyakinan untuk mewujudkan dialog dalam kalangan semua pihak yang berkenaan, menamatkan keganasan dan meringankan penderitaan rakyat yang tidak bersalah ."

Junta tentera Myanmar sebelum ini telah memungkiri K5P yang dipersetujuinya dengan ASEAN pada April 2021 demi mengembalikan negara itu ke jalan demokrasi.

Konsensus tersebut menggesa supaya dihentikan keganasan; mengadakan dialog yang membina antara semua pihak; utusan khas ASEAN sebagai perantara rundingan itu; menyediakan bantuan kemanusiaan yang diselaraskan ASEAN serta delegasi ASEAN mengadakan lawatan ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak terbabit.

220729-MY-Myanmar-ASEAN-Inside.jpg

Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah menjawab soalan wartawan ketika satu sidang media di Hotel Willard InterContinental di Washington, 14 Mei, 2022. [Radio Free Asia]

'Negara ASEAN mungkin berdepan kepayahan'

Saifuddin, seorang diplomat Malaysia yang lembut bila berbicara, percaya ASEAN tidak lagi boleh terus bersikap seperti biasa.

Melalui diplomasi yang dibawanya, Malaysia menjadi negara pertama dalam blok serantau itu yang menghubungi kerajaan bayangan Myanmar -- National Unity Government (NUG) -- secara rasmi.

Saifuddin berkata dengan berlakunya insiden pembunuhan tersebut, ia menjadi lebih penting kini untuk ASEAN bertemu dengan wakil kerajaan itu.

"Kini tiba masanya untuk pertemuan ini disegerakan dan beritanya dilaporkan," kata Saifuddin.

"Saya berpendapat ASEAN perlu mempunyai kerangka yang ada penamat permainan, dan jelas perkara/proses yang perlu dibuat untuk mencapai penamat permainan itu. ...Dalam konteks ini, ASEAN perlu memiliki maklumat yang tepat tentang apa yang sebenarnya berlaku, iaitu dengan memperolehinya secara langsung daripada pihak-pihak terbabit."

Kata beliau, penamat permainan itu adalah Myanmar yang "demokratik, inklusif dan adil, aman dan harmoni, makmur dan hak-hak sivil dan politiknya dijamin Perlembagaan".

Saifuddin mengulangi pendiriannya bahawa wakil rejim tentera Myanmar "tidak dibenarkan" menghadiri sebarang mesyuarat ASEAN, termasuk perhimpunan menteri-menteri luar ASEAN yang akan diadakan di Phnom Penh pada 3 Ogos ini.

Mahbubul Haque, seorang ahli akademik yang pakar mengenai isu Myanmar, berkata beliau memang tidak pernah menaruh harapan besar terhadap Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar. Beliau juga tidak bersikap optimistik terhadap sebarang rancangan baru mengenai Myanmar.

"Membuat konsensus antara negara-negara ahli adalah sesuatu yang susah. Myanmar tidak menghormati keputusan dibuat komuniti antarabangsa," kata pensyarah kanan perhubungan antarabangsa di Universiti Sultan Zainal Abidin itu kepada BenarNews.

"Ia amat dihargai sekiranya Malaysia boleh terus konsisten dengan pendirian politik yang kuat bagi mengembalikan demokrasi di Myanmar," tambahnya.

Nisha David dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.