Follow us

Menteri Luar Malaysia Minta Naik Taraf Aset Tentera Laut

Lex Radz & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-10-17
E-mel
Komen
Share
Kapal-kapal induk Amerika Syarikat USS Ronald Reagan dan USS Boxer bersedia untuk menjalani operasi peninjauan di Laut China Selatan, 6 Okt, 2019.
Kapal-kapal induk Amerika Syarikat USS Ronald Reagan dan USS Boxer bersedia untuk menjalani operasi peninjauan di Laut China Selatan, 6 Okt, 2019.
(Erwin Jacob V. Miciano/Maklumat Pejabat Tentera Laut Amerika melalui AFP)

Kapal-kapal perang Malaysia adalah lebih kecil berbanding kapal-kapal pengawal pantai China yang berada di perairan Sarawak, kata diplomat tertinggi negara itu pada Khamis, sambil menyatakan perlunya negara Asia Tenggara itu untuk meningkatkan keupayaan tentera lautnya di tengah-tengah persaingan antara kuasa besar di Laut China Selatan.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah membuat kenyataan itu pada sesi soal jawab di Parlimen, sehari selepas kapal Tentara Laut Amerika Syarikat yang membawa kapal terbang berkuasa nuklear belayar di luar pantai perairan Malaysia.

"Kita boleh membuat peta, kita boleh menuntut kawasan wilayah tertentu, tetapi untuk menjawab soalan itu, kita perlu meningkatkan asset-aset untuk membolehkan kita melindungi perairan negara khususnya dalam konteks berhadapan dengan kuasa besar di Laut China Selatan," kata Saifuddin yang merujuk kepada China dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata kedudukan Malaysia di Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten.

"Untuk memastikan keamanan dan kestabilan serantau, Malaysia komited untuk memastikan semua pihak menghormati undang-undang antarabangsa, menyelesaikan sebarang pertikaian secara aman dan mengelak penggunaan kekerasan atau ancaman keganasan," kata Saifuddin dalam transkrip jawapan bertulis Menteri itu kepada soalan seorang anggota parlimen pada Khamis.

Dalam melangkah ke hadapan, beliau berkata kerajaan sedang memantau perkembangan yang boleh menimbulkan ketegangan antara negara-negara besar.

China menuntut hampir kesemua kawasan di Laut China Selatan dan telah membina pos ketenteraan di pulau-pulau kecil sehingga menimbulkan kemarahan negara-negara lain yang turut mempunyai tuntutan bertindih terhadap perairan itu termasuk Malaysia, Filipina, Brunei, Vietnam dan Taiwan.

Malaysia dan anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang lain telah meminta China dan Amerika Syarikat supaya mengurangkan kehadiran tentera mereka di perairan itu.

Tetapi, Amerika Syarikat sering menghantar kapal perangnya dan mengadakan latihan dengan negara sekutunya di wilayah itu seperti Thailand, Filipina dan Indonesia.

"Tahun lalu, kapal perang China dan Amerika berada di perairan antarabangsa dengan jarak antara 50 kilometer (31 batu). Bagi kapal perang besar, jarak di bawah 50 kilometer bukanlah suatu perkara kecil," kata Saifuddin.

Pada Rabu, Bloomberg memetik Laksamana Muda Tentera Laut Amerika Syarikat, George Wikoff, sebagai berkata bahawa beliau kagum dengan profesionalisme Tentera Laut China. Beliau membuat kenyataan itu di atas kapal induk USS Ronald Reagan yang sedang menuju ke Singapura sebagai sebahagian daripada apa yang Washington gambarkan sebagai kebebasan eksesais laut.

"Mereka tetap menghormati berdasarkan apa yang kami jangkakan  profesional akan lakukan," kata Wikoff kepada perkhidmatan media berkenaan, yang merujuk kepada China. "Kami bertindak balas atau memulakannya secara baik apabila kami percaya wujudnya sesuatu situasi."

Pada Ogos, perkhidmatan berita kerajaan, Bernama, juga memetik Saifuddin sebagai berkata bahawa ASEAN telah menyatakan kebimbangan mengenai ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan, sambil memberitahu bahawa persatuan serantau 10 negara itu telah menekankan pentingnya bukan ketenteraan.

"Kita harus mengurangkan kehadiran kapal perang di perairan yang menjadi pertikaian itu untuk memastikan keamanan dan kestabilan, keselamatan dan kebebasan navigasi di Laut China Selatan," katanya ketika itu. "Ia adalah laluan bebas tetapi apabila terdapat terlalu banyak kapal perang, sudah pasti kami bimbang."

Bersama Lima

Kenyataan Saifuddin pada Khamis dibuat pada hari yang sama Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) menamatkan latihan tahunan Eksesais Bersama Lima selama 17 hari di Singapura. Lima negara itu - Malaysia, Australia, Britain, New Zealand dan Singapura - menghantar tujuh kapal, 48 pesawat, sebuah kapal selam, lima unit pertahanan udara berasaskan darat dan lima platun tentera untuk menyertai latihan darat, laut dan udara.

Latihan itu dimulakan pada 1971 dan diadakan secara giliran antara  Malaysia dan Singapura.

Semasa upacara penutupan, Lt. Jen Melvyn Ong dari Singapura menekankan pentingnya latihan FPDA dalam meningkatkan kepercayaan dan kerjasama bersama.

"Ini memastikan FPDA terus relevan. Dan inilah yang sepatutnya, dalam meningkatkan keamanan dan keselamatan di rantau ini," katanya.

Lihat Laman Penuh